Tuesday, January 18, 2011

Mengukir Pelangi (Bab 3)

   "Rizal, mari makan, ajak Pak Ngah sekali", Mak Yati memanggil anak buahnya untuk menjamu selera.


   "Takde apa Rizal, cuma lauk kembung goreng pedas dengan pucuk paku masak lemak je", Mak Yati memberi penerangan tentang menu yang disediakan sambil mencedok nasi ke dalam pinggan. 


   "Biasanya kami berdua je makan, si Abang Hafiz, Abang Ajis dengan Kak Su kamu jarang balik, kalau si Azlin  pula tunggu ada cuti di USM baru dia balik", sambung Pak Nasir sebagai membuka tajuk perbualan di meja makan.


   "Oh begitu? Nasib baik juga lah Pak Ngah ada buka kedai runcit kan? takdelah sunyi sangat".


   "Hmmm... macam tu lah. Alaa.. lagipun rumah ni dekat dengan kejiranan lain. Ada je yang memeriahkan. Kalau datang jiran-jiran, bergosip lah kami.. Hahahahaaaa..." Mak Yati menyambung sambil menghangatkan suasana.


   "Kadang-kadang Mak Ngah pergi ke rumah Mak Senah untuk berbual. Bukan jauh pun. Tu lah kawan rapat kami dari awal-awal pindah sini. Kamu ada perasan tak satu gerai yang menjual kuih-muih kat simpang tu?" soal Mak Yati.


   "Yang jual kuih tu?" Rizal mencari kepastian


   "Ya, belakangnya tu lah rumah Mak Senah" jawab Mak Yati. Pak Nasir pula sekadar endah tak endah sambil menyuap nasi ke mulut sendiri. Siang tadi sudah banyak yang dibualkan Pak Nasir dengan Rizal. Sampai sudah tak tahu lagi apa yang hendak dibualkan siang tadi. Sampaikan warna kereta terbaru pun boleh jadi modal untuk mereka berborak. Kini Mak Yati pula mengambil giliran berbual dengan Rizal berikutan dari tadi sibuk memasak di dapur.


   "Yang jual kuih kat simpang kedua tu?" Soal Rizal lagi.


   "Haa" jawab Mak Yati sambil mengangguk.


   "Yang belakangnya rumah kayu bumbung biru tu? 


   "Haa"


   "Yang ada budak perempuan jual tu?


   "Haa"


   "Yang ada jual kuih kasturi tu?"


   "Haa... eh? berapa banyak kau nak bertanya ni?" Soal Mak Yati seolah hilang sabar pula.


   "Hahahahaaa... Takdelah. Bertanya je. Tu pun nak marah ke?" Rizal cuba meredakan Mak Yati.


   "Atau kamu dah mula terpikat dengan budak Syahira tu?" Pak Nasir yang baru selesai menghabiskan makanannya menyampuk.


   "Eh. Mana ada Pak Ngah. Tanya je" jawab Rizal sambil menghabiskan sisa terakhir nasinya.


   "Kamu kenal ke dengan Syahira tu?" Mak Yati kebingungan.


   "Tadi si Syahira tu datang kedai, Syahira tu lah yang tunjukkan jalan ke rumah kita ni tadi siang" Pak Nasir menerangkan.


   Selesai sahaja mereka menghabiskan makanan, Mak Yati mengemas sambil dibantu Pak Nasir. Rizal cuba membantu tapi dihalang Mak Yati. Menurut Mak Yati takkanlah tetamu yang perlu membuat kerja-kerja. Lalu Rizal bangun untuk keluar rumah. Sempat dia mengerling ke dinding melihat jam. Baru pukul 9. Masih terlalu awal untuk Rizal masuk tidur. Jadi dia pun meneruskan niat keluar rumah untuk mengambil angin sambil pekena sebatang rokok sebagai pelawas bagi perokok tegar. 


   Telinga Rizal dapat menangkap suara ketawa dan gurau Pak Nasir dan Mak Yati. Memang harmoni hubungan dua orang tua itu meskipun sudah berpuluh tahun mendirikan rumah tangga. Walaupun anak-anaknya ada yang sudah berkeluarga, tapi itu bukan alasan untuk merenggangkan hubungan suami isteri. Tersenyum Rizal mendengar keletah mereka berdua. Rizal merenung ke atas langit melihat ribuan bintang. Hatinya berkecamuk, pening, bingung, gusar, risau tapi berselikan bunga-bunga. Ya, seolah ada satu panahan cahaya yang menyirami hatinya. Seakan mekar bunga hatinya riang. Bunga yang tak pernah mekar dan mewangi sebelum ini. Mahu sahaja dijeritkan kuat-kuat demi memberitahu seluruh isi kampung perihal suara hatinya. Bentuk bunga yang tercipta dihatinya itu seolah menolak ketepi semua masalah yang dihadapinya.


   Wajah mulus Syahira menerpa dikelopak mata Rizal. Entah mengapa irisnya susah untuk menghilangkan senyuman gadis itu. Kalau sebelum ini sudah banyak gadis seksi, ranggi, cantik, yang memiliki tubuh menggiurkan yang mampu membuat para jejaka susah untuk tidur malam, yang bertudung labuh persis ustazah, yang berlagak jantan walhal jantinanya perempuan, namun tidak satu pun betul-betul menarik hati lelaki Rizal. Tapi gadis biasa pemilik nama "Syahira" itu juga yang dibayangkan. Gadis pertama yang ditegurnya sejak dia menjejakkan kaki ke tanah kampung ini. Suara lembut Syahira jugalah yang menjadi halwa telinga nya. Seolah terbit sebuah perasaan rindu kepada gadis meskipun baru sehari dia melihat wajah gadis itu.


   "Esok aku nak pergi belilah kuih dia" Rizal bermonolog.


   "Hai, rindu gadis penjual kuih nampak?" Pak Nasir yang entah bila datangnya menegur.


   "Eh! takdelah. Ni tengah runsing fikirkan masalah takde kerja ni"


   "Hmm.. Apa kata kamu cuba buka kedai kat bandar berhampiran, dekat Rompin" 'bandar' menurut Pak Nasir merujuk kepada Bandar Tun Razak, Rompin yang berhampiran dengan kampung itu.


   "Tu lah, saya pun terfikir macam tu jugak, simpanan ada lah sikit, saya pun teringin nak miliki gelanggang futsal sendiri."


   "Cubalah, dekat Bandar Tun Razak Rompin tu bukan ada futsal, budak-budak mahu main futsal, tapi berkongsi pulak dengan gelanggang bola keranjang, bola jaring, takraw, badminton, skuasy"


   "Skuasy? hahahaaa... Maksud Pak Ngah ni dewan serbaguna la ni?"


   "Haaa, tu lah. tapi kan gelanggang futsal tu bukan seratus dua ratus punya modal, makan ribuan juga tu kan?"


   "Betul, tapi boleh lah saya buat pinjaman, ada je pinjaman untuk peniaga muda dan kacak macam saya ni"


   "Kacak? Bolehlah. Tapi Pak Ngah lagi kacak dari muda sampai sekarang" 


   "Errrr... esok biasa Pak Ngah buka kedai pukul berapa?" Rizal mengubah topik daripada membiar Pak Nasir hanyut dengan kata-kata karutnya.


   "Hahahaaa...Ubah topik la tu?" 


   "Mana ada, saya tanya serius ni."


   "Pagi lah, pukul 6.30 biasanya. Hmmm... kamu fikirkan lah pasal nak buat business sendiri tu, insya-Allah menjadi. Kalau arwah ibu bapa kamu masih hidup. Mesti dia berbangga dengan cita-cita kamu" Pak Nasir memberi galakkan kepada Rizal. 


    Ibu bapa Rizal sudah lama meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya, sejak dia dibangku sekolah lagi. Sejak dari hari itu, dia dengan abangnya dibesarkan di sekolah anak yatim. Apabila usia menjejak dewasa, dia dan abangnya keluar mencari hidup sendiri. Kini abangnya berada di Kulai membuka bengkel motorsikal kerana itu kebolehan yang dimiliki abangnya. Sekali sekala Rizal akan menghubungi abangnya untuk bertanya khabar.


   "Iyalah tu, marilah masuk Pak Ngah, karang nanti datang pontianak main-main dengan kita pulak." Rizal yang terdengar lolongan anjing dari jauh terus mengajak Pak Nasir nasir masuk ke rumah.


   "Jom lah, sekarang pun tv3 ada wrestling, Pak Ngah nak tengok Kane kena belasah dengan Rey Mysterio" galak Pak Nasir bercerita sambil menumbuk telapak tangan.


   Sambil mereka berlalu masuk kerumah, Rizal sempat merenung ke langit. Di pandangan terlihat seorang gadis melemparkan senyuman manis kepadanya. Ya, gadis si penjual kuih yang sudah pun membawa lari sekeping hati milik Rizal. 


   Esok, dia mahu ke gerai milik si gadis itu untuk menatap lebih dekat lagi wajah si gadis.




---bersambung lagi... haishhh!!!---

5 comments:

Edy G-Minor said...

abih la kuih kasturi esok. huhuhuu..

romentik komedi ke ni? aku byk gelak laa. hahahaaaa.

Khuzz said...

Hahahaaaa... kuih kasturi tu feveret aku sebenarnya...

Yup... romentik komedi... :) maaf kalau mcm sampah...

Edy G-Minor said...

kau anggap tulisan kau sampah khuzz? sampai hati hina bakat sendiri. anugerah Tuhan tu.

Khuzz said...

errrkkk..? bukan lah aku menghina... cuma masih belum layak berbangga dengan apa aku ada...

shazleeshahazeman said...

sambung.