Friday, February 18, 2011

Mengukir Pelangi (Bab 5)

   "Kau tengok sikit adik kau tu Lan, kita jangan percaya sangat dengan orang luar", Pejal mencucuk jarum hasutan.


   "Orang zaman sekarang ni kalau apa dia nak buat, dia buat"


   "Kau tak ingat Zana? Anak Pak Hamid tu. Dah diradak entah orang mana, mengandung budak tu, terus ditinggalkan, sudahnya merana sampai meninggal budak tu", Jai lebih beria-ia menghambur cerita lama sambil jari telunjuknya menuding arah belakang.


   "Isk, apa lah yang diingatkan cerita lama. Arwah pun dah lama pergi". Azlan tenang malas melayan mereka. 


Niat dia cuma mahu beli makanan buat santapan keluarganya di rumah nanti. Tak sangka pula bertemu dengan kutu-kutu kampung. Kutu yang lebih bisa membuat onar dari kudratnya peluh berjasa. Bagi Azlan bicara mereka cuma hampas yang menusuk telinga kanan, berpuput keluar telinga kiri. Bukan sekali dua Jai dengan kawannya menghasut dia, sejak dari zaman sekolah lagi. Kutu-kutu inilah yang menghasut dia atau mengganggu Syahira. Tapi ala bisa tegal biasa. Buang masa sahaja melayan kutu berahak kampung. Azlan bergerak meninggalkan mereka terpinga-pinga.


   "Kau tengok lah budak tu, langsung tak dengar cakap kita. Ish! bengang pulak aku" Jai menumbuk tiang pengampu kedai.


   "Ala Jai, bukan kau tak tahu, budak tu bodoh. Bukan dengar cakap pun".


   "Kau beduk je kepala budak Azlan tu, takut ke apa?", Borhan yang dari tadi sibuk membalas SMS menyampuk.




*******************************************************************************


   Sampai ke rumah Azlan terus menuju ke dapur dan menghidangkan mee goreng yang baru di beli tadi. Sengaja dia mahu belanja seluruh isi rumah. Memang sekali sekala Azlan akan buat begitu untuk memberi peluang adiknya dan ibunya berehat. Biar nampak kekurangan tapi makannya ada. Kasih sayang itu takkan putus sentiasa. Bukan macam orang kaya lain yang selalu keluarganya berantakan, yang kaya duit emas ringgit tapi miskin kasih. Bukan seperti satu keluarga kaya yang makan di satu meja makan tapi si ayah sibuk menghadap laptop, si ibu bergayut dengan ahli persatuan mak datin, si anak perempuan yang sibuk berchatting termasuk si kecil sibuk melayan PSP.


   "Ibu, Syahira mari makan". Azlan menyeru ibu dan adiknya yang sedang menyediakan minuman. Cuma teh O dengan mee goreng tapi cukup untuk mereka. Cukup untuk malam itu. Cukup untuk jadi pengikat hubungan mereka.


   Selesai makan Azlan dan Syahira berehat-rehat di ruang tamu sambil menguyah kerepek pisang. Mereka menonton rancangan di TV3 yang kabur-kabur sebab berisyaratkan antena di atas bumbung. Sedangkan Mak Senah sudah pun masuk ke bilik untuk masuk tidur, atau melipat kain pakaian.


   "Dengar cerita dah ada pakwe?" Azlan bertanya tiba-tiba.


   "Hah? Apa abang ni?"


   "Tu dengan budak baru anak saudara pak Nasir tu?"


   "Haish, apa abang ni?"


   "Abang tengok setiap hari dia datang beli kuih dekat kamu"


   "Habis tu Tok Alang, Pak deris, Abang Karim, Ah Seng yang dari dulu setiap hari beli kuih kat Ira pun pakwe Ira lah?"


   "Takdelah sampai macam tu. Orang-orang dok mengata je"


   "Siapalah yang bawak cerita ni abang oi..."


   "Jai yang cakap"


   "Abang sendiri tau perangai muka macam musang tu macam mana, buat apa lah di dengar?"


   "Sudah lah abang. Jangan dengar sangat budak-budak tu, baik abang dengar Zul Handy Black nyanyi lagu Kau Bernama Seri"


   "Kamu jaga-jaga sikit, dengan orang baru, kita tak kenal"


   "Baik lah cik abang yang kacak"


   "Hmmm, permohonan kamu nak sambung belajar tu dah dapat?"


   "Tak tahu lah bang, takpe lah, setahun dua lagi pun boleh sambung belajar."


Azlan terus mengunyah kerepek pisang sambil menonton rancangan TV3. Sampai lah dia terlelap dipembaringan.


"Beep.. Beep". Handphone Syahira berdering menandakan ada pesanan SMS masuk. Handphone yang dibeli hasil jualan kuihnya itu masih setia berkhidmat sampai ke hari ini. Sedang teman seumurnya sudahpun berubah rasa ke gadget yang lebih canggih. Sudah berubah selera kepada arus permodenan.


   "Salam...Hai, dah tidur ke?" terpapar di skrin handphone nya datang dari nombor yang tak dikenali. Syahira terkedu, siapa pula yang menghantar SMS cuma setakat pendek macam tu. Biasanya dia tak akan layan mesej-mesej spam serupa itu. Tapi entah kenapa dia tergerak untuk membalas pesanan itu.


   "Salam, belum lagi, siapa ni?" jemari runcing Syahira menaip.


   "Hai, cepat benar lupa kita ni, yang beli kuih awak pagi tadi pukul 7.17pagi"


   Memori Syahira terimbas laju kepada peristiwa pagi tadi. Pagi tadi memang ada seorang lelaki datang ke jualannya. Lelaki yang sama dia jumpa di kedai tambah nilai tempoh hari. Entah kenapa dia boleh rasa senang dengan lelaki itu. Selama 19 tahun hidup di muka bumi, belum pernah dia sesenang itu bila berbicara dengan lelaki. Bila si lelaki itu bertanya hal pelajaran pun, mudah sahaja Syahira menjawab. Dengan mudah juga Syahira memberi nombor telefon bimbitnya bila si lelaki meminta. Alasan lelaki itu mudah untuk dia membantu kiranya ada jenis pembiayaan yang boleh membiayai pengajiannya nanti. Syahira rasa macam ada satu daya penarik sekuat besi bertemu magnet. Rasa yang sangat senang.
   
   "Oh, awak, kenapa tak tidur lagi?" Syahira membalas SMS tersebut.


   "Saja, memang biasa tidur lambat, lagipun teringatkan kamu, tu yang saya hantar mesej tu"


   "Ye lah tu. Orang bandar macam awak takkan lah takde perempuan kat bandar tu"


   "Ada, banyak, yang jaga kaunter tiket bas, yang jual air, yang kerja nurse, tu semua perempuan, tapi bukan saya punya. Hahahaha"


    Mereka berbalas-balas SMS sampai larut malam. Syahira tak rasa janggal untuk berbalas pesanan dengan lelaki itu. Kalau sebelum ini, cukuplah sekadar hal-hal pelajaran atau yang penting sahaja. Dari peristiwa berbalas-balas pesanan itu jugalah Syahira tahu bahawa lelaki itu bernama Rizal. Lelaki itu santunnya baik tapi suka sangat berjenaka. Mungkin itu membuat Syahira rasa senang untuk berbual dengan Rizal. SMS terhenti bila Syahira tak dapat pesanan dari pihak Rizal. Mungkin Rizal sudah tertidur. Syahira pula cuba melelapkan mata kerana esok pagi-pagi tugasan hariannya akan dijalankan seperti biasa.




********************************************************************************


   Suasana riuh-rendak restoran mamak 24 jam jelas kelihatan. Hiruk sang remaja kota melayan perlawanan bola sepak yang ditonton di layar. Dua pasukan gergasi eropah bertempur dalam merebut kejuaraan berprestij taraf benua. Pasukan Tottenham Hotspurs bermatian menentang pasukan pilihan Barcelona. Jelas penyokong rata-ratanya berjersi belang-belang biru merah tercetak no 10. Ada penyokong dari kalangan penuntut, ada dari pekerja ada juga dari rempit yang cuma Messi yang dikenali.


   Ada asap-asap shisha dari pelbagai perasa mengepuli ruang restoran itu. Bercampur dengan  asap dari rokok pelbagai jenama yang seludup atau yang sah dari kerajaan. Kadang-kadang pekerja melintasi layar membuat penonton berbulu. Ada si lelaki yang membawa pasangannya seolah mahu menunjuk pada semua isi restoran dia seorang sahaja yang ada kekasih.


   Nazri dan kawan serumahnya juga tak ketinggalan untuk menonton perlawanan hebat ini. Sudah pun memasuki separuh masa kedua dan air juga sudah tiga gelas masing-masing bertambah. Tempat duduk mereka agak strategik tidak terhalang dengan kepala-kepala yang besar atau yang tak masuk akal bila pakai topi diwaktu malam. 


   Tiba-tiba sahaja ada seorang gadis menarik kerusi dan duduk sebelah Nazri.


   "Oi! Tengok bola sampai tak perasan ada awek cun kat sebelah" tegur si gadis.


   "Eh, kau Lina. Kau dengan siapa kat sini?"


   "Tu" ringkas jawab Harlina sambil menuding ke arah satu meja budak sepejabatnya.


   "Kau agak-agaklah nak buat re-union pun. Takkan sampai kat kedai mamak? hahahaa..."


   "Banyak lah kau punya re-union, kau ingat kau sorang je ke nak tengok bola? Aku pun nak tengok Abang David Villa aku"


   "Bila pulak lah kau ni reti tengok bola?" Nazri menjawab tapi mata tetap tertumpu ke arah kayar. Rugi kalau dia melepaskan sesaat aksi tersebut.


   "Aku memang tengoklah, kau je yang tak tahu. Hei Naz, alang-alang aku dah jumpa kau kat sini, aku ada benda lah nak dari kau."


   "Apa dia? Kau ni, jangan lah macam ni, tahu dek awek aku kau nak benda aku, masak aku!"


   "Otak kau ni kalau tak kotor tak boleh ke?"


   "Hahaha.. Apa dia? Tapi boleh tak kalau kita cerita lepas game habis?"


   "Ok, boleh je. Aku lepak sini je lah dengan kau."


   "Ikut kau lah"


Mereka menonton sampailah pengadil meniup wisel penamat permainan. Selesai sahaja perlawanan, bersorak penyokong yang menang sementara penyokong yang kalah cepat-cepat ke kaunter buat pembayaran.


   "Korang balik dulu ye? Aku ada hal sikit lah" Nazri memberitahu kepada Lazim, kawan serumah.


   "Hei Naz, kau tu dah ada awek pun, nak sedap dengan perempuan lain ke? Dengan bekas member sendiri pulak tu. Hakhakhakahk!!"


   "Kepala hotak kau! Ni member aku lah!"


Bila semua sudah pulang dan restoran itu beransur lengang Nazri memulakan pertanyaan.


   "Apa dia kau nak?"


   "Macam ni. Aku rindu kan dia. Aku selalu terfikir kan dia. Aku nak cari Rizal. Aku call dia tak dapat. SMS tak delivered."


   "Lah? Habis kau punya Hisyam tu mana? Lelaki yang buat kau beralih arah tu?"


   "Jangan tanya lah pasal lelaki tu, yang penting sekarang aku nak cari dia, aku nak minta maaf dekat dia, aku nak balik semula kepada dia. Aku tahu aku silap. Aku pentingkan diri. "


   Perbualan mereka semakin berlanjutan ke awal pagi. Lina memberitahu segalanya tentang penyesalannya kepada Nazri. Dia tahu Nazri memang pendengar yang baik. Dia tahu Nazri memang seorang kawan yang boleh diharap. Dia tahu Nazri merupakan kawan baik dengan Rizal. Dia yakin bahawa Nazri tahu tentang gerak-geri Rizal. Lina mahu berjumpa dengan Rizal. Tapi Nazri rasa serba salah dan ada sedikit curiga. Kenapa dengan mudah Lina berpisah dengan Hisyam, lelaki yang jadi orang tengah sewaktu hati Rizal dirobek luka dulu. Kenapa dengan begitu cepat juga Harlina mahu mencari Rizal.


   "Kau jangan fikir bukan-bukan Naz, aku betul-betul menyesal. Aku tahu Rizal tak berhak untuk dilukakan. Tolonglah aku bersihkan dosa aku pada dia"


   "Hmmm.. Iyalah aku tolong kau"


   Bila hampir pagi barulah mereka bersurai dan menuju ke kereta masing-masing. Dan masing-masing juga membawa haluan sendiri. Nazri mahu tidur sepuasnya kerana dia sudah siap mohon MC semata-mata untuk perlawanan bola itu.......


  




Aduih!! bersambung lagi.....!!!!! gggrrrrrr......

5 comments:

Edy said...

biskut hap seng cicah teh o!

sedap siut!!! grrrr! genius pulak kau rancang penceritaan kali ni. cepat sambung derr!!!

HAHAHAHAHAHAAA.

Khuzrin Kamarudin said...

Hahahahahaaa... rilek lah edy... ni pun aku makan biskut meri cecah teh o baru dapat idea... hahahhaa...

An Najwa said...

wow!!jalan cerita yg menarik..
congrest ye!!....=)

An Najwa said...

wow!!jalan cerita yg menarik..
congrest ye!!....=)

Khuzrin Kamarudin said...

Terimas... :)