Tuesday, June 25, 2013

Percutian Yang Tragedi...



Sekadar hiasan. Gambar curi tanpa kredit.

   Sharipuddin seorang lelaki yang separa tampan namun punya senyuman mampu membuat gadis-gadis penjual kuih tepi jalan jadi cair. Dia seorang penjawat awam yang berpangkat sederhana. Biar hidupnya serba sederhana, dia juga punya cita-cita. Iaitu ingin makan malam dengan Nora Danish hanya berdua.

   Hari ini Sharipuddin kerja separuh hari. Sengaja dia cipta alasan nak melawat neneknya yang nazak di hospital walhal nenek dia sudah lebih lima tahun meninggal dunia. Bos dia pun bangang bulat-bulat percaya. Rakan-rakan opis dia pun percaya. Hakikat sebenarnya Sharipuddin nak balik awal sebab bosan. Dia sengaja nak balik awal, nak melepak lama sikit di kedai mamak. Kalau dia tak balik awal, hidup dia ketara bosannya. Balik lewat, sampai rumah mandi. Kendian makan. Kendian tidur. Bosan.

   Dia hantar SMS dekat kawan dia Muzammil Ashraf atau nama panggilannya Norman. Apa kaitannya Muzammil Ashraf boleh dipanggil Norman, tak pula diketahui sebab musababnya. Dalam SMS itu terkandung yang Sharipuddin nak ajak Norman lepak minum dekat sebuah kedai mamak sekitar Batu Pahat. Tempat mereka berdua membesar.

   Sharipuddin sampai awal di kedai mamak. Dia pesan nasi goreng ayam berlada dengan teh o ais. Dia suruh mamak cepat sikit sebab dia lapar. Mamak buat muka bangang je.

   Sementara tunggu pesanan siap dan tunggu Norman sampai, dia belek-belek telefon pintarnya. Dia scroll atas-bawah. Atas-bawah. Tiba-tiba jari-jari dia terhenti di satu 'post'.

   "Percutian Yang Menenangkan, hanya di Pulau ini!"

   Begitulah 'post' tersebut. Sharipuddin bulatkan matanya besar-besar tatkala melihat gambar-gambar keindahan pantai, kebiruan laut, kehijauan pokok-pokok dan kesegaran gadis-gadis yang mandi-manda di tepi pantai.

   "Hoi!". Muncul Norman tiba-tiba dengan pakaian t-shirt jenama Cap Ikan. Sharipuddin pandang kejap Norman, kendian pandang semula ke skrin telefon pintarnya. Tak lama dia serahkan pada Norman. "Kau tengok sini, pergi nak hujung tahun ni?"

   Norman capai telefon pintar tersebut tanpa menjawab soalan Sharipuddin. Dia baca diskripsi 'post' tersebut berserta gambar-gambarnya.

   "Kau ni biar betul? Tempat ni bahayalah." Norman memulakan protes.

   "Gila kau? Lawa kot tempat ni. Jomlah kita lepak dekat sini. Rehatkan minda."

   "Entahlah. Tapi tak sesuai kot. Nanti kita ajaklah lagi dua tiga orang." Norman malas nak berkelahi. Tapi hatinya semacam tak setuju.

                                              **************

   Sharipuddin pergi seorang diri ke pulau yang dia baca di internet enam bulan lalu. Hatinya sedikit bengang dengan Norman sebab Norman taknak ikut. Kawan-kawan yang lain pun tak mahu turut sama dengan percutian kali ini. Semuanya bimbang akan keselamatan diri. Sharipuddin juga akui tentang keselamatan di situ. Tapi dia cukup teruja dengan keindahan di situ. Dia pandang seketika di tiang-tiang kawasan peranginan itu sepanjang dia berjalan kaki hendak ke kawasan daftar masuk.

   "Percutian Yang Menenangkan." Sharipuddin tersenyum. Inilah masanya untuk dia menenangkan dirinya setelah setahun bekerja menjadi hamba abdi kapitalis.

   "Nak check-in." Sharipuddin berkata lembut. Memang hati dia tenang. Baru tiba di meja daftar masuk, dua orang petugas yang cukup ayu memberi senyuman buat Sharipuddin. Seolah-olah memberi gambaran awal tentang segala ketenangan di pulau ini.

   Sharipuddin meletakkan beg-beg di sisi bilik. Kemudian dia terus merebahkan badannya ke tilam untuk baring seketika.

   Tiba-tiba badannya terasa basah. Dia bangun semula. Dia nampak cadar tilam basah dengan air. Dia pandang ke atas, ada sesuatu mengalir dari siling. Terus sahaja Sharipuddin panggil pegawai yang bertugas.

   "Maaf encik. Maaf! Boleh kita tukar ke bilik lain?" Pegawai yang bertugas berkali-kali mengakui kesilapan dengan suara penuh serba salah.

   "Eh. Takpe. Takpe." Sharipuddin membalas lembut. Dia langsung tak kisah tentang kekhilafan pihak pengurusan malahan baik sahaja untuk bertukar bilik. Hatinya sudah dilitupi tentang keindahan dan ketenangan di sekeliling kawasan itu.

   Malam itu Sharipuddin mahu menikmati makanan. Perutnya lapar. Dia bergegas ke tempat makan. Dia ambil sahaja lauk yang dia nak. Memang semuanya menyelerakan. Ada ikan bakar. Ada udang panggang. Ada kupang rebus. Ada ikan solmon. Semuanya sedap-sedap belaka. Sharipuddin ambil satu ikan bakar dan beberapa udang panggang. Untuk cuba sedikit.

   Dia duduk dengan tenang di satu meja sambil menghadap ke laut. Dia kopek sedikit isi ikan bakar dan sua ke mulut sendiri. Sedap. Memang sedap. Kemudian Sharipuddin gigit pula udang panggang. Seketika kemudian gerakan kunyahannya jadi perlahan. Dia pelik. Terasa hamis. Dia panggil petugas tempat makan itu.

   "Maaf encik! Maaf. Biar kami tukar hidangan yang lain." Pelayan di situ tertunduk-tunduk meminta maaf kerana risau diherdik pelanggan kendian di marah bos. Sungguh dia tak perasan tentang udang yang sudah mula membusuk itu.

   "Eh! Takpe. Rilekslah. Awak ambil je hidangan yang baru. Saya ok je." Sharipuddin melemparkan senyuman buat pelayan. Pelayan sedikit lega.

   Sharipuddin bersandar sementara menunggu hidangan. Matanya separa terlelap apabila terkena pukulan bayu laut yang cukup lembut malam itu. Jiwa Sharipuddin tenang setenangnya.

   Seketika kemudian dia julurkan kakinya, tak semena-mena. tatkala itulah seorang manusia dengan sepinggan makanan terlanggar kakinya, hampir terjatuh. Manusia tersebut tak jatuh, tapi pinggan dengan air tembikai tepat ke dada dan perut Sharipuddin. Habis penuh dengan makanan dan minuman.

   "Maaf bang! Maaf! Saya tak sengaja!" Gadis tersebut yang berpakaian kasual bercuti menampakkan peha meminta maaf. Rambutnya sedikit mengerbang menutup muka akibat ditiup angin.

   "Laa. Bukannya awak sengaja. Takpe. Takpe." Sharipuddin rileks. Dia tak kisah sikit pun. Apatah lagi insiden itu membabitkan seorang gadis yang kiranya berdarah kacukan.

   Sharipuddin pulang ke bilik setelah menikmati malam di kawasan itu. Dia duduk menghadap ke tingkap sambil memandang ke keindahan pantai yang disimbah cahaya bulan terang.

   Baru dia hendak melelapkan mata, telinganya menangkap kemas bunyi : "Trrrrrrt... Trrrrrtt... Tok... Tokkk... Trrrrtttt..."

   Bunyi gerudi dan ketukan bersilih ganti. Sharipuddin pasti datangnya dari bilik sebelah. Sharipuddin bangun untuk ke bilik sebelah. Dia tengok pintu terbuka. Dia pasti itu bilik yang sepatutnya dia menginap sewaktu tiba siang tadi.

   Lampu terang. Sharipuddin menolak pintu dan melangkah perlahan. Dia pandang ke dalam bilik tersebut. Dia terdiam.

   "Maaf bang kalau kacau. Kitorang nak repair siling ni. Paip air-cond atas ni bocor agaknya." Seorang lelaki bersuara di antara tiga orang dalam bilik. Yang seorang sedang berdiri di atas tangga sedang mengetuk-mengetuk siling.

   "Takpe. Takpe. Saja je nak tengok." Sharipuddin tersenyum. Dia memerhatikan sebentar aktiviti membetulkan siling dan kemudian masuk semula ke biliknya. Sharipuddin terus baring atas katil terus terlelap bersama dengan bunyi bising dari sebelah bilik.


   Esok paginya Sharipuddin bersiap ringkas. Hari ni niat dia nak mandi-mandi di tepi pantai sambil menikmati kebiruan air laut serta telatah-telatah gadis-gadis yang mandi. Dalam perjalanan hendak ke pantai dia singgah sebentar untuk bersarapan.

   "Selamat pagi encik. Maaf pasal semalam." Pelayan yang sama meminta maaf lagi sekali.

   "Eh. Apa awak ni. Semalam, semalam punya ceritalah. Apa ada yang sedap pagi ni ya?" Sharipuddin bertoleransi menyebabkan pelayan tersebut segan sendiri.

   
   Selesai bersarapan, Sharipuddin melangkah rileks ke arah pantai. Dari jauh dia dah dengar deruan ombak yang lembut. Dari jauh kakinya semakin memijak pepasir. Dari jauh dia dah disapa angin bayu yang lembut. Dari jauh dia dengar bunyi teriakan orang ramai beriadah. Sharipuddin terus jadi teruja.

   Dia semakin hampir ke pantai. Dia semakin hampir di gigi laut. Dia semakin hampir namun tiba-tiba...

   Matanya tak menipu. Retinanya tak berdusta. Impulse saraf matanya masih berfungsi stabil. Otaknya masih setia mentafsir tentang apa yang dia lihat. Perlahan-lahan jiwanya berasap, membara, berapi dan meletus. Pom!

   Dengan jelas dia nampak berwarna biru dan merah. Sedang bermandi-manda. Sharipuddin cuba tak endahkan perasaannya. Dia pandang ke depan dan berjalan untuk mencecahkan kaki ke air. Dengan harapan kedinginan air itu menyejukkan hatinya walau hakikatnya dia rasa terganggu.


   Ok. Sekarang air dah separas lutut. Tapi dia cuma berdiri kaku. Depan dia secara tenang, satu lagi sedang berenang melintasinya berwarna biru dan merah pula. Sharipuddin panas kembali. Air sejuk seakan mula berasap.

   Sharipuddin berundur ke belakang perlahan-lahan. Minatnya hendak berendam dah terbantut. Kali ni dia terlanggar pula gara-gara berundur tanpa toleh ke belakang.

   "Ops. Sorry." Si berwarna merah biru lagi. Kali ni melanggarnya. Sharipuddin pandang penuh panas.

   Sharipuddin keluar dari air yang dirasakan cukup panas. Kali ni dia pandang sekeliling. Banyak! Hampir separuh memenuhi kawasan perairan itu. Berselang-seli. Ada warna merah biru. Ada warna biru merah. Ada warna pink jugak yang buat dia rasa nak muntah. Ada jugak yang biasa warna hitam tapi ada gambar kepala rimau besar-besar di depannya. Semuanya berpakaian yang hampir sama. Berlogo sama.

   Sharipuddin hilang akal. Air laut yang biru tenang dia nampak berwarna jingga kemerahan seolah-olah sedang mendidih. Sharipuddin rasa kepalanya berdenyut. Sharipuddin rasa denyut jantungnya tak stabil.

   Sharipuddin menyeluk-nyeluk poket seluarnya untuk mencari ubat darah tinggi atau sakit jantng. Tapi dia tersedar, dia mana ada darah tinggi atau sakit jantung! Dia sihat!

   Sharipuddin lari dapatkan petugas di situ. Dia tanya mana pengurus. Pengurus datang dengan tenang.

   "Kenapa Encik?" Pengurus kawasan bertanya lembut. Dia nampak Sharipuddin mendengus.

   "Kenapa?" Sharipuddin menyeringai.

   Pengurus hilang punca.

   Sharipuddin tetiba pergi ke salah satu tiang kawasan pengurusan dan merentap salah satu poster. Depan-depan pengurus itu, Sharipuddin koyakkan poster itu. Pengurus bingung.

   "Kau kata tempat ni menenangkan! Kenapa orang-orang yang pakai jersi macam tu ada dekat sini? #*$^&$(@^^($())" Sharipuddin mencarut hanya dalam satu nafas. (Bahasa carutan terpaksa ditapis)

   Pengurus masih lagi bingung.

   Bedebuk! Tak pasal-pasal penumbuk tepat di perut pengurus. Disusuli pula terajang 18 tanpa bayang sambil disusuli carutan-carutan Sharipuddin.

   "Kalau ada orang pakai  baju tu dekat mana-mana, orang lain takkan tenang. Faham?" Habis ayat itu. Sharipuddin terus beredar.

                    ****************

   "Aku dah kata, tempat tu bahaya untuk kau. Situ kawasan diorang. Sejak akhir tahun lepas, memang situ penuh dengan pemakai baju-baju tu." Norman menenangkan Sharipuddin sebaik Sharipuddin menyelesaikan ceritanya yang penuh tragik sambil berdengus yang belum habis gara-gara geram.

6 comments:

Anonymous said...

mandi pantai pakai baju ni selalunya perihal orang rendah keyakinan diri

Tengkubutang said...

Follower ke : 788
Hai.. Salam Kenal..
done follow.. jom follow blog teman.. heee.. http://tengkubutang.blogspot.com/

klu minat kucen leh follow blog ni jugak.. =)
http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

peach said...

nice blog!! xx peach

momomoworld.blogspot.com
or
justalittlekitten.blogspot.com.au

Miss Brenito said...

cesss... buang karan tol.. by the way..haruss lawakkk.. sy minta izin follow yer

Anonymous said...

x faham la...tolong trangkan lgi brsuluh...

A.R.E.L.E.E.Z.A.F.F.E.N.D.Y said...

baju ape tu? lambat pick up la.. xpaham. hu3..