Sunday, December 15, 2013

KLCC dalam Nahas (Part 1)


   Cerita ini ialah hasil usahasama dari gabungan beberapa kepala manusia yang berotak geliga seperti pemimpin dunia. Setelah lama bermesyuarat, akhirnya ini yang terjadi. Mari kita mulakan.

-------------------

   Cuaca hari itu tampak indah untuk dinikmati mana-mana manusia pun. Kicauan sang burung menambah lagi melodi sungguhpun bunyi burung-burung tersebut tenggelam dek derasnya bunyi kereta dan motorsikal lalu-lalang. Masih sibuk kota raya meskipun di hujung minggu.

   Dalam satu bilik kecil, seorang pemuda sedang terbungkang tertiarap tidur. Cahaya matahari dari luar rumah yang masuk melalui celah-celah tingkap bilik tersebut menyimbah ke muka pemuda tersebut. Perlahan-lahan dia mula membuka mata kerana rasa panas hati dengan cahaya matahari yang panas itu. Tangannya meraba-raba mencari telefon bimbit di bawah bantal. Mata yang kuyu terus bundar.

"Setan! Dah 11:30!" Pemuda yang lebih mesra dipanggil Syakir itu terus duduk. Ada 30 missed-call tertera di skrin telefon bijak miliknya itu. Lagi dia menggelupur. Dalam keresahan dia sakit hati. Kenapa dia boleh 'silent' kan telefon bijaknya itu. Sepatutnya dia kena keluar rumah pukul 9 pagi!

   Tanpa membuang masa yang sudah dua jam setengah terbuang itu, dia bergegas mencapai tuala biru muda yang tersangkut di bucu katil lantas berlari ke bilik air. Tiba-tiba dia keluar semula sebab terlupa untuk membakar rokok. Hisap rokok sambil mandi memang sudah menjadi rutin Syakir. Barulah berjiwa sejati macam watak hero dalam filem Hollywood.

   10 minit kemudian dia keluar dari bilik air tersebut dengan titik-titik air yang masih basah di badan. Dia memang begitu kalau terlewat. Mengelap badan sendiri pun dia abaikan. Entahkan dia sempat menggosok gigi atau tidak, tidak pula dapat dipastikan.

   Tanpa berlengah lagi, Syakir terus menyarung baju Padini kolar V berwarna coklat yang dia beli sewaktu mega sale dua bulan lepas. Dia masih lagi menyumpah dalam hati, kenapa dia boleh tidur lewat malam tadi. Semuanya gara-gara dia menonton perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris lewat malam tadi. Sudahlah dia menyokong sebuah pasukan yang sinonim dengan warna merah, pasukannya kalah pulak. Lantas dia tidur lewat. Biarlah. Itu pilihan hatinya.

   Kemudian Syakir menyarung pula seluar jeans biru yang memang ber-design sedikit lusuh yang sempat dia kirimkan dari seorang teman di Rantau Panjang. Dalam masa itu jugalah dia menyembur pewangi yang sempat dia beli di Downtown Cheras di kiri dan kanan badannya tanpa setitik pun jatuh ke lantai. Baginya setitik minyak wangi ibarat setitik peluh peniaga di Downtown Cheras. Setelah itu, dia menyapu sedikit gel di rambbutnya dan menyikat rambut pendeknya itu ke belakang. Sempurna!

   Setelah berpuas hati dengan penampilan dirinya yang segak persis Rosyam Nor itu, Syakir mendapatkan telefon bijaknya yang sedang bersambung dengan wayar pengecaj, terus menaip :

"kittew tunggu awucks dekart lrt jamek tawu. xoxo!" 

   Sambil menekan butang 'send', Syakir tersenyum riang bak bunga mawar yang sedang mekar. Bahagia sungguh rasanya meskipun isu terlewat masih bermain di kepalanya.

   Belumpun sempat dia sampai di muka pintu, telefon bijaknya berbunyi lagu Wonderpets tanda ada SMS masuk.

"Laju betul minah ni taip mesej?" Syakir bermonolog sendirian. Skrin sesentuh telefon bijaknya tertera nama 'Leeya Tomeiy' berserta SMSnya.

'K'

"Bangsat betul. Berialah aku menaip, 'k' je yang dia reply?" Syakir menyirap. Tapi sekejap sahaja, rasa menyirapnya itu pudar semula. Hal ini kerana dia terbayang akan wajah Leeya yang sememangnya menjadi kegilaan hatinya. Seorang gadis yang dia kenali di Facebook tahun lepas, kini bakal berhadapan dengannya dan bakal menjadi sejarah terulung yang pernah tercatat dalam kamus hidup sepanjang hayat Syakir. Mana mungkin dia lupa akan tarikh hari ini?
   Selepas menyarung sepatu, (bukan Sepahtu ya? #KTakLawak), Syakir melangkah megah keluar rumah. Tiba-tiba dia melompat kegirangan sambil melepaskan sebuku tumbukan yang padu ke udara.

"Yeargghhh!!" Begitulah teriak Syakir yang sangat megah itu.

   Seorang budak kecil yang sedang mengayuh basikal roda tiga, berhenti mengayuh kerana terlihat gelagat Syakir. Wajahnya polos, mulutnya ternganga, ais-krim pop di mulutnya terjatuh ke tanah.

   Syakir tak menghiraukan budak kecil tersebut, lantas berjalan angkuh sambil mendada menuju ke stesen LRT Taman Bahagia.

"Setelah sekian lama ber-forever-alone, akhirnya aku bermakwe jugak." Bisik hati Syakir. Langkahnya penuh keyakinan. Riang. Sambil berjalan, mulutnya automatik menyanyi lagu KLMUC yang sesekali tertukar lirik dengan lagu IM4U.

   Setelah sampai di Stesen LRT Taman Bahagia, Syakir pun membeli token dan menunggu tren dengan tak sabarnya. Namun tak sabarnya itu tiba-tiba jadi hilang sabar bilamana sudah 15 minit, sebiji tren pun tak kunjung tiba.

"Natang betol." Syakir mencarut dalam loghat Terengganu. Hatinya sungguh bimbang sekiranya Leeya sudah lama menunggu di Stesen LRT Masjid Jamek.