Thursday, December 19, 2013

KLCC dalam Nahas (Part 3)

   Syakir duduk dengan resah sambil matanya asyik memandang ke arah peta perjalanan LRT Aliran Kelana Jaya itu. Satu-persatu setesen dia kira. Lebih kurang 10 stesen, barulah tren yang dia naiki itu akan tiba di Stesen Masjid Jamek. Syakir menegur air liur sendiri. Jari-jemari kasarnya mengira-ngira setiap stesen yang dilalui persis orang sedang berzikir. Diam dan bertenang namun jarinya sahaja yang bergerak-gerak.

   Kepala otak Syakir yang geliga dan suci itu terbayang-bayang akan suasana di KLCC nanti. Sudah hampir sebulan, iklan tentang program di temasya di KLCC itu dikeudarakan melalui corong-corong radio mahupun di stesen televisyen. Dekat surat khabar juga turut diwar-warkan akan kemasyhuran program tersebut. Tidak cukup dengan itu, habis semua majalah HAI, Mangga, Rambutan, Durian, Anjung Seri semuanya menghebahkan tentang aktiviti tersebut. Malahan Syakir teringat-ingat kepada Neelofa yang sering mempromosikan program tersebut ketika segmen MeleTOP, segmen kegemarannya. Cuma kurang pasti sama ada dia ingatkan program itu atau teringatkan Neelofa. Syakir tersenyum nakal.

   Menurut iklan hebahan tentang program tersebut, Rosmoh atau lebih dikenali sebagai First Lady Malaysia akan turun padang selaku merasmikan program tersebut. Syakir memang mengagumi Datin Sri Rosmoh. Kerana bagi dia, Rosmoh seorang yang setia. Kesetiaan Rosmoh terbukti bilamana dia sering mengikuti, menemani Perdana Menteri ke mana sahaja PM pergi. Begitu manja kisah percintaan pemimpin negara itu biarpun sibuk mentadbir negara. Rosmoh juga memang terkenal dengan sikap sentiasa menyokong Perdana Menteri. Ciri-ciri wanita seperti itulah yang Syakir idamkan. Dia mahu Leeya juga begitu sekiranya Leeya benar-benar menjadi isterinya nanti. Syakir tersenyum lagi. Kejap senyum. Kejap resah. Kejap marah. Apahal entah dengan Syakir ni.

  Berdasarkan info, majlis program tersebut akan diadakan secara meriah dan besar-besaran. Banyak aktiviti akan dijalankan. Antaranya permainan belon acah, konda-kondi, treasure-hunt, explo-race, Fear Factor dan pelbagai lagi. Dan paling mencuri tumpuan, akan ada pameran barang kemas secara mega termasuk pameran cincin milik Rosmoh yang dinilaikan jutaan pound sterling. Cincin yang menjadi bual mulut bicara rakyat jelata seluruh Malaysia. Pasti ramai orang kaya dalam dan luar negara hadir untuk melihat atau mungkin membida cincin tersebut.

   Syakir bukan kisah pun pasal tu. Bukannya dia ada duit yang banyak untuk membida cincin tersebut. Baginya cukuplah kasih sayang untuk dia cuahkan kepada Leeya nanti. Tidak perlu wang ringgit kerana baginya wang ringgit bukanlah segala-gala.

   Syakir turut teruja bila teringatkan akan kehadiran ramai artis yang akan memeriahkan program tersebut. Antaranya band New Boyz yang menjadi kegilaan Syakir masa remajanya. Kerana menurut iklan, New Boyz akan datang membuat come-back. Ketegaran Syakir kepada New Boyz terbukti bila mana dia ada satu buku log yang mengumpulkan semua gambar-gambar New Boyz dahulukala yang digunting di majalah-majalah hiburan. Juga ada biodata lengkap seluruh ahli band tersebut. Masih tersimpan rapi buku tersebut. Obsesi Syakir mencapai kemuncak bila secara sengaja telah men-"Stonecold Stunner" rakan serumahnya gara-gara rakannya itu secara tak sengaja tercalarkan Album CD Kompilasi 'Sejarah Mungkin Berulang.'. Nasib yang sama menimpa kucingnya bila kucing itu telah mengoyakkan salah satu poster kegemarannya, poster New Boyz sedang bersidai di tepi kolam renang.

   Rentetan daripada dua kejadian tersebut, Syakir di penjarakan selama tujuh hari atas tuduhan mengasari orang lain dengan niat.

   Tapi itu kisah lama. Kini Syakir seorang yang budiman. Buktinya, dia kini telah memiliki Leeya. Biarpun selama ini mereka bercinta secara atas talian dan corong telefon.

   Lamunan Syakir tersentak bila secara jelas, pembesar suara memberi pengumuman "Stesen berikutnya, Masjid Jamek. Stesen pertukaran Aliran Ampang."

   Syakir cemas. Degupan jantungnya begitu laju selaju menanti keputusan siapakah pelajar AF yang akan terkeluar. Tidak! Lebih kencang dari itu sebenarnya. Untuk meredakan sedikit tekanan, Syakir menyanyikan perlahan lagu 'Cuba-cuba', lagu New Boyz yang agak rancak. Dia betulkan alunan rambutnya biar rapi dengan berpandukan cermin mata hitam orang sebelahnya. Nasib baik orang sebelah dia tu tengah tidur.

   Tren berhenti. Pintu tren dibuka secara automatik. Syakir melangkah dengan penuh gentle-men. Dia bergerak menuju ke tempat masukkan token untuk keluar dari stesen tersebut. Syakir memerhati sekeliling mencari-cari kelibat Leeya idamannya. Sengaja dia tak mahu menghubungi Leeya sebab bertujuan membuat kejutan kepada Leeya. Biar Leeya terkejut sambil menumbuk-numbuk dadanya.

   Dua-tiga minit diperlukan Syakir untuk mencari kelibat Leeya. Maklumlah, pertemuan kali pertama. Sosok tubuh dan pemakaian Leeya, semuanya sudah dalam kepala Syakir sebab semalam Leeya dah bagitahu dia nak pakai baju apa.

   Akhirnya Syakir dapat mengecam sesosok tubuh wanita, bertudung warna turqoise, baju Mickey Mouse lengan panjang, serta jeans pemberian Syakir yang dihantar melalui Pos Laju sewaktu hari jadi Leeya. Gadis tersebut sedang duduk di satu anak tangga semacam menantikan seseorang. Semestinya sedang menunggu Syakir.

"Ah ha! Itulah dia wajah kesayangan hamba!" Syakir bersuara sendirian.

   Perlahan-lahan Syakir menghampir belakang Leeya dan menutup mata Leeya. Sekejap sahaja Leeya menoleh kepada Syakir. Ya memang benar itu ialah Leeya. Syakir memberikan senyum yang cukup romantis kepada Leeya. Tiba-tiba,

"Gedebuk!" Sebiji tumbukan yang cukup padu, berkelajuan 230 km/j hinggap di pipi kiri Syakir dan tumbukan itu dituruti dengan cubitan manja di lengan kiri Syakir.

"Aduh!" Syakir mengaduh.

"Awak pergi mabuk dekat mana hah semalam?! Saya talipon banyak kali tak angkat! Habis semua budak rumah awak saya call, jiran awak, client awak, broker saham awak, semua saya call. Kenapa lambat? Hah?"

"Errr. Semalam tengok MU lawan lah sayang. Hehehe." Syakir tersengih-sengih sambil menggaru-garu kepalanya. Orang ramai cuma pandang kemudian berlalu pergi.

"Tengok MU buat apa? Dah tahu MU lemah, tak power, pergi sokong jugak buat apa? Lain kali sokong Chelsea! Sebab Chelsea power! Awak tahu tak saya dah jadi tugu nak dekat 4 jam tunggu dekat sini? Hah? Kalau saya kena culik tadi macamana?" Leeya membebel.

"Errr..."

"Awak tahu tak orang ingat saya pengemis sebab duduk lama dekat sini? Nampak ni?" Leeya bengang lantas menunjukkan beberapa keping syiling yang dia terima dari orang ramai. Suaranya cukup laju semacam tiada toma'ninah untuk bebelannya berhenti.

"Syuuhhh!" Syakir meletakkan ibu jari di bibir Leeya dan Leeya berhenti membebel.

   Syakir pun menerangkan satu persatu sambil mengajak Leeya duduk tangga tersebut. Semua penjelasan Syakir mula diterima Leeya dan akhirnya Leeya tak merajuk lagi.

   Tiba-tiba mereka dihampiri seekor anjing berketurunan Rottweiler.

"Brader, Nama aku Johnny. Tumpang tanya, macamana nak pergi KLCC?" Anjing tersebut memperkenalkan diri terus bertanya.

"Naik tren pergi ke Gombak. Turun KLCC." Syakir menjelaskan tanpa menoleh kepada anjing tersebut. Baginya melihat wajah Leeya jauh lebih penting daripada melihat benda lain. Leeya juga begitu, langsung tak menoleh ke arah lain sebaik sahaja rajuknya mula hilang. Dan anjing tersebut berlalu setelah berpuas hati dengan jawapan Syakir.

"Awak, jomlah pergi KLCC. Kang terlepas pulak New Boyz perform." Syakir mengajak Leeya.

"Eh? Bukan malam ke konsert?" Leeya hairan.

"Takpelah, datang sekarang kita ambik seat paling depan. Kah kah kah!" Syakir gelak seorang diri.

"Jomlah. Saya pun lapar. Oleh sebab awak lambat, awak belanja saya makan dekat KLCC. Ini hukuman awak." Leeya bersuara manja. Nampaknya rajuknya memang ada hukuman.

"Oklah. Apa-apa saja sayang." Mereka bingkas bangun. Mereka bangun menuju ke mesin token untuk membeli token ke KLCC.

   Usai membeli token, Syakir terus memimpin tangan Leeya untuk menuju ke platform menunggu tren. Leeya tiba-tiba berdegup. Dia cuba tenangkan diri. Sekarang dia dapat rasakan bahawa ada bunga-bunga sedang memenuhi ruang dimensi mereka berdua.

"Adakah ini cinta?" Leeya tersenyum malu sendirian...

No comments: