Monday, March 14, 2011

Dia Bukan Freak...

   "Kah Kah Kah... kau dengan abang kau tu sama je, freak!" kata-kata Borhan keras dan lancang kedengaran kuat sampai ke luar bilik.Kata-kata yang ditujukan kepada Hanafi yang merujuk kepada kesilapan dia bertutur. "Ala.. biasa la tu, semua orang pun mesti ada tersasul cakap, bongok!" Hanafi masih cuba membidas tindakan Borhan mentertawakannya. Apa yang membuatkan dia malu bila gelakan Borhan turut disambut semua isi rumah sewa dia dan yang lain yang ada dalam bilik itu. Yang membuatkan dia lebih bertambah malu adalah bila dia disamakan dengan seorang lagi isi rumah yang berbeza dengan manusia biasa lain.


   "Abang" yang dimaksudkan Borhan ialah seorang pelajar jurusan perniagaan di institusi gergasi tanah air. Seorang siswa yang sama-sama menyewa bersama Hanafi, Borhan, dan dua lagi penuntut yang lain. setiap penghuni rumah itu pasti akan rasa seolah terhina, malu, menyampah kalau disamakan dengan penuntut yang seorang itu. Masakan tidak, penuntut itu menghidap simptom skizofrenia, sejenis penyakit halusinasi yanag akan ditafsir sebagai gila.



   Suara Borhan masih kuat seolah belum puas memalukan Hanafi dan perkataan yang paling jelas kedengaran ialah "freak", "freak" dan "freak". Di ruang tamu, Ikmal sedang menghadap laptop, sedang khusyuk menyiapkan tugasan diberikan pensyarah namun telinganya dapat menangkap jelas setiap bait butir bicara milik Borhan itu. Bukan sekali dua dia mendengarnya tapi sudah banyak kali semenjak dia mula menyewa rumah itu. Tiada apa boleh dilakukan Ikmal selain mengendahkan sahaja penghinaan dari belakang itu. Dia tetap cuba mengerah tumpuannya agar tetap diskrin laptop supaya tugasan dapat disiapkan segera. Bagi menenggelamkan suara dekahan dari dalam bilik, Ikmal memasang kuat lagu "Love Story" oleh Taylor Swift. Lalu Ikmal mengikut lirik itu dengan betul dan mengikut irama lagu itu.


   "Kau tengok tu? Dia dah buat perangai dah. Ni mesti sampai subuh lah kita dengar suara dia" Faizul yang dari tadi tak berhenti gelak menyampuk.


   "Ah sudah, pergi cakap dengan abang kau tu suruh diam," Borhan menambah dan disahut ketawa yang semakin nyaring.


   "Sedap apa suara Ikmal tu? Macam, macam, kambing tengah mengawan. Kah Kah Kah!!" Hanafi menyambung kata-kata mereka sambil menyeka air mata yang tiba-tiba terembes keluar kerana terlalu kuat ketawa.


   "Isk, kurang ajar kau ni, depan dia kau berlagak baik, belakang bukan main mengutuk lagi, bila cakap tau pulak tarik muka" Borhan bernada serius yang sebenarnya lebih ingin membuat lawak dan sejurus ayat dihabiskan berdekah lagi hilai tawa seluruh isi bilik itu.


   Memang seluruh isi rumah itu akan menjadikan Ikmal sebagai bahan ketawa antara mereka sejak mula-mula lagi mereka sama-sama menyewa rumah itu. Sedangkan Ikmal seolah tidak mengerti walau hakikatnya pasti hatinya pedih. Hanafi tetap berdekah yang terjadi secara automatik bila melayan karenah yang lain.


   Kemudian Hanafi mengajak yang lain pergi ke kedai mamak untuk melepak. Semua bersetuju tanpa ada bantahan. Masing-masing meluru keluar tanpa memperdulikan sekujur tubuh Ikmal di ruang tamu. Semua segera ke motorsikal masing-masing. Cuma Hanafi yang berhenti seketika. "Kitorang nak ke mamak ni, nak kirim tak?". 


"Oh, boleh jugak, Teh ais ea?", Ikmal membalas dan meneruskan kerjanya.


"Ok!"


Di luar rumah, Borhan, Faizul dan lain bersuara serentak menjerit "Talam! Talam! Talam!". Talam merujuk kepada peribahasa talam dua muka. Ditujukan khas kepada Hanafi yang bijak berlakon sebagai seorang yang baik dengan Ikmal sebaliknya paling kuat mengutuk di belakang.


   Setibanya mereka di mamak masing-masing memesan minuman dan makanan mengikut tekak dan selera buas masing-masing. Pelayan berketurunan Pakistan cuma mengerut dahi melayan karenah mereka yang seolah minta dimandikan dengan milo ais.


   "Ada orang caring pasal abang siot!" Borhan memulakan dialog biadapnya.


   "Hahaha!! Tu lah pasal. Sweet gila ar!!" Faizul menyampuk.


   "Bodoh kau, kau orang main blah macam tu je, kesian lah sikit kat dia", Hanafi mempertahankan tingkah laku dia. 


   "Ah, kau tu dasar talam!" Nizam yang dari tadi diam mencelah.


   "Suka aku la, yang penting, aku King Of Talam. Ngehehehee" Hanafi kembang mengiktiraf diri sendiri.


   "Hari tu masa korang semua takde, si Ikmal tu cakap sorang-sorang, aku dah risau dah. Macam nak lari je", Nizam membuat cerita.


   "Apasal kau tak join je aktiviti menurun dia tu? hahahahaha!!" Borhan bersuara lancang. Hanafi cuma berdiam dan menumpukan perhatian kepada rancangan WipeOut di televisyen. Sudah lali dengan situasi begini. Asalkan keluar rumah sahaja, memang Ikmallah menjadi bahan hilai tawa semua. Semuanya tidak tahu apa-apa, kecuali Hanafi. Dia kenal benar dengan Ikmal. Tapi, dia malas nak cerita. Takut diketawakan. Dia cuma berdiam sepanjang sesi membahan itu. Hanafi perhatikan sekeliling. Dia memang suka memerhati gelagat manusia awam. Tiba-tiba dia terpandang betul-betul ke sebelah kanannya. Ada tiga orang lelaki yang duduk di meja sebelah. Dua darinya sempurna sementara yang lagi satu berkerusi roda. Wajahnya sugul. Dia kehilangan sebelah kaki. Barangkali kemalangan di jalan raya atau di tempat kerja.


   "Aku tak sanggup nak teruskan hidup, aku boleh buat apa?" lelaki yang berkerusi roda bersuara.


Seraya itu ingatan Hanafi terbang ke belakang. Terbang mengikut aliran udara dan asap-asap rokok yang berkepul di udara. 


********************************************************************************


   "Eeeeeeeeeeeeeee... tengok air liur dia," suara Azila terang dan nyaring seolah ingin memberitahu satu kelas.


   "Hahahaa!! Dah macam air longkang je" Yusof bergelak sakan. Gelak tawa yang ditujukan kepada budak lelaki yang sedang tidur berteleku di atas meja.


   "Kau ni Mal, cover ar sikit, macam apa entah kau ni", Hanafi bersuara dari belakang kelas. Guru kelas yang sepatutnya mengelola waktu itu tiada. Dia pergi berkursus. Dengan itu kelas jadi hingar-bingar. Jadi bising. Namun Ikmal boleh terlena dengan suasana hiruk itu. Dia tak peduli apa. Dia ada alam dia sendiri. Kalau waktu orang bising dia boleh terasa sunyi, tapi kalau waktu sepi dia terasa ada orang mahu kacau dia. Kerana kondisi Ikmal itulah dia sering menjadi mangsa buli dan ejekan bukan saja warga kelas, malahan jadi bicara warga sekolah lain. Baik perempuan atau lelaki, pelajar dari tingkatan bawah juga tak terlepas mengejek dia. Semuanya hanya kerana skizofrenia yang dia alami. Dia dilihat seolah seorang gila walau sebenarnya dia waras dan sihat. Kadang kala dia jadi hyperaktif, kadang kala jadi teramat pasif. Badannya yang kurus melidi lebih menyebabkan dia menjadi mangsa buli. 


   Dalam kelas dia sering disisihkan. Pelajar lain takut akan sikapnya yang suka bercakap seorang diri. Kadang-kala dia akan ketawa pula. Namun ada sedikit rasa tidak sampai hati dalam jiwa Hanafi. Kadang-kadang Hanafi akan duduk di sebelah Ikmal untuk membantu perihal pelajaran. Tapi bila Hanafi bersama pelajar lain, Ikmal menjadi topik utama. Sebagai bahan ketawa.


   "Kau selalu duduk dengan Ikmal tu tak takut ke?" Sakinah bertanya ketika mereka membuat sesi perbincangan.


   "Entah-entah kau pun dah tersampuk tak? Sebab tu perangai kau macam celaka" Saiful pula bersuara dengan biadap namun disambut gelak ketawa pelajar yang lain.


   "Tak baiklah korang ni buli OKU", Hanafi bersuara seakan serius tapi yang lain sambung ketawa. Sikap menyisihkan Ikmal tak sedikit pun memberi kesan  kepada mereka. Nama Ikmal terus menjadi antara nama ranking teratas di sekolah sampailah masing-masing tamat peperiksaan SPM. Kemudian masing-masing membawa haluan sendiri. Ada yang ke seberang tambak Johor. Ada yang sambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Ada yang berkahwin sebagai memula langkah baru dan tak kurang pula yang menjadi penghisap dadah sepenuh masa.


****************************************************************************


Hanafi tersentak dari lamunannya bila Faizul melempang kuat muka dia. 


   :"Kau kenapa diam? Berak dalam seluar ke apa?" dan seperti biasa disambut gempita gelak tawa.


   "Kurang ajar", getus hati Hanafi. Pandangan Hanafi masih kekal ke sebelah kanan, meja tempat lelaki berkerusi roda dengan kawannya. Dia tidak endahkan suara rakan-rakannya yang sedang galak mengumpat pasal dirinya. Dia cuba memfokuskan pendengarannya ke arah meja sebelah.


   "Aku tak sanggup nak hidup, apa aku boleh buat? Kaki aku takde." suara sesalan dari lelaki berkerusi roda.


   "Apa kau cakap macam tu? Islam tak mengajar kita menyesali takdir" sahabat lelaki berkerusi roda bersuara lembut.


   "Kami kan ada, kami tetap di belakang kau. Islam tak mengajar kita membeza-bezakan manusia." Kata-kata semangat lagi seorang sahabatnya itu buat Hanafi ralit. Dia tenggelam dengan apa yang dia buat selama ini. Dia terasa sangat berdosa. Berdosa kepada seorang lelaki. Ada titik-titik sesalan muncul dalam hatinya. Dia bingung. Sedangkan orang lain boleh bersahabat dengan manusia hilang upaya. Kenapa dia tidak? Entah kenapa ketika itu juga hatinya sebak. Kalau sebelum ini banyak cerekerama di TV3 yang berunsur nasihat dia tonton, tidak satu pun meninggalkan sesal. Tapi dialog realiti yang baru dia dengar tadi buat dia terkedu. Ya. Dia memang bersalah. Dia tekad mahu merubah semuanya. Biarlah yang lain tenggelam dengan ketawa dosa mereka. 


   Hanafi meminta pelayan itu membungkuskan teh ais yang dipesan Ikmal sambil mendengar Borhan mengejeknya caring pasal "abang". Dia dah tak peduli..

5 comments:

Mr. Cookies said...

salam...
bro pot...
kisah benar kn??
hmm..
aku rase trsntuh gle...
huhuh...
bnjir srdg nie aku nangis...
xde lah..
acah je..
tpi mmg rse sian kat hamba Allah tu...
moge mreka yg buta hti...
dpat hdayah dri Allah stu hri nnti..
kite doakn mreka cpat sdar ye...

farot said...

kisah benar????? eak????? ye ke???? hermmm

Unknown said...

Amir : Insya-allah..
Farot : ni bukan kisah benar semata-mata... sekian... heh..

Anonymous said...

ape kimak la sial citer ko nie... dr rangga indonesia

Khuzrin Kamarudin said...

ada pulak orang indon taip macam ni... kehkehkeh..