Saturday, March 31, 2012

Persyaitan Cinta

"Abang, ayang mimpi lagilah benda tu." Suraya duduk disamping suaminya yang tekun membelek-belek akhbar di ruang tamu. Mukanya penuh kerisauan.


"Pasal nampak perempun mati tu?" Sharipudin memberi respon. Tapi matanya masih tertumpu ke surat khabar yang dibaca dari belakang. Berita Fernando Torres menjaringkan gol memenuhi terus ruang paling belakang surat khabar tersebut.


"Ha'ahlah bang. Risaulah saya. Dah tiga hari berturut ni mimpi macam tu." Suraya semakin bimbang. Takut bercampur juga.


"Mungkin sebab ayang period kot. Tu yang datang mimpi-mimpi kotor macam tu." Sharipudin cuba memberi punca yang dia sendiri tafsir.


"Mana ada bang. Ayang tak period pun."


"Mimpi yang nampak perempuan tergantung terbalik tu lagi?" Sharipudin menutup surat khabarnya dan diletakkan di meja berhampiran. Matanya terus fokus ke Suraya. Dia tak suka Suraya dalam keadaan tertekan.


"Ha'ah bang. Ayang nampak perempuan digantung terbalik. Dah mati kot perempuan tu. Mayatnya macam dah 3 hari mati. Abang ada dekat bawah mayat tu. Tiba-tiba tak lama tu abang kena rasuk. Abang datang cekik ayang. Sama bang. Sama. Dah tiga hari sama je mimpinya." Bersungguh Suraya menerangkan.


"Hmmm. Dahlah sayang. Takde apa nak ditakutkan. Mungkin mainan syaitan je tu. Mari baring dekat riba abang." Sharipudin menarik lembut kepala Suraya dan diletakkan di ribanya. Penuh kasih sayang, dia membelai-belai umbun-umbun Suraya. Suraya rasa sedikit tenteram. Tangan Sharipudin lembut membelai kepalanya.


"Abang. Ayang takut." Muka Suraya masih lagi kelat walaupun dimanjakan sebegitu.


"Apa nak takutnya sayang? Abang ada kan?" Sharipudin meneruskan tanggungjawabnya. Menjadi penenang kepada isteri.




**********


   Sharipudin terjaga dari lenanya. Dia meraba-meraba sebelahnya mencari isteri. Tapi dia langsung tak tersentuh tubuh isterinya. Sharipudin terus bingkas bangun. Menggosok-gosok matanya yang terasa berat akibat baru bangun tidur. Jam di biliknya itu diperhatikan dalam pukul 3 pagi. 


   Sharipudin memetik suis lampu. Memang isterinya itu tiada disebelahnya. Dia mula risau. Sebabnya Suraya memang manja dengannya. Walaupun mahu ke tandas, pasti Sharipudin dikejut. Tapi kali ini isterinya hilang.


   Tekaknya berasa haus. Dia melangkah keluar bilik tidur. Mahu mencari sekali isterinya.


   Baru saja dia hendak ke dapur, dia terpandang ke arah ruang ruang tamu. Matanya terus tertancap terus di tengah-tengah ruang tamu. Nafasnya seolah-olah laju berdengus. Namun sesekali terasa nafasnya terhenti. Jantungnya hampir meletup. Laju.


   Otaknya mentafsir apa yang dia lihat. Suraya sedang duduk bersila di ruang tamu sambil mukanya ditundukkan ke lantai. Berhampiran Suraya, sekujur tubuh perempuan sedang tergantung terbalik di mana kakinya diikat ke atas.Tangan si perempuan tergantung terjuntai ke bawah. Begitu juga rambutnya hampir mencecah lantai. Lehernya terkelar hampir separuh. Darah hampir penuh membasahi muka.


   Apa lagi membuatkan dia terkejut, si perempuan yang sedang tergantung itu amatlah dia kenali. Tubuh itu milik Zarita.Bekas kekasihnya sewaktu di universiti dulu.


"Ayang! Ayang buat apa dekat situ. Mari dekat abang!" Sharipudin separuh menjerit.


   Menyedari isterinya langsung tak memperdulikan panggilannya, Sharipudin bertekad menarik isterinya. Cuak dia melihat situasi yang sedang berlaku. Semuanya senyap. Sesekali tubuh kaku perempun tergantung itu seperti terbuai ditiup angin.


   Baru lima tapak Sharipudin melangkah menghampiri isterinya, isterinya itu bangun. Berdiri tegak. Sharipudin terus mati langkah. Melihat isterinya berdiri namun kepala dihadapkan ke bawah. Rambutnya menutup separuh wajah Suraya.


   Tak lama. Wajah Suraya diangkat. Mata Suraya hitam semua. Wajahnya berkerut. Memandang tepat ke wajah Sharipudin. Seperti penuh dendam terkumpul dalam wajah Suraya. Namun tiba-tiba, wajah Suraya menjadi hiba. Menangis.


"Kenapa you tinggalkan I? Suara Suraya sayu.


"Hah? Apa ayang cakap ni?" Sharipudin bingung. Jantannya cuba digagahkan.


"Kenapa you kahwin dengan perempuan ni?" Sedikit menjerit pula suara Suraya. Sharipudin dapat mengagak. Dia bukan berkomunikasi dengan isterinya.


"Apa yang kau nak?" Sharipudin menjerit terus. Entah dari mana kekuatan dia datang.


"I nak youuuuuuuu!" Suraya menjerit juga seperti mahu menandingi suara Sharipudin. Sharipudin tak sempat berkata apa-apa, Suraya terus berlari ke arahnya. Terus mencekik leher Sharipudin. 


   Sharipudin terjatuh. Kekuatan Suraya berlipat ganda kuasanya. Sharipudin bergelut dengan isteri sendiri. Tangan dan kaki Sharipudin cuba menolak Suraya namun tak terdaya. Sedikit demi sedikit Sharipudin lemah. Namun matanya masih mampu melihat sekeliling. Jelas matanya melihat tubuh tergantung secara terbalik tadi. Kemudian matanya melihat semula wajah Suraya yang seperti penuh kesumat dendamnya sambil mencekik leher Sharipudin.


"Biar kita hidup bersama di dunia lain. I tak suka you kahwin dengan perempuan ni." Suara Suraya menerjah gegndang telinga Sharipudin.




**********


   Sharipudin terjaga dari tidur. Peluh penuh membasahi wajah dan tubuhnya. Nafasnya laju. Seolah-olah tak puas menghirup nafas di sekeliling yang ada. Suraya yang juga tidur disebelahnya terjaga juga. Hairan melihat gelagat suaminya.


"Kenapa ni abang?" Suraya bertanya manja. Cuba melayan rasa mengantuk.


"Abang... Abang. Entahlah..." Suara Sharipudin terputus-putus. Matanya membulat melihat ke hadapan langsung tak melihat wajah isterinya.


"Dahlah sayang. Tidurlah." Suraya memeluk pinggang Sharipudin seeratnya. Membiarkan Sharipudin berasa sedikit tenang.




***********


   Sharipudin membelek-belek akhbar yang baru di beli. Di pagi Ahad, apa lagi yang boleh dia lakukan selain berehat dari tekanan kerja. Baru 2-3 helai dia menyelak-nyelak akhbar tersebut, dia tertarik dengan satu berita yang terdapat dalam akhbar tersebut. Dahinya berkerut sebaik membaca isi kandungan akhbar tersebut.




SELAYANG, 16 Februari,- Mayat seorang gadis ditemui dengan keadaan tergantung terbalik dan leher terkelar hampir separuh di sebuah rumah flat kediaman gadis tersebut. Mangsa bernama Noor Zarita Binti Misbun, dianggarkan awal sudah meninggal dunia hampir seminggu dan dipercayai membunuh diri berikutan terdapat sebilah pisau pemotong betul-betul di bawah mayat si gadis. Dipercayai mangsa sudah menggantung diri sendiri secara terbalik dan kemudian mengelar leher sendiri dalam keadaan tergantung berikutan terdapat tangga berhampiran mayat.


   Kes masih lagi dalam siasatan............




"Zarita?" Sekali lagi Sharipudin buntu. Mindanya berputar kembali. Apa yang dialami malam tadi masih lagi dia keliru. Sama ada dia bermimpi atau benar-benar dia hadapi.






p/s : Maaflah lama tak update. Malas pulak nak berjima' dengan blog sendiri. :D





Monday, March 19, 2012

Menghakimi : Keperluan atau Kepuasan?

   Hakimi berjalan kaki untuk ke kedai Ah Meng. Kedai makan Ah Meng memang sering didatangi pemuda melayu. Tiada apa yang mereka ragukan sebab Ah Meng sudah lama bertapak di situ. Masakannya memang diyakini semua orang. Tidak ada campuran glatin babi atau darah anjing. Semuanya halal. Namun bukan itu yang Hakimi kisahkan. Dia pun pergi ke sana cuma pesan kopi o atau teh o sambil main dam aji. Niat sampingannya adalah untuk melihat anak dara sunti si Ah Meng berumur 19 tahun berfigura 34-28-34. Memang sedang elok kata orang.

   Namun hari itu Hakimi sedikit hairan kerana sekilas bayang Lim Siew Ping. Anak si Ah Meng. Lama-lama kelamaan perasaan tidak sabar Hakimi membuak-buak dan meletus. Dia pun bertanya kepada Ah Meng ;

"Ah Meng aa, mana itu Siew Ping? Takde pun dari tadi?" Hakimi cuba bercakap dengan pelat Cina.

"Siew Ping aa? Sudah 3 hari maa pergi oversea. London sana." Ah Meng bersahaja menjawab. Sambil berdiri tangan kirinya bertongkat ke kerusi.

"London? Wahlaooo! Bukan murah looo sana pigi." Hakimi hairan.

"Ya lah. Sudah dapat offer. Hantar saja lah." Ah Meng masih bersahaja. Dia melihat rakan-rakan Hakimi sedang bermain dam aji.

"Haiyaa. Apa macam lu hantar lu punya anak sana? Lu punya kedai pun kecik saja. Mana lu dapat duit? Apapasal talak hantar sini belajar saja?" Hakimi bingung. Soalannya teraju bertubi-tubi seperti Inspektor Lim menyoal penjenayah dalam siri Gerak Khas.

"Ini kedai kicik. Tapi waa punya sedala lamai. Semua waa punya sedala tolong. Nanti bila kitolang senang, kitolang pulak tolong diolang." Muka Ah Meng bersungguh. Sekaligus menyimpul semua soalan Hakimi tadi.

"Errr... Yalah. Oklah." Hakimi mengalah.


   ***********

  Impresi pertama Hakimi ialah mana mungkin pemilik kedai makan kecil mampu menghantar seorang anak belajar ke London. Impresi tersebut seolah-olah memperkecilkan kemampuan seseorang. Namun begitu, penerangan Ah Meng terus membunuh impresi negatif milik Hakimi itu.

  Ya. Impresi pertama sebenarnya merupakan cabang dalam menghakimi seseorang. Sebaik melihat kekacakan seseorang, terus dikatakan si pemilik rupa kacak itu pastinya PlayBoy. Si pemandu Lamboghini pastinya mewarisi harta ibu bapa.

   Kita sendiri memang gemar bertugas sebagai hakim tanpa sertifikasi. Tak perlu belajar setinggi mana, dah boleh jadi hakim. Mudah? Semudah ABC. ABC yang ada kacang, susu manis dengan nata de coco tu. Pergh!

   Fak! Aku lari tajuk. Aku tahu, aku pun sebenarnya sedang menghakimi si hakim-hakim sukarelawan ini. Bukan susah pun. Cuma lihat sahaja kelakuan mereka, kemudian kita simpul dan gulung ikut citarasa kita sendiri. Kalau kita suka seseorang, setiap simpulan mesti baik. Kalau dah tak suka, walau baik mana tindakan seseorang tu, tetap tak baik pada kita. Bukan? Sila akui.

   Sudahlah. Cakap berbuih pun, si hakim-hakim sukarelawan ni tetap nak jadi hakim. Cuma aku nak pesan pada kalian dan pada aku sendiri, apa yang selalu kita hakimkan ;

   Perbuatan? Orang? Atau Idea?


p/s : Norman Hakim memang untung dapat Memey (Betul ke aku eja memey tu?)
p/s lagi : Aku cuma kopi-pes balik tulisan aku dari Paksi Fakta. Sebabnya aku pemalasa tahap dewa. Jadi aku buat macamni. Maaf. Kehkehkeh.



Thursday, March 8, 2012

Antara Ujang dan Gadis Berbaju Merah...

   Hampir pukul dua petang, bas yang ingin menuju ke Kuala Lumpur aku naiki, baru hendak bergerak. Aku lemparkan pandangan aku ke luar tingkap bas. Melihat gelagat penunggu-penunggu bas, kemudian melihat bangunan-bangunan, kereta-kereta dan kedai-kedai. Sedar tak sedar, pandangan aku itu dibawa bergerak bersama bas dan melepasi sempadan Segamat.

   Aku mula bosan. Aku keluarkan majalah Ujang edisi ke-422, 15 Februari. Ilustrasinya menggambarkan Lady D dibelit ular dan diketawakan orang ramai dalam pesta keramaian. Tampak kelakar. Tapi sebenarnya aku tak peduli langsung pasal ilustrasi, memang dari dulu aku beli sebab aku suka dengan humor bersahaja dalam majalah Ujang tersebut. Tepat dengan gelaran "Majalah Lawak Nombor 1 Malaysia".

Lebih Lawak Daripada Biasa

   Sesekali aku gelak sendiri bila membaca lukisan-lukisan Bijan, Papan, Sukun, Pjoe dan lain-lain kartunis baru. Namun kadar suara gelak aku itu terpaksa aku kurangkan. Menjaga maruah kononnya.

   Baru baca sikit kemudian rasa mengantuk. Mungkin kerana didorong penat bekerja semalamnya. Tambahan angin dari penghawa dingin buat kelopak mata begitu teransang untuk terlelap. Sedar-sedar aku dah tertidur.

   Tiba-tiba aku terjaga bila bas ekspres tersebut berhenti di Tampin untuk mengambil penumpang lain. Aku betulkan tempat duduk bila ada seorang gadis meminta aku mengalihkan beg aku yang aku letak di tempat duduk sebelah.

   Aku cuma pandang sekali raut si gadis. Agak manis. Berkaca mata, bertudung litup warna merah dan dipadankan t-shirt juga berwarna merah gelap. Aku alihkan beg sambil lemparkan senyuman yang aku kira langsung tak manis.

   Bas bergerak semula untuk menuju ke destinasi sebenar. Aku lemparkan kembali ke luar tingkap melihat suasana bandar Tampin ditinggalkan.

   Baru sepuluh minit, aku bosan semula. Gadis sebelah aku pula aku tengok senyap semata. Memang aku tak reti berbual dengan orang yang aku ak kenal. Tak kisah lelaki ke perempuan. Hati aku berkira-kira nak habiskan Ujang yang aku beli tadi. Karang apa pulak kata gadis sebelah. Dah besar-besar pun baca Ujang. Aku berfikir macam tu sebab impresi orang ramai, majalah kartun hanya laak dibaca kanak-kanak. Karut bukan?

   Malas berperang dengan fikiran sendiri, aku keluarkan jugak majalah Ujang tadi dari beg. Aku terus tancapkan konsentrasi ke majalah tersebut.

   Tiba-tiba... "KAH! KAH! KAH!" bila aku baca lukisan si Bijan pasal kisah Suami Isteri, aku gelak sakan. Agak kuat dan lantang. Aku tak tahu kenapa kotak suara aku begitu automatik melontarkan ketawa sedemikian.

   Gadis di sebelah tadi pandang aku, kemudian dia pandang ke depan semula. Aku dah bengang namun aku buat tak tau. Aku dah terasa nak saman MOY Publications sebab malukan aku. Aku rasa nak one by one dengan Bijan sebab jatuhkan maruah aku! Seorang jejaka tampan ketawa dikhalayak ramai hanya kerana majalah Ujang!

   Aku teruskan bacaan. sesekali aku tergelak lagi. Aku dah tak peduli apa orang nak kata. Baik kerusi belakang atau depan. Perasaan tak boleh dipendam-pendam. Membusung karang siapa susah? Gadis sebelah langsung aku tak tegur. Pedulikan.

   Sampai destinasi. Semua keluar. Perasaan malu aku datang balik. Mujur takde sorang pun yang kenal aku. Sekarang ni, patut ke tak aku bawak mereka ke muka pengadilan? Atau setel tepi je. Ke camne?





Wednesday, March 7, 2012

Perantauan...

Bila istilah perantauan dibicarakan, yang tergambar dalam kepala cuma ; si anak kampung keluar ke bandar tinggal ayah di bendang dan si ibu di rumah menggoreng cucur udang.


Nampak mudah? Harfiahnya si anak kampung tadi meninggalkan semua jiwanya dalam kampung tersebut. Baik bermain layang-layang kertas, bermain lumpur, tangkap ikan keli guna tangan, main meriam pada bulan puasa, mengurat si gadis pulang berbasikal bakul depan, kenduri kahwin rewang ramai-ramai. Ya. Semua jiwa anak kampung harus ditinggalkan di kampung itu. Dia wajib masuk ke dimensi lain dengan membawa fahaman baru. Fahaman perantauan.


Itu juga bukan semudah membeli mee goreng. Setiap tapak yang dipilih punya kronologi sendiri.


Si anak kampung perlu melepas tahap memilih kawan sebaik-baik teman. Seperti pepatah yang pernah dicanangkan ; 'Sekiranya berkawan dengan pengimpal besi, baju kita akan berlubang terkena percikan bara. Berkawan dengan penjual minyak wangi, baju kita turut berbau harum.


Inilah terjadi sekiranya langkah itu tersilap. Mungkin si anak kampung tadi akan tersadung kaki sendiri. Mungkin akan terlanggar bonggol batuan jalan. Atau mungkin terpijak lubang lalu terjelepok ke dalam. Atau juga mungkin terpijak tahi anjing. Ish! Mughallazah!


Pengakhiran sebagai perantauan itu yang menjadi kayu pengukur tahap pandangan si perantauan ini. Bila berjaya, dia mula bermegah akan kebaikan yang dilalui dan padanya kampung cuma tempat menoreh getah, bersawah, atau tempat gadis berbaju kurung biasa.


Kalau gagal? Baginya kampunglah segalanya.


Ya. Perantauan sebenarnya banyak merubah identiti diri. Kuat atau tidak si anak kampung tadi berpegang pada fahaman dia si anak kampung, itulah punca sama ada jadi si kacang lupakan kulit atau si kacang dah bersedia untuk dikunyah mulut rakus.




p/s : Ini cuma projek pertama aku di Paksi Fakta







Thursday, March 1, 2012

Dua Nombor Dua, Dicantumkan jadi Dua Puluh Dua...

   Tatkala renda-renda malam sedang terkait langitnya satu sama lain, aku tancapkan pandang aku jauh-jauh. Sungguh tak terasa betapa lajunya detik-detik masa berinjak.


   Hari ini, nombor usia aku bertambah lagi. Dari dua puluh satu, pergi ke dua puluh dua. Entah kenapa aku rasa masih muda lagi. Kalau team bola sepak, masih bawah 23. Muda kan? Har har har.


   Aku masih ingat masa aku kantoi rokok pada usia lapan belas tahun dengan mak aku. Mak aku cuma katakan, "Dah dua puluh tahun nanti, dah ada duit, baru boleh hisap rokok." Tapi sekarang? Kalau aku balik kampung pun, masih sembunyi-sembunyi hisap rokok. Sebab aku rasa aku masih muda.


   Alhamdulillah. Allah pilih aku untuk merasa banyak pengalaman dan ujian dari usia muda. Segala jerih untuk kelangsungan hidup aku rasa dari muda. Bekerja dan meniaga ketika sedang menuntut, tak mahu ada bebanan ditanggung keluarga. Merasa peritnya hati disiat juga pada usia yang terlalu muda. Terlalu muda waktu itu. Tapi tak lama, ia diganti setahun kemudiannya. Kekal hingga kini. :)


   Ah! Pedulikan kisah karut serabut itu. Apa yang aku rasa, aku bangga dengan diri aku. dengan kebolehan aku. Dengan tapak yang aku ada. Dengan permulaan baik menceburi dunia kira-kira. Ya. Aku tak suka kerja bawah tekanan. Jadi aku bekerja dengan diri sendiri. Hasilnya? Cukup lumayan. Kalian patut cuba. Mengira not-not kertas hak milik sendiri. Not-not kertas yang beranak untuk kita. Walaupun baru mula tapi aku harap ini berkembang hendaknya. Aku suka tengok ibu senyum dengan hasilku.


   Pada nombor dua puluh dua ini, banyak lagi cita dan impian yang belum aku capai. Belum aku langsaikan. Belum aku tunaikan. Tapi tak mengapa. Sudah ada dalam kepala. Satu satu aku nak kerjakan. Keh keh keh.


   Banyak sebenarnya dan sudah ada cita-cita yang tak mungkin tercapai. Aku tahu dunia ini bukan milik aku seorang. Bukan milik kau seorang. Bukan milik dia seorang. Bukan milik mereka sahaja. Tapi milik kita semua. Milik bersama. Mari ramai-ramai peluk rapat-rapat. Seeratnya. Biar kita rasa setiap cita-cita kita semuanya sama. Mahu berjaya. Bukan?


   Semoga Allah berkatkan perjalanan aku menyelusuri hidup. Tapi aku tahu. Aku tak keseorangan. Terima kasih yang sudi menyokong dan mendukung aku. :-)




p/s : Terima kasih kepada Facebook sebab ingatkan mereka tentang lahirnya seorang aku pada dua puluh dua tahun dahulu. Hikhikhik....