Wednesday, January 2, 2013

2012 : Sebuah "Kiamat" untuk sebuah lagenda...

   Menurut kalendar kaum dan puak Mayan, 2012 merupakan tahun terakhir untuk umat manusia menikmati keindahan dunia. Dek kerana kata-kata dari puak tersebutlah, banyak kaum-kaum lain yang percaya dan berpusu-pusu menyediakan kelengkapan dan persiapan paling rapi untuk menghadapi kemusnahan maha dahsyat seperti yang diramalkan oleh mereka. Segala kubu, kediaman bawah tanah, makanan, minuman dan perempuan disediakan secukupnya.

   Namun begitu, nyatalah ramalan tersebut hanyalah palsu bilamana 2013 menunjukkan muka sekaligus menjadi topik paling kelakar untuk dibualkan untuk tahun-tahun mendatang.

   Arakian, di sebalik kerakusan umat manusia menceritakan tentang kepalsuan ramalan tersebut, terdapat ramalan yang benar-benar berlaku untuk tahun 2012. Ya. Puak Mayan tersebut sebenarnya meramalkan sebuah pasukan kelab bola sepak yang power bakal di "kiamat" kan pada tahun 2012.

   Kelab yang dimaksudkan ialah Johor FC. Ha. Sebut je Johor FC segenap penjuru negara tahu pasal kelibat kelab indie ni. Indie? Errr... Maksudnya berpengurusan kelab. Seratus peratus kelab tanpa perlu mengharap dana kerajaan negeri untuk membangun dan menjadi power.

   Tak perlulah disenaraikan siri pencapaian yang diperolehi kelab ini contohnya : Top 4 untuk 3 tahun berturut-turut. Layak ke AFC Cup selepas Selangor menarik diri (mungkin Selangor takut. Mungkin ok? Mungkin). Sampai ke separuh akhir Piala Malaysia untuk dua kali. Menang Anugerah Kelab Terbaik 100Plus. Lahirnya Nurul Azuan Roya, Daudsu, Eddie Helmi Manan.

   Benar. Kejayaan Johor FC tidaklah segempak mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia. Tapi kalau dilihat, Johor FC berjaya tanpa perlu sokongan politik. Tanpa perlu jalan pintas. Tanpa perlu "cheat" untuk mencipta nama dalam Liga Malaysia.

   Tapi apakan daya. Bola sepak ialah sukan rakyat untuk semua negara berdaftar FIFA kecuali Malaysia. Di Malaysia, bola sepak ialah sukan orang berpengaruh. Bola sepak ialah sukan politik. Bola sepak ialah sukan kerabat di raja. Dan kerana pegangan inilah, ada kerabat yang mengguna kuasa diraja untuk membuat bola sepak seperti kuda tunggangan permainan polo.

   Aku orang Johor. Tapi aku tak nampak sejauh mana niat untuk merakyatkan bola sepak di Johor. Pasukan kelab yang perlahan-lahan membina nama dibaham sesuka hati. Pemain pasukan yang tak power boleh apply GiatMara, jual kebab Malinja ataupun jual Otak-otak Kempas. Aku yakin pasti, kalau 10-15 tahun lagi Johor FC diberi ruang, mungkin waktu itu Johor FC merupakan pasukan yang paling dikenali di rantau Asia setaraf dengan Pohang Steelers, Muangthong United, mahupun Ulsan Hyundai. Mungkin waktu itu Johor FC merupakan skuad pengacau untuk pertandingan taraf Asia. (Itupun kalau FAM sedar yang AFC takkan benarkan pasukan dari negara yang liganya diselenggara persatuan bola sepak negara bermain untuk Liga Juara-Juara Asia.)

   Aku orang Batu Pahat. Lahir di Batu Pahat tapi aku langsung tak boleh terima ideologi yang digunapakai untuk menaiktaraf bola sepak Johor. Hanya dua pasukan untuk mewakili Johor? Hanya 46 orang yang boleh mewakili Johor mewakili lebih 5 ratus ribu rakyat Johor. 

   Pembelian secara borong macam beli kain dekat Jakel. Dekat mana rasionalnya sebuah pasukan itu ada kelas? Macam Manchester City, apa kita akan memuji Manchester City kalau nak dibandingkan dengan Manchester United? Errr... tapi saya orang Chelsea. Harap Maklum.

   Berbalik isu asal. Ok. Aku ada berkawan dengan rempit-rempit di Johor. Tapi sepanjang aku berkawan dengan diorang, jarang sangat mereka mengupas isu Johor FC, berbangga dengan Johor FC atau menceritakan tentang hebatnya Johor FC. Tapi, sebaik idea pembelian secara borong di keutarakan, terus menerus mereka mengaku penyokong Harimau Selatan. Jengking? Apa tu Jengking? Begitulah pertanyaan mereka sebaik aku bertanyakan perihal Jengking. Kalau tanya pasal JKid lagilah diorang terus tukar topik pasal kaberator motor.

   Jujur aku akui, semua idea penjenamaan bola sepak di Johor semuanya baik. Cuma bilamana Johor FC dibaham serakusnya, aku jadi tawar hati. Aku jadi terkilan. Aku jadi sayu. Aku langsung tak bernafsu nak jadi salah sorang penyokong Johor. Biarlah aku sorang je orang Johor yang tak suka tim Johor. Kalau betul pun aku nak sokong Liga Malaysia, baik aku sokong Negeri Sembilan. Sebab ada sorang lejen Johor FC dah pindah main kat situ. Hihihi.

   Semoga orang Johor sedar yang bola sepak Johor bukan untuk mereka. Tapi untuk puak tertentu. Semoga orang Johor sedar, dulu Pahang pun pernah guna kaedah sama untuk memartabatkan bola sepak mereka. Tak faham? Pergi merempitlah orang Johor. Time bola, engkorang konvoi ramai-ramai, tengok bola dan baling botol.


   Enjut Lebah Enjut! Semoga rohmu tidak berlegar-legar menuntut keadilan. :'(



Sebuah cerita yang pernah aku tulis hampir setahun lepas : Cinta Untuk Lebah