Saturday, August 31, 2013

Nota Hingga Nokhtah...




Maaf sebab dah lama tak bergomol dengan blog sendiri. Sebab aku sudah terlalu sibuk bergelumang dengan kapitalis. Namun begitu, aku masih cuba untuk menghidupkan kembali sisa-sisa nyawa blog tunggal aku ini. Semoga blog ini terus bernyawa untuk mereka-mereka pengamatinya...

   Arakian, cerita ini sebenarnya terhasil di atas permintaan sebuah pihak penerbitan. Namun begitu, cerita ini tidak menepati kehendak pihak penerbit lantas tak mendapat tempat di hati mereka. Itu tak mengapa. Sebab kita belajar bukan? Oleh itu, aku ingin berkongsi dengan kalian, kira-kira kalian boleh mencari di mana ketumpulan aku, di mana karatnya aku, di mana lembutnya tulisan ini. Mungkin aku sudah mula kurang jinak dengan dunia penulisan. Harap dipersudikan kalian. :)  Silalah nikmati...


       Nota Hingga Noktah


11 Mei 2009…

“KEH! KEH! KEH! -JALAK-. 15 Mei 2009.” Sekeping nota bertulisan dakwat hitam dipegang Sharipuiddin kemas. Hujungnya hampir renyuk teruk sebab dikepit kemas-kemas. Air liur kering diteguk penuh kesar. Dia tak pasti.

            Liyana menggeletar. Menggigil. Ketarnya masih belum ada tanda berhenti. Darahnya seolah hilang dari raut wajahnya yang ayu. Dia turut terkelu. Dia turut terkedu. Tidak tahu sebenarnya apa yang berlaku. Nafasnya sekejap lancar, sekejap tersekat-sekat. Jalak, kucing jantan baka Parsi dikendong erat. Sesekali kucing tersebut mengiyau.

“Meow! Meow!” Memecah keheningan pagi tersebut. Entahkan lapar entahkan sama turut merasa ketegangan suasana yang dialami suami isteri itu.

“Siapa punya kerja ni bang?” Liyana mengutarakan jawapan yang pada hematnya belum tentu ada jawapan bakal keluar dari Sharipuddin.

            Sharipuddin duduk di sofa yang sudah terkoyak hujungnya akibat seperti dilibas benda yang tajam. Seperti juga dicucuk-cucuk. Span sofa terkeluar mengikut garisan torehan.

            Dia pandang sekeliling rumah yang mereka berdua diami. Habis semua bersepah. Berterabur semacam baru dilanda Taufan Sandy. Tidak. Malahan lebih teruk. Perabot dan kelengkapan semuanya pecah-pecah dicucuk-cucuk dan ditetak. Ada juga kesan seperti dicakar. Mahu sahaja dia mengandaikan rumahnya dimasuki pencuri, tapi andaiannya dikuburkan sahaja. Sebab tiada satu sen pun duitnya hilang. Tiada satu pun barangan dia dan Liyana dibawa keluar. Semuanya ada cuma sudah jahanam. Adalah satu dua barang yang masih terselamat. Nasib baik laptop terselit sedikit di bawah laci walaupun laci tersebut sudah separuh terkeluar. Telefon bimbit pun masih rapi dalam seluar jeans yang dia pakai.

            Dia cuma mengagak, manusia yang memasuki rumah mereka ini banyak jumlahnya. Andaian awal Sharipuddin.

            Nafas dihela panjang. Dia tak tahu nak jawab soalan Liyana itu dari mana. Dia sendiri buntu. Liyana mengambil tempat duduk di sebelah Sharipuddin. Dia sandarkan kepala ke bahu Sharipuddin. Getar Liyana masih belum lumpuh. Takut. Jalak yang dikendong dilepaskan ke bawah. Namun Jalak tetap meleset-leset kepala di kaki Liyana.

“Abang, Yana takut bang. Tu nota siapa entah yang tulis. Siap ada nama Jalak. Takkan Jalak yang buat semua ni?”

            Sharipuddin diam.

“Siapa pulak dendam dengan kita, bang?” Liyana menyambung soalan.

            Kalau Liyana tak tahu, Sharipuddin lagilah bingung. Entah siapa yang dendam dengan hubungan mereka berdua. Takkanlah Jalak yang buat semua durjana tersebut? Yang anehnya ada nama Jalak pada nota yang ditinggalkan di ruang tamu itu. Lagi menambah aneh, tarikh tersebut hanyalah empat hari dari hari ini.

“Abang ada hutang ah long? Bookie bola? Main kuda?” Liyana menambah spekulasi bertubi-tubi pula.

“Awak jangan mengarut. Nak buat apa Abang berhutang ah long, berjudi semua tu? Kita cukup pakai, cukup makan, cukup tempat tinggal.” Sharipuddin sedikit bentak.

            Liyana diam sebagai kesimpulan mematikan penjelasan Sharipuddin. Dia tahu suaminya runsing. Dia cuma meletakkan kepala di bahu Sharipuddin dan memeluk erat pinggang Sharipuddin. Perutnya sedikit memboyot tiga bulan kandungan menyentuh kemas pinggang Sharipuddin.

            Masing-masing terdiam. Cuma bunyi kipas syiling tahap empat yang berpusing-pusing menjadi bunyian suasana tersebut. Fikiran masing-masing ligat mencari jawapan seligat kipas tersebut. Rasanya mereka tiada menyakitkan hati sesiapa. Tak pernah mendajalkan sesiapa. Atau menjatuhkan sesiapa. Jauh sekali kalau nak menjahanamkan projek juta-juta orang lain macam dalam drama pejabat cerita melayu.

            Jalak mengiau semula. Memang pagi-pagi macam tu biasanya waktu dia menjamah Wiskies. Melihatkan Liyana tak berganjak, Jalak melompat ke riba tuannya yang sedang memeluk erat Sharipuddin. Mungkin mengerti kerunsingan sepasang suami isteri tersebut, Jalak diam dan berbaring di riba Liyana.

            Sharipuddin bersikap tenang semula. Meskipun dia ketandusan punca semua ini, dia masih lembut mengusap kepala Liyana. Hanya untuk mententeramkan Liyana. Untuk membuat Liyana meruntun jiwa bahawa dia masih dibela.

            Dalam ketegangan suasana itu, otak Sharipuddin menambah satu lagi spekulasi, apa mungkin wujud orang ketiga yang mendendami rumahtangga mereka?

                        **********

16 Mei 2009…

            Sharipuddin mula sedar apa maksud nota tempohari di sebalik huru-hara yang melanggar rumahnya enam hari lepas.

            Susun atur perabot yang sudah mereka berdua kemas, kini tunggang-terbalik semula. Sama skripnya dengan enam hari lepas. Habis semuanya. Namun kali ini bertambah satu lagi episod hitam disamping kejadian tersebut. Semakin menambah rumit apa sebenarnya terjadi.

            Jalak sudah terbaring kaku di lantai betul-betul tengah-tengah ruang tamu rumah sederhana besar itu.

            Bukan sahaja terbaring, malah kaku. Habis tubuhnya berlubang-lubang dan bersiat-siat. Bulu putih yang sepatutnya menghalusi tubuh Jalak, sudah berlumur warna merah. Perut Jalak yang biasanya turun-naik ketika tidur kini kejung. Jalak sudah tiada. Tubuhnya separuh hancur dicakar dan dicucuk serta disiat! Seksa benar Jalak menghadap kematian.

            Liyana terjelepuk di tepi Jalak. Menangis kesedihan dan ketakutan. Darah Jalak membahasi lutut dan kaki Harliyana. Harliyana mengendong kehancuran tubuh Jalak. Dia membela Jalak dari belum mereka berkahwin. Jalak dari kecil sudah seperti anaknya. Kini pergi dengan keadaan paling menyayat hati. Entahkan malapetaka apa, satu lagi kejadian menghantui rumah tersebut. Satu lagi misteri bertambah sebaik sahaja misteri tempohari selesai sendiri.

            Sharipuddin bingung. Buntu. Tepu. Otaknya seolah sudah berhenti berfikir. Apa sebenarnya yang terjadi? Dia sendiri tiada pilihan jawapan. Sharipuddin menggigil lebih kuat dari biasa. Derau darahnya sudah tak mahu berfungsi normal.

            Apakan tidak. Dia yang ke ruang tamu dahulu. Dia yang jumpa jasad Jalak dulu. Dia yang jumpa sekeping lagi nota yang menggunakan koyakan kertas surat khabar. Dia sendiri baca kemas-kemas apa kandungan nota tersebut. Dia tak buta huruf. Otaknya berjaya mentafsir kemas tulisan nota tersebut.

“KEH! KEH! KEH! -HARLIYANA DAN ANAK-. 21 Mei 2009.”

            Tulisan sedikit comot. Tapi masih jelas boleh dibaca. Yang pasti, Sharipuddin sempat sorok nota tersebut. Tak mahu diketahui Liyana. Bimbang Liyana mampu menangkap sama seperti apa yang dia fikirkan.

            Ya. Sharipuddin sudah boleh mengagak. Liyana dan kandungannyalah adalah sasaran seterusnya oleh si penyerang dan penulis nota itu.

“Apa ni Bang? Apa semua ni?” Liyana berteriak ke arah Sharipuddin. Sharipuddin memandang sepi isteri kesayangannya. Matanya bengkak. Sendunya dah hilang barangkali. Mungkin juga air matanya sudah kering.

“Ayang takut.” Harliyana memeluk seerat mungkin suaminya.

                                    *********
20 Mei 2009…

            Sharipuddin bersiap-sedia seawal pukul sepuluh malam. Tangannya dia genggam erat sebatang kayu besbol. Yang memang dia beli khas untuk sebarang pertempuran. Parang yang biasa dia guna untuk menebas lalang belakang rumah juga tersedia rapi di atas meja. Siap sudah diasah tajam. Berkilat mata parang tersebut seolah tak sabar menanti habuan. Sharipuddin mentafsir senjata musuh adalah parang atau pedang berdasarkan dua kejadian yang melanda rumah mereka, semuanya melibatkan senjata tajam.

             Dia juga pasti musuhnya bukan seorang berdasarkan kemampuan penyerang menjahanamkan rumahnya. Mungkin ramai. Mungkin lebih lima orang. Tapi dia tak perduli. Dia duduk diam-diam di sofa. Tak berbaju, berseluar jeans hitam. Cuma rantai berkalung loket paruh yang tersangkut dilehernya. Badannya berketak-ketak boleh menambah bimbang kalau sesiapa bertembung dengan Sharipuddin dengan gaya begitu.

            Isterinya disuruh tidur di dalam bilik. Liyana yang beranggapan suaminya ingin mempertahankan rumah tersebut berbaring di bilik dengan tenang bercampur cemas. Cemas sebab siapa sebenarnya yang berdendam dan risaukan keselamatan suaminya. Tenang sebab dia tahu keberanian dan kesanggupan suaminya berjaga malam adalah untuk dia dan rumah ini. Bertuah rasanya bersuamikan Sharipuddin. Cuma Liyana tak tahu, dirinya adalah sasaran seterusnya.

            Benar. Sejak peristiwa kematian Jalak dan kejadian pecah rumah itu, sudah empat hari Sharipuddin bertambah paranoid. Bertambah berjaga-jaga. Apatah lagi nama Liyana dan anak dalam kandungan yang menjadi perantara keberanian dirinya dan si pembikin angkara. Biar bermandi darah sekalipun, biar dia mati mempertahankan rumahtangganya.

            Tak cukup kelengkapan mempertahankan diri, sudah empat hari juga camera recorder terpasang di sudut ruang tamu. Tujuannya ingin memegunkan imej siapa sebenarnya yang berani melangkah masuk ke keharmonian rumahtangga mereka. Ingin menjadi bahan bukti sekiranya apa-apa terjadi. Siapakah sosok yang berani mencuit kejantanan hati Sharipuddin. Siapakah manusia tersebut?

            Namun dalam empat hari itu jugalah, tidak ada siapa yang masuk rumah mereka. Empat hari itu jugalah semuanya sama sahaja. Atmosferanya, udaranya, suasananya biasa sahaja. Tiada yang mencurigakan. Dan sudah empat hari jugalah Sharipuddin hanya tidur-tidur ayam. Dia tak cukup tidur. Sebolehnya dia mahu melumat-lumat orang yang menerjah masuk ke rumahnya. Rumah bukti cinta  dia dan Liyana. Dia mahu rumah ini menyusuri sama kebahagiaan dia dan Liyana. Dia mahu rumah ini diisi dengan hilai tawa anaknya. Baginya biarlah rumah ini punya kenangan. Bukan kecelakaan seperti ini.

            Sudah pukul dua pagi. Sharipuddin dah menguap. Dia cuba kuatkan hati. Kuatkan semangat. Dia tahu lepas sahaja 12 malam, tarikh utama yang dimaksudkan penulis nota akan menjelma. Dia tak mahu tertidur. Bimbang malapetaka lagi dahsyat. Bimbang terlepas si durjana. Dan paling penting bimbang isterinya menjadi mangsa si celaka.

            Dia mahu menangkap siapa orangnya. Dia mahu pastikan kalau-kalau si lahanat ialah kekasih lama Liyana.

            Norman. Dia dah mencuriga dari hari pertama rumahnya diserang. Dia cukup pasti pencipta permainan ini ialah orang yang pernah bertapak di hati Liyana sebelum Liyana berpaling cinta ke Sharipuddin. Dia bimbang Norman datang membalas dendam.

            Sharipuddin mahu leher Norman melekat di parang asahannya. Dia mahu dahi Norman dihinggap kayu pemukul besbolnya. Dia mahu Norman lunyai ditangannya!

            Sharipuddin cuba menahan mengantuknya. Dia nyalakan rokok sebagai rasa hilang mengantuk. Asap berkepul-kepul semacam menambah aura amarah Sharipuddin.

            Selesai sahaja Sharipuddin mematikan puntung rokok, dia bersandar. Tangan kanannya memegang kayu pemukul. Perlahan-lahan… Perlahan… Lahan… Sharipuddin terlelap.

                        **********

21 Mei 2009…

“Yana! Ayang! Bangun Yang! Bangun! Ayang!” Sharipuddin memangku Harliyana yang sudah tak bergerak. Kaku. Tiada respon. Tiada jawapan dari Liyana.

“Bangun yang. Jangan tinggalkan abang! Bangun! Bangun Sayang!” Sharipuddin menyeru Liyana lagi. Sharipuddin tak putus asa. Dia goyang-goyang tubuh Liyana. Dia tampar-tampar perlahan pipi Liyana. Tiada jawapan. Sharipuddin berhenti mengejutkan Liyana. Dia memeluk erat terus kepala Liyana ke dadanya.

            Tubuh kaku longlai Liyana dipeluk erat. Kulit halus Liyana tak kelihatan lagi sebab sudah disiat-siat, dicakar-cakar dan ditoreh. Baju Liyana koyak-rabak, basah dengan warna merah. Segala urat nadi Liyana baik di tangan, kaki, leher dan sendi semacam diputuskan dengan sengaja. Habis tubuh Liyana lunyai. Habis. Tangan kiri Liyana sudah terlipat ke belakang. Tangan kanan Liyana separuh terkelar. Perut Liyana? Perut Liyana berlubang-lubang seperti dirodok-rodok, dikelar-kelar oleh pisau bergigi Rambo. Boleh kelihatan seperti ada janin sedikit terkeluar dari celahan belahan perut Liyana. Janin tersebut menerima nasib seperti si ibu, hancur dicucuk. Muka Liyana juga berlubang-lubang. Bukan muka, tapi seluruh tubuh Liyana menerima nasib yang sama. Dendam kesumat benar si penyerang. Liyana langsung tidak dikasihani.

            Sharipuddin meraung tak kesudah. Suaranya keluar semua melewati kerongkong kering. Tubuhnya habis basah dek darah Liyana.

            Dia kaku sebaik terbangun dari lelap pukul 4 pagi. Cuma sejam dia terlelap. Sebaik dia bangun Liyana sudah di ruang tamu dengan keadaan sadis begitu. Seperti dua kejadian sebelumnya, rumahnya turut berselerak. Tapi kali ini, berseleraknya rumah itu, Sharipuddin dah tak peduli.

             Kejadian lepas Jalak pergi, kali ini tuannya pergi dengan cara yang sama.

            Sharipuddin dapatkan sekeping nota berhampiran jasad Liyana ditemui terkulai.
“KEH! KEH! KEH! -SHARIPUDDIN- 25 Mei 2009.” Sama. –Ketawa, nama mangsa seterusnya dan tarikh-

“Lahanat kau, Norman!!!” Sharipuddin menjerit sekuat hati sambil menggenggam nota tersebut. Dia letakkan mayat Liyana. Serta-merta dia dapatkan video camera recorder di penjuru ruang tamu. Alat tersebut masih berfungsi. Masih setia melakukan tugas merakam sampailah Sharipuddin dapatkan video camera recorder tersebut.

            Tergopoh-gopoh Sharipuddin tekan punat play. Kemudian tekan butang forward sehinggalah melepasi waktu dia terlelap beberapa jam tadi.

            Jelas dia nampak dirinya sendiri terlelap di atas sofa tersebut. Tiada apa berlaku. Sharipuddin mendengus. Dia menanti dari mana Norman masuk. Dengan siapa Norman di durjana melakukan kecelakaan ini.

            Tiba-tiba kelopak Sharipuddin membungkam. Membesar. Terkejut. Dia nampak jelas. Dia nampak dirinya sendiri berdiri. Dia nampak dirinya mendepakan tangan mendongak memandang ke atas. Jelas!

            Jelas imej Sharipuddin dalam kamera tersebut seolah-olah menyeru sesuatu. Tiba-tiba Sharipuddin menyeringai. Bukan bunyi serigala atau harimau. Tapi bunyi burung gagak. “Ark! Ark!”

            Loket paruh yang tergantung dileher Sharipuddin tergantung ke udara sendiri seolah-olah ikut mendongak. Badan Sharipuddin bertukar kehitaman. Perlahan-lahan berbulu pelepah. Dan akhirnya belakang bahunya mengembangkan sayap.

“Arkh! Arkh!” Sharippudin berubah menjadi seekor manusia gagak. Mulutnya semacam memanggil sesuatu sambil berbunyi suara gagak.

            Dia kembangkan kedua-dua sayapnya serentak. Serentak dengan bukaan sayap itulah, ribuan ekor gagak masuk ke rumah tersebut melalui segenap penjuru tingkap.

“Arkh! Arkh! Arkhhhhh! Arkhhhh!” Bunyi bising ribuan gagak memenuhi ruang tamu rumah tersebut. Kesemua gagak tersebut semacam sudah ditugaskan untuk menghancurkan setiap barang-barang dan perabot dalam rumah tersebut. Satu persatu, semuanya, dicakar, dipatuk, dikepak-kepakkan secara membabi buta oleh ribuan gagak tersebut.

            Sharipuddin yang sudah berubah jasad itu cuma berdiri di tengah-tengah ruang tamu. Lagaknya seperti seekor ketua yang memerhati anak buah melakukan kerja.

“Arkh! Arkh! Arkh!” Bunyi bising gagak berdesing dan bingit.

            TIba-tiba pintu bilik tidur Sharipuddin dan Liyana terkuak. Kelihatan Liyana keluar dari bilik dengan muka terpisat-pisat. Mungkin terkejut dengan bunyi bising di ruang tamu.

            Jasad gagak Sharipuddin memandang tepat ke muka pintu bilik tersebut. Liyana terkejut melihat suasana rumahnya seolah berubah menjadi pesta gagak. Liyana melibas-libas tangannya menepis serangan beberapa ekor gagak dan cuba menutup semula pintu bilik.

            Namun jasad gagak Sharipuddin lebih pantas. Dia terbang meluru ke arah Liyana, sekali gus menangkap Liyana menggunakan kaki yang sudah berubah menjadi jejari burung gagak yang besar. Liyana dihempas ke lantai. Liyana menjerit sekuat hati. Mungkin itu sahaja langkah terakhir yang dia ada. Dan sepanjang jeritan itulah, tubuh Liyana dikeroyok oleh ribuan kumpulan gagak itu. Liyana dipatuk-patuk, dicakar-cakar dan disiat-siat oleh ribuan gagak.

            Tak cukup ribuan gagak, jasad Sharipuddin mengambil alih kerja yang sama, mematuk-matuk tubuh dan perut Liyana. Mencakar-cakar sehinggalah suara dan dengusan Liyana hilang sama sekali dek nyawa yang sudah terlerai dari badan.

            Hanya lima belas minit semua itu berlaku. Seketika kemudian semua gagak keluar mengikut haluan masing-masing. Sementara jasad Sharipuddin yang tadinya seekor gagak, perlahan-lahan menjadi manusia. Seketika kemudian, jasad Sharipuddin mengoyak sedikit kertas dan dengan menggunakan loket paruh di lehernya, menulis sesuatu di atas kertas. Paruh tersebut menjadi pena. Darah hitam keluar dari muncung paruh tersebut seakan-akan dakwat.


            Sharipuddin campak video camera recorder tersebut. Dia menggeleng-geleng. Dia tak percaya ke atas imej bergerak kamera tersebut. Akal dia menafikan sekeras-kerasnya tentang kejadian yang terang-terang melawan arus realiti itu. Sharipuddin mati akal. Dia menjerit sekuatnya.

“Tidddddaaaaaakkkkk!”

            Tak semena-mena Sharipuddin teringat akan nota tadi. Ya! Nyawanya selepas ini.

            Sharipuddin genggam paruh di rantai lehernya. Paruh dunia kehitaman. Dia tarik kuat-kuat sehingga rantainya putus.

            Dia tak nak mati di tangan ribuan gagak. Dia tak mahu mayatnya disiat-siat oleh berekor-ekor gagak. Dia tak nak. Dan dek kerana keengganannya…

“Chuk!” Dihayunkan sekuat hati paruh tersebut ke lehernya. Tembus. Darah memercik. Sharipuddin tarik ke tepi paruh tajam tersebut. Sehingga rompong separuh lehernya. Mata Sharipuddin memutih. Nafasnya berkeruh. Dia terjelepuk ke lantai.

            Jasad Sharipuddin kaku di samping mayat Liyana. Tangan Sharipuddin yang menggengam paruh tadi tegak melurus.

            Seketika kemudian tangan Sharipuddin yang menggenggam paruh tadi menulis sesuatu di atas lantai :

            “KEH! KEH! KEH!”