Thursday, December 26, 2013

KLCC dalam Nahas (part 5)

   Dalam firma guaman tingkat dua lot kedai tersebut, terdapat beberapa ruangan dan semestinya firma guaman tersebut luas ukurannya. Dalam satu ruangan yang agak luas, terdapat banyak peralatan latihan bertempur. Kelihatan Ijot dan Jue sedang berdiri menghadapi satu sama lain dalam keadaan bersedia. Tangan kanan Ijot sedang dililiti oleh rantai basikal yang berminyak hitam, hujungnya tergantung sebiji batu ladung memancing sementara Jue sedang memegang sepasang serampang sai, sejenis senjata tajam bermata tiga. Dia memusing-musing sebiji macam gaya Raphael si Ninja Turtle merah. Lagu 'House Of The Rising Sun' nyanyian Animals sedang berkumandang di radio. Muka Ijot agak bengis sementara Jue tersengih sedikit sebagai psikologi.

"Iyarghhh!" Masing-masing serentak menyerang. Ijot memulakan terlebih dahulu dengan meleraikan lilitan rantai basikal di pergelangan tangannya untuk dihalakan ke muka Jue. Jue mengelak sambil menghunuskan serampang di tangan kanannya ke leher Ijot. Ijot tepis. Ketika Ijot menepis itulah rantai basikal yang sudah terkedepan, di tarik kembali dan batu ladung dihujung rantai basikal itu terhentak ke kepala Jue. Jue menjarakkan diri dari Ijot sambil memandang ke arah Ijot dalam keadaan memasang kekuda.

"Lincah sikit, Jue!" Ijot marah Jue. Jue membuat back-flip yang cukup lurus persis gymnas China ke arah Ijot. Ijot bersedia dan beralih ke sisi kiri Jue dan terus melepaskan tendangan padu di rusuk kiri Jue. Jue terpelanting.

"Kah kah kah!" Ijot ketawa melihat Jue masih belum mampu jatuhkan dia. Jue bingkas bangun, Ijot leraikan kembali rantai basikal yang terlilit di tangannya. Jue sambut guna serampang dan rantai basikal tersebut terlilit di serampang tersebut. Jue tarik lalu Ijot terdorong ke arahnya. Dalam 1 saat sahaja, belakang pemegang serampang milik Jue hinggap di hidung Ijot. Ijot berdarah sedikit.

"Hahaha!" Dua-dua berhenti dan ketawa bersama.

"Dah! Berlatih agak-agaklah. Aku taknak ada yang cedera." Pico tiba-tiba muncul dalam ruang latihan tersebut. "Pergi makan sana. Basirun dah bawak balik KFC."

"KFC lagi? Blerghhhh." Jue buat tanda protes. Dialek Jawanya sudah lama hilang akibat sudah terlalu lama bergelumang dalam The Great Grasshopper.

"Engkau nak sedap pergi makan kat hotellah, setan." Pico menjawab kembali pertanyaan Jue. Ijot pergi dahulu sebab dia memang penggemar KFC. Dialah yang pujuk Datuk Basirun untuk belikan KFC bukannya Pizza meskipun Ijot berdarah Itali.

   Dalam sebuah ruangan lain, Einn, sedang menonton TV bersama Ramos. Ramos ialah seorang banduan Sepanyol yang terlepas di sebuah penjara di Dubai. Pico jumpa Ramos masa mereka adakan ujibakat untuk menambah ahli di Dubai. Ketika itu, Pico berpuas hati selepas meneliti resume Ramos yang pernah mengebom beberapa bangunan utama dunia termasuk di Amerika. Namun masa tu nama Ramos bukanlah Ramos tapi Basquet. Sebab Pico tak suka nama Basquet dan juga sebagai langkah berjaga-jaga agar Basquet tidak dijejaki, nama ditukar kepada Ramos.

   Beberapa ahli lain sedang bermain Saidina di dalam ruang di mana Einn dan Ramos sedang menonton TV yang sedang menayangkan sebuah cerita drama pejabat dibintangi Rita Rudiyana.

"Ish. Kau tengok si Rita ni. Padu kan?" Einn bersuara ketika babak Rita Rudiyana sedang memakai sut setiausaha.

"Dah tu kenapa? Banyak dah perempuan dalam dunia ni kita 'rasa', takkan perempuan Malaysia ni kau minat jugak?" Ramos bertanya kembali sambil mengulit-ngulit rambutnya yang panjang.

"Laaa. Aku minat dia sejak aku kecik lagi tahu?" Einn menerangkan.

"Jomlah kita culik dia."

"Malaslah aku."

"Kalau nak sekarang pun boleh. Tak ingat masa 2010 dulu? Kita culik Julia Perez dekat Stadium Gelora Bung Karno?" Ramos cuba nak throw-back.

"Mana boleh lupa. Engkau yang setan time tu. Aku beria lah hack stadium bagi black-out, engkau yang bawak lari Julia Perez, makan sorang-sorang." Einn bengang. Dia mengingati kembali detik sewaktu final Piala AFF Suzuki di Indonesia. Pertemuan antara Harimau Malaya menentang Sang Garuda. Waktu itu Julia Perez, artis seksi Indonesia, ada membuat kenyataan media ingin menyuluh laser melalui colinya. Dan berdasarkan laser di coli sewaktu balck-out itulah, Ramos dapat mencari di mana Julia Perez lalu membawa lari. Tidak ada seorang pun yang perasan sebab terlalu ramai orang. Ramos memang lincah orangnya.

"Kah kah kah! Mana boleh kongsi!" Ramos ketawa sambil menekan-nekan perutnya.

"Dah-dah. Semua pergi makan. Ada benda aku nak bincang." Pico muncul di balik pintu mengajak semua ahlinya pergi makan.

"Apa? Makan? Yeay!" Salman, yang sedang leka bermain Saidina terus berlari diikuti lagi tiga rakannya. Einn dan Ramos bangun malas.

"Makan apa? Jangan cakap KFC lagi." Ramos tanya Pico.

"Dah tu yang Ijot mintak. Datuk tu beli jelah." Pico memberitahu.

"Apa bendalah. Dengan Ijot tu pun si Basirun ni takut." Einn bengang.

   Di sebuah ruang mesyuarat yang biasanya digunakan Datuk Basirun untuk bermesyuarat dengan pelanggannya, telah dipenuhi seluruh ahli The Great Grasshopper. Di dinding utama yang sepatutnya tergantung gambar Datuk Basirun, telah digantikan dengan lambang seekor belalang yang cuba meniru aksi mentadak berwarna merah. Kemas dan garang. Edward Tito Shapiqo datang menghalang lambang tersebut dan berdiri di hujung meja. Memang itu tempat dia. Ahli lain semua meratah ayam KFC.

"Semalam kita dah bincang plan kita macamana nak serbu masuk KLCC. Tinggal seminggu je lagi." Pico memulakan syarahannya. Ahli lain buat tak tahu sambil makan dengan rakusnya.

"Einn! Kau dah ada idea macamana nak alih perhatian FBI?" Pico tanya Einn yang sedang berebut peha ayam dengan Jue.

"Haa? Emm. Dah. Aku ingat nak hack akaun presiden Brazil." Einn bersuara. Peha ayam di tangannya dirampas Jue dan Jue menggigit rakus.

"Buat apa?" Pico kehairanan.

"Laaa. Kan time KLCC kena serbu tu, Piala Dunia nak start dekat Rio de Janeiro. Dekat Brazil tu. Aku hacklah akaun Facebook presiden Brazil, cakap minta semua berhati-hati sebab dia baru dapat pesanan dari The Great Grasshopper nak datang curi Piala Dunia." Einn terangkan panjang lebar.

"Oooh. Jadi time tu, INTERPOL, CIA semua tu akan ready-ready dekat stadium dekat Brazil tu lah." Bijak kau Einn." Pico tersenyum.

"Hah? Aduh! Macamana aku boleh lupa time tu nak World Cup. Aku nak tengok Sepayol!" Ramos bengang. Dia memang peminat sejati negara kelahirannya itu.

"Hek eleh. Konfem-konfemlah JDT menang! JDT ada Pablo Aimar!" Akmal, seorang pelajar Malaysia di universiti Australia, bersuara. Pico jumpa Akmal sewaktu mereka memecah masuk Sydney Opera House untuk mencuri microphone. Tapi waktu itu, Si Akmal dah masuk dalam Sydney Opera House dahulu dan mereka terjumpa secara tak sengaja. Sewaktu itu Akmal masuk untuk mencuri langsir buat digunakan di biliknya. Akmal merupakan peminat tegar JDT sejak dari 2013. Tegar melampau.

"Bodoh. Piala Dunia ni untuk negara. Bukan untuk kelab." Ijot maki Akmal. Memang pantang dia dengan orang yang sokong bola sepak tanpa pengetahuan bola sepak sebenar. Biarpun dia seorang perempuan, itu tak menghalang dia untuk menyokong bola sepak. Dia peminat Itali dan juga meminati Balotelli. Dalam telefon bimbitnya, ada tersimpan gambar Balotelli yang di edit sedang duduk bersebelahan dengan diri Ijot.

"Dah! Jangan bergaduh. Fokus kita ke KLCC! Piala Dunia tu lepas setel KLCC, kita pergilah tengok." Pico menegaskan. Yang lain berdiam. Semua memang takut dengan Pico, ketua yang garang.

"Ok macam ni...." Pico menerangkan semula.

   Di luar bangunan, seekor anjing berdarah Rottweiler yang sedang berjalan-jalan mencari teman, terdengar akan perbualan The Great Grasshopper. Telinganya yang bengkok, ditegakkan. Dia mahu meneliti perbualan tersebut.

   Sebaik mendengar rancangan maha iblis itu, anjing Rottweiler tersebut berlari dengan laju meninggalkan kawasan tersebut. Dia melintasi semua jalan raya tanpa menggunakan satu jejantas pun. Habis diredah semua. Antara kebolehan anjing tersebut, berlari tanpa penat.

   30 minit kemudian, selepas berlari hampir sejauh 10 kilometer, dia mendapatkan seorang lelaki yang sedang berkerja di bengkel motorsikal. Lelaki tersebut sedang membuka tayar motorsikal berkuasa rendah sebab tayar tersebut terlanggar durian.

"Sharipuddin! Sharipuddin!" Anjing tersebut mendapatkan lelaki tersebut.

"Hah! Kau nak apa Teruna?" Lelaki tersebut kenal akan kelibat anjing yang memanggilnya. Dia menjawab sambil meneruskan kerjanya. Tangannya yang berotot itu menunjukkan bahawa dia bukanlah lelaki biasa.

"Teruna abah engkau! Panggil aku Johnny! Teruna tu nama lama aku!" Johnny bengang bila Sharipuddin memanggil nama asalnya.

"Hah. Yelah. Apa dia?" Sharipuddin tinggalkan sebentar kerjanya dan memberi fokus kepada Johnny.

"Aku dapat tahu The Great Grasshopper ada dekat Malaysia!" Johnny bersungguh bercerita.

"Maksud kau, The Great Grasshopper, pengganas yang ditakuti seluruh dunia tu? Yang Amerika dah isytiharkan sebagai penjenayah dunia tu?" Sharipuddin bertanya serius.

"Yalah. Diorang nak hijack KLCC! Nak curi cincin First Lady yang akan dipamerkan dekat KLCC nanti." Johnny bercerita secara risau.

"Dah tu kenapa? Kita bukan ada apa-apa lagi dengan kerajaan." Sharipuddin sugul. Nampaknya semacam merajuk bunyinya.

"Laaaa. Kita pergilah selamatkan KLCC!" Johnny bersungguh.

"Kau dah lupa ke?"


*****

   Seorang perisik milik PDRM dihantar ke Russia untuk suatu misi yang sukar diterima mana-mana perisik pun melainkan diri perisik itu sendiri. Dia diiringi seorang pegawai.

   Sebaik tiba di makmal sulit bawah tanah milik Yuri Prime di selatan Moscow, Rusia. Perisik tersebut bersalam dengan Yuri Prime yang separa botak dan memakai jubah doktor. Makmal tersebut tidak diketahui ramai, cuma beberapa kerajaan sahaja yang tahu. Kawalan yang cukup ketat membuktikan betapa makmal tersebut memang makmal yang sangat berharga. Kebiasaannya makmal tersebut menjadi rujukan mana-mana negara untuk mendapatkan khidmat perang.

"Nama aku Teruna." Perisik tersebut memperkenalkan diri sambil menghulurkan fail milik kerajaan Malaysia. Fail bertukar tangan. Cermin mata hitam di hidungnya dibetulkan. Salam disambut dan Yuri Prime memperkenalkan diri juga. Mereka minum teh tarik dahulu sebelum memulakan misi.

   Sebaik Teruna bersedia dari segi fizikal dan batin, dia pun berdiri di sebuah balang besar yang memuatkan seorang manusia bertubuh sederhana. Balang tersebut bersambung wayar dengan sebuah lagi balang yang dalamnya sedang duduk seekor anjing berketurunan Rottweiler. Anjing tersebut cuma duduk diam semacam tak mengerti apa-apa. Banyak wayar yang bersambung dengan alatan elektronik milik Yuri Prime. Tiada orang lain dalam makmal tersebut. Yang ada cuma Yuri Prime, Teruna, pegawai pengiring Teruna serta seekor anjing.

 "Sedia?" Yuri Prime memberi isyarat kepada Teruna yang berdiri dalam balang besar. Pegawai pengiringnya sedang duduk bermain game Candy Crush di telefon bijaknya.

   Sebaik semuanya bersedia, Yuri Prime menekan sebiji butang berwarna merah di salah satu papan kekunci mesin elektroniknya. Kedua-dua balang bercahaya dengan aliran elektrik. Teruna mula menjerit. Anjing turut menyalak.

   Lima minit berikutnya segala-gala berubah. Teruna sudah rebah di dalam balang. Anjing di sebelah yang sedari tadi tampak pasif, mula duduk sedia. Yuri Prime menekan sebiji butang dan kedua-dua balang naik ke atas. Anjing tersebut datang kepada Yuri Prime.

"Apa rasanya?" Yuri Prime bertanya kepada anjing tersebut.

"Rasa macam anjing." Teruna yang sudah di dalam tubuh anjing Rottweiler, beredar untuk menaiki jet yang membawanya datang ke sini. Pegawai pengiringnya tadi mengangkat tubuh milik Teruna yang sudah tidak bernyawa sambil melemparkan senyuman kepada Yuri Prime.

   Yuri Prime membelek kembali fail milik kerajaan Malaysia tersebut yang tertulis :

   "Tolong tukarkan roh perisik ini ke dalam badan seekor anjing yang tegap. Thanks bro!"

   Hari-hari berikutnya, Teruna telah menjadi ahli K9 PDRM yang dikelola oleh seorang pegawai berpangkat Sarjan bernama Sharipuddin. Sebuah unit khas terdiri daripada tujuh orang anggota polis dan seekor anjing telah ditubuhkan. Unit yang dilatih khas untuk membanteras jenayah nakotik di seluruh negara malah khidmat mereka turut digunakan oleh kerajaan banyak negara sekitar Asia Tenggara. Mereka telah mengharumkan nama Malaysia. Unit ini digelar : "Unit Johnny."

   Namun malang seribu kali sayang. Teruna yang telah menggunakan nama Johnny telah melakukan satu kesilapan yang langsung tak boleh diterima akal. Dia telah menyerbu seorang pakcik di lapangan terbang kerana menyangka pak cik tersebut ialah utusan dadah dari Afrika Selatan. Johnny telah menggigit pakcik tersebut dan menggigit serbuk yang disangkakan dadah tapi rupanya hanya sebungkus tepung gandum. Pak cik tersebut rupanya datang Malaysia sebab nak belajar buat roti canai.

   Habis Unit Johnny dikecam di seluruh dunia dan tersebar di Facebook.

   Lalu unit tersebut dibubar. Sharipuddin dan Johnny dipecat sama sekali.

*****

"Kau lupa ke setan?" Sharipuddin bertanya lagi.

"Alaaaa. Itu dulu. Kau tak sayang Malaysia ke? Kau tak sayang Datin Sri Rosmoh ke? Kau tak sayang KLCC ke?" Johnny bersungguh-sungguh.

"Malas!" Sharipuddin meneruskan kembali tugasnya menukar tayar motor yang tergendala. Hatinya masih remuk dendam dengan kerajaan Malaysia...

No comments: