Sunday, June 1, 2014

KLCC dalam Nahas (Part 8)

   Johnny yang kecewa dengan Sharipuddin dan Suraya, berusaha untuk mendapatkan seorang lagi bekas ahli unitnya dahulu. Oliber. Ya! Oliber. Antara tulang belakang untuk kesemua siri kejayaan 'Unit Johnny' dahulu kala. Kerana sebelum Teruna meresap ke dalam tubuh Johnny, Johnny hanyalah seekor anjing biasa yang mengikut arahan. Dan orang yang paling bertanggungjawab memelihara Johnny ketika itu ialah Oliber. Oliber menjaga Johnny seperti menatang minyak yang penuh sejak dari Johnny diambil di pusat pemeliharaan haiwan. Ketika itu Johnny kecil dan comel seperti Minions. Namun sekarang sudah besar, dewasa dan gagah.

   Ketika itu, Oliber selaku seorang yang dipertanggungjawabkan PDRM untuk mencari anjing yang boleh dilatih untuk skuad K9. Oliber seorang anggota polis yang menurut perintah secara berintegriti, menerima dengan hati yang terbuka dan mata yang sangat teruja. Rentetan itu, pulang sahaja dari kerja, Oliber terus memecut ke pusat pemeliharaan haiwan terbiar.


   Sebaik tiba di pusat pemeliharaan haiwan terbiar, Oliber masuk ke dalam dengan perasaan yang berbunga-bunga. Mana tidaknya, ada puluhan malahan ratusan haiwan yang biasanya terdapat di tepi jalan, dikutip dan dijaga di pusat tersebut.


"Ya abang? Mahu ambik binatang ka?" Seorang ah moi berti-shirt kuning dan berseluar jeans pendek paras bawah punggung menegur Oliber.


"Taklah. Nak beli beras kampit cap rambutan. Ada?" Oliber membalas kembali.


"Kelakarlah abang ni. Mahu angkat binatang apa? You tengok-tengoklah ye?" Ah moi tersebut mem-blahkan diri memberi ruang kepada Oliber membuat pilihan. Kagum sungguh Oliber dengan semangat keluarga ah moi tersebut yang mahu membela binatang terbiar.


   Oliber pun berjalan-jalan perlahan. Dia lihat ada banyak binatang. Ada kucing siam, ada anjing, ada burung kakak tua. Ada juga ular sawa batik yang diletak dekat situ. Oliber rasa pelik.


   Elok dia berjalan perlahan, dia terhenti di depan sebuah kolam kecil. Dia tengok-tengok. Mana tahu ada kura-kura. Sebab Oliber suka dengan kura-kura memandangkan dia peminat Ninja Turtle. Padahal Ninja Turtle tu penyu. Mungkin Oliber kurang berkeyakinan membezakan antara kura-kura dan penyu.


   Tiba-tiba corong telinganya menangkap kemas :


"Abang..." Lembut suara itu. Suara perempuan muda.


   Oliber pandang kiri dan kanan memastikan bahawa dia bukan keseorangan di situ. Mana tahu ada makwe lain yang mesra binatang, boleh juga Oliber buat berkenalan.


"Sinilah abang." Suara tersebut gemersik merdu macam merajuk.


   Oliber pandang depan dia. Terkejut bukan kepalang bila dia nampak ada seorang perempuan muda lingkungan dua puluhan, sedang meliuk di depannya. Wajahnya sebiji macam Maya Karin. Malahan perempuan tersebut cuma bercoli yang diperbuat daripada kulit kerang. Memang menggiurkan tubuh perempuan tersebut, cuma sayang separuh badan ke bawahnya bersisik dan berekor ikan. Sah di depannya ialah seekor ikan duyung lagenda. Oliber lempang mukanya berkali-kali.


"Kenapa abang?" Perempuan tersebut berenang menghampiri Oliber yang sedang karget di birai kolam mini.


"Errr. Macamana..." Oliber gagap.


"Abang suka saya tak? Bawaklah saya balik. Bela saya dekat rumah." Perempuan separuh ikan itu memujuk dengan suara menggoda sambil memercikkan air ke muka Oliber menggunakan ekor. Oliber dah tak tentu arah.


   Di kepala Oliber sudah terbayang betapa bahagianya memiliki ikan seperti itu di rumah. Manakan tidak, ikan itu berwajah Maya Karin. Apatah lagi Oliber seorang yang masih bujang. Tidak perlu lagi dia memenuhkan memori telefon bimbitnya dengan video dot three GP, menonton sambil berbaring mengiring dan berselimut. Yang pasti, Jabatan Agama Islam takkan mengganggu kerana ini ialah ikan, bukan manusia. Oliber senyum tiba-tiba.


"Soli abang. Ini ikan sulah ada olang booking. Anak laja mahu ambik." Tiba-tiba ah moi tadi datang seakan mengerti keinginan Oliber.


"Ya ke?" Oliber terperanjat.


"Ya meh. Hali ni saja sudah lima belat olang mahu kan ini ikan."


   Oliber kecewa. Bengang betul dia, anak raja manalah yang nakkan ikan duyung secantik dan seseksi itu. Tapi apakan daya. Sudah resmi anak raja, apa yang dimahukan, mesti dipenuhi.


   Dia meneruskan kembali pencariannya yang seakan tergendala dek ikan duyung tersebut. Dia pandang ke kirinya ada seekor unikon. Tapi Oliber tak minat unikon. Nak buat apa? Dahlah makan rumput banyak.


   Oliber jalan lagi sampailah dia terhenti di depan sangkar yang menempatkan beberapa ekor anak anjing yang comel.


   Dalam banyak-banyak anak anjing itu, ada seekor anak anjing yang berwarna hitam seakan membalas pandangan Oliber yang sedang tersenyum. Anak anjing yang dalam sangkar itu duduk memandang Oliber dengan mata yang bundar dan berkaca. Ekornya bergerak ke kiri dan ke kanan. Seakan-akan mahu di angkat oleh lelaki di hadapannya.


"You angkatlah ini anjing. Dah besar nanti dia kuat. Macam badang. Ini anjing Lotweler." Ah moi yang baru lepas membaca novel pasal Badang, memberi penerangan. Oliber terus teruja memandangkan anjing tersebut berdarah Rottweiler. Memang spesis yang dia mahukan.


   Lalu anak anjing tersebut diambil Oliber untuk menjadi sebahagian daripada dirinya dan unitnya.



*****


Kini dua belas tahun sudah berlalu. Oliber bukan lagi anggota polis. Dia hanyalah pekedai biasa. 

   Oliber sedang sibuk mengemas gerai sayuran di pasar besar. Pasar yang biasanya dikunjungi mak cik-mak cik dan anak-anak dara yang reti memasak. Anak-anak dara yang tak reti memasak biasanya masih terbongkang tidur di rumah. Oleh sebab hari sudah menjelang tengahari yang terik, Oliber mengambil keputusan menutup gerainya. Hasil jualannya juga agak lumayan hari tersebut. Mungkin kerana dia jujur meletakkan tanda harga atau dia takut diserbu pihak berkuasa. Nampak macam takde kena mengena kan? Peduli apa aku.

   Oliber tekun meniaga demi meneruskan kelangsungan hidup yang kian meningkat tinggi taraf hidupnya. Kalau Oliber malas, dia akan mati kebuluran. Begitulah resam dunia, siapa cepat dia dapat. Siapa malas dia sengsara. Oliber juga berpendapat, berapa banyak sangatlah pampasan yang diberikan kerajaan berikutan kes dia dipecat dahulu kala. Unit Johnny merupakan lambang kemegahannya, Unit Johnny jugalah yang meruntuhkan semangat juangnya.

   Dia kini cuma menumpukan perhatiannya untuk meniaga. Memikirkan Sakinah, gadis kampung yang dipilih ibunya, dia semakin bersemangat. Pernah juga dia mencuba nasib menyertai uji bakat Akademi Fantasia. Suara Oliber memang power. Kalau setakat tarik lagu She's Gone, dia boleh lakukan sambil bersila. Kalau karoke lagu Madah Berhelah, masa part "Bukan sekali kau suarakan kebimbangan...", Oliber boleh tarik sambil pilih lagu lain. Tapi sayang, dia tak berjaya ke pusingan seterusnya sebab juri cakap dia tak hensem.

   Dia ada juga mencuba bakat dalam "Bintang Mencari Bintang." Azlee Senario menjadi idola Oliber sejak dari kecil. Oliber membesar dengan Senario. Semua sitkom Senario dia hafal. Semua filem Senario dia ada. Daripada Senario The Movie 1998, sampailah Senario The Movie Beach Boy, semua Oliber ada. Cuma yang Senario The Movie Beach Boy tu dia minat Senario atau dia minat Maria Farida, yang tu tak pasti. Hasil daripada menonton semua cerita Senariolah, Oliber berani menyertai ujibakat. Oliber berjaya buat juri ketawa. Afdlin Shauki ketawa sampai terduduk. Harun Salim Bachik semput-semput ketawa. Wahid Senario tak boleh bercakap sebab ketawa banyak.Tapi sayang, Oliber gagal ke pusingan seterusnya. Atas alasan yang sama, Oliber tak berapa hensem.

   Rentetan daripada dua kegagalan menjadi artis itu, Oliber pasrah dan memilih meniaga sebagai bidang kerjaya. Oleh itu, dia harus rajin berusaha untuk menyahut seruan kerajaan melahirkan anak muda yang berminda kelas pertama dan berprofesional.

   Sedang Oliber memasukkan kotak-kotak sayur sawi ke dalam van, dia ditegur satu suara. Suara yang cukup-cukup dia kenal. Yang cukup-cukup dia tahu.

"Mirulslav... Mirulslav!"

   Ya. Mirulslav. Lambang keangkuhan Oliber suatu masa dahulu. Nama itulah yang terpilih dalam sebuah Unit Johnny yang cukup gah. Unit yang seringkali mendapat liputan akhbar. Seringkali menjadi penghias majalah hiburan juga muka depan Mastika. Nama Mirulslav dipilih Oliber untuk dicetak ke atas name tag Oliber dipilih atas semangat darah Rusia yang masih ada dalam dadanya. Oliber kacukan Rusia-Malaysia. Dia ada dua negara dan dia sayang kedua-dua negaranya. Rusia dia julang, Malaysia dia tatang. Patriotiknya tinggi. Sebab tu Oliber pilih St Zenit sebagai pasukan bola sepak pilihannya. Bukan Man Utd seperti mana orang Melayu lain.

   Oliber menoleh ke arah suara tadi. Di sebelah kiri van sayurnya. Selesai meletakkan kotak, tanpa menutup bonet belakang, Oliber meninjau.

"Johnny!" Spontan nama itu keluar sebaik Oliber memandang seekor anjing berdarah Rottweiler berwarna hitam, sedang duduk bertinggung di tepi vannya.

"Kau buat apa dekat sini? Kan kita dah taknak jumpa sesama sendiri?"

"Engkau tak baca post Facebook ke setan?"

"Baca. Habis tu kau nak aku buat apa? Aku dah taknak terlibat lagi dengan unit-unit seragam ni. Cukuplah aku buat kerja halal macam ni. Cukup makan, cukup pakai."

"Habis tu? Kau nak biar je KLCC kena hijack? Kau nak biar negara kena pijak?"

"The Great Grasshopper tu power kau tahu? Kalau satu dunia susah nak tangkap dia, apa lagi kita unit yang dipecat?"

"Kita boleh cari jalan. KLCC dalam nahas lah!"

"Nantilah aku fikirkan." Oliber menjawab pendek.

"Aku harap kau pertimbangkan perkara ni." Johnny lemah bersuara sambil berpusing untuk pergi.

"Tunggu!"

   Johnny semangat berpatah balik.

"Kau tahu nyanyi lagu "Seribu Tahun Takkan Mungkin?"

"Tahu, kenapa?"

"Jom nyanyi sama-sama sambil aku kemas gerai aku. Kalau kau nyanyi sama-sama dengan aku, aku jadi join kau semula."

"Aku tak hafal lirik." Johnny malas layan sebenarnya.

"Kalau macam tu, kira aku tak join lah."

"Ok ok. Jom nyanyi sama-sama." Johnny pasrah.

"Kejap aku ambik gitar."

   Lalu mereka pun menyanyilah lagu BPR itu bersama-sama tanpa memperdulikan orang lalu-lalang. Sesekali ada orang bagi seringgit sebab ingat mereka berdua sedang buat show tepi jalan.


*******
   Ruang tengah KLCC sedang berlangsung harmoni dengan lagu-lagu syahdu berirama jazz. Semua hadirin yang datang bukanlah dari calang-calang golongan. Tiada langsung orang-orang yang berpendapatan sederhana rendah apatah lagi mereka-mereka yang datang dari gelandangan. Semuanya ahli-ahli korporat serta golongan-golongan bangsawan dan diraja. Tak ketinggalan juga orang-orang arab yang berjubah mahu menunjukkan kekuasaan dalam dunia kewangan. Angkuh.

   Pintu pagar ditutup sederhana. Kawalan keselamatan diperketatkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terjadi. Polis-polis yang ditugaskan khas mengawal di setiap jarak 50 meter. Masing-masing dilengkapi pistol.

   Leeya dan Sakir yang hanya berniat untuk melihat-lihat sahaja barang kemas di ruang legar itu, terperangkap sama dengan sosok-sosok manusia-manusia kaya.

   Irama lagu direndahkan, lalu tampil seorang wanita di atas pentas dengan pakaian yang bergemerlapan warna emas separas dada. Kainnya terbelah sehingga paras atas lutut. Dia memegang mikrofon.

"Ladies and gentleman, welcome to The Paradise Of Pearl!!!." Wanita yang bertugas sebagai pengacara majlis itu memulakan introduksi majlis lalu disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin.

   Seketika kemudian, majlis bermula dengan peragaan sepuluh orang peragawati cantik dari segenap dunia. Mereka berjalan di atas pentas panjang, merentasi manusia-manusia sambil memperagakan barang-barang kemas. Semua bermata bundang. Kurang pasti sama ada bulat mata melihat barang kemas atau bulat mata melihat 'barang' di peragawati.

   Di belakang tabir, Embak Jujue Lashes sudah bersiap sedia dengan watak Shasha Solero sementara Akhmal sudah memegang watak Bobo dengan jayanya. Apatah lagi muka Akhmal yang mirip dengan Bobo, langsung tidak menimbulkan sebarang masalah. Sesekali pegawai pengiring pondan mengusik-ngusik Akhmal namun Akhmal terpaksa melayankan. Bimbang timbul sebarang syak wasangka, habis dibiarkan tubuhnya diraba pegawai pondan tersebut. Jue yang memandang cuma tersenyum sinis.

   Datin Seri Rosmoh, sudah mengenakan cincin berharga USD 24 Billion di jari manis tangan kanannya. Dialah yang akan menjadi peragawati yang ke-sebelas, untuk naik ke atas pentas dan memperagakan cincin tersebut. Dia mahu semua mata-mata pemilik kuasa duit diluar sana silau dengan kilauan cincin permatanya itu. Biarkan mereka melakukan bidaan sepuluh kali ganda daripada harga asal. Biar mereka semua menggila!

   Akhmal dan Jue sudah bersiap sedia.

   Akhmal men-slide telefon bijaknya dan membuka aplikasi Whats App, mencari nama Pico. Kemudian dia menaip :

"Ok guys. Ready. We're gonna rules the world!" Lama juga untuk Akhmal memikirkan ayat yang power macam tu dan dihantarkan kepada Pico, ketua mereka yang sudah menunggu lama di bilik hotel.


   Pico mengarahkan seluruh kru nya bersiap sedia. Ijot, Salman, Ramos dan Barbossa sudah bersiap sedia sebenarnya. Tak tahu apa lagi yang Pico nak arahkan. Dia kemudian menghubungi Einn yang berada di hotel sebelah.

"Einn! Engkau ready. Nanti aku bagi Q, engkau terus matikan semua sistem keselamatan! Tutup semua pintu dan matikan semua sistem hubungan keluar!" Pico sedikit menjerit. Macamlah Einn tu pekak.

"Bereh boh!" Einn di hujung talian menjawab malas. Dia sambung main game Candy Crush.

   Di atas pentas...

"All right, ladies and gentleman! Sekarang, untuk acara yang kita nanti-nantikan, seorang perempuan pertama di Malaysia, bakal memperagakan sebentuk cincin bertahtahkan permata yang berasal dari tiram dasar Laut Selat Melaka, diukir khas oleh tukang emas dari Perancis. Selepas sahaja sesi memperagakan cincin ini tamat, kita akan teruskan dengan acara membida haraga barang kemas. Tanpa melengahkan masa lagi, sambil diiringi pasangan bintang popular Malaysia, Bobo dan Shasha Solero, dengan cincin berharga USD 24 billion! Mempersilakaaaaaannnn~~~ Datin Seri Rosmoh!!!" Tanpa toma'ninah pengacara itu bercakap.


   Sambil diiringi muzik pancaragam sederhana tinggi, Datin Seri Rosmoh yang cantik dengan pakaian gaun serba putih, bersarung tangan dan bertopi senget sedikit, dia naik ke atas pentas sambil kedua-dua tangannya dipimpin Akhmal dan Jue. Biarpun dia manusia di kiri dan kanan Datin Seri Rosmoh itu terpaksa, namun mereka perlu lemparkan senyuman jua. Dalam poket masing-masing sudah tersimpan sepucuk pistol.

   Seluruh hadirin teruja, termasuk Leeya dan Syakir yang langsung tiada niat untuk membida. Apatah lagi dua manusia itu belum selesai membayar hutang PTPTN.

   Sementara itu The Great Grasshopper sudahpun keluar dari bilik hotel 1024 dan meluru berlari ke arah pentas. Einn sudah bersedia untuk mematikan semua sistem kawalan.

   Konsert di luar KLCC juga berlangsung rancak, manusia-manusia remaja sudah semakin leka. Manusia semakin ramai. Ada yang mabuk malahan ada yang saling bergesel samada sengaja atau tidak. Namun semua masih di bawah kawalan.

   Johnny sudah semakin gelisah. Deria anjingnya dapat merasakan cuaca di Kuala Lumpur sudah tidak menentu. Menandakan ada malapetaka maha besar bakal berlaku...


Bersambung... Kah kah kah...

p/s ; maaf aku sibuk macam harrommm. Deadline habis semua aku langgar.