Monday, November 28, 2011

Gugup di Tampin...

   Aku tumpukan perhatian aku kepada permainan PES 2012, permainan bola sepak di komputer milik si Brendan. Ingin menewaskan dia dalam pertaruhan strategi dan kehebatan masing-masing. Brendan memang diakui lagenda dalam game tersebut, siapa yang kalahkan dia dah boleh buat pulut kuning dan telur pindang untuk raikan kejayaan.

   Sambil bermain, hati aku dilanda seribu kekecewaan. Sepatutnya esok, aku akan bergerak ke Tampin, menghadiri majlis perkahwinan abang kepada Cik Ila. Namun niat tersebut terpaksa dikuburkan berikutan tiada sesiapa nak teman pergi sana.

"Takkan aku nak pergi sana sorang-sorang. Nampak sangat desperate." Aku bermonolog sendirian. Permainan masih diteruskan ketika aku sudah ketinggalan 0-3 kepada Brendan. Ah! Tewas kepada Brendan dah jadi adat.

"Beep! Beep!" Telefon bimbit lampu kuning dalam poket seluar berbunyi menandakan ada mesej masuk. Aku menggagau-gagau poket mencari-cari telefon bimbit yang bercampur-campur dengan duit syiling dan kotak rokok dalam satu poket. Dah macam poket Doraemon gamaknya.

"Sok! Jom pergi!" Mesej dari Ain,mengejutkan aku. Siang tadi aku ada ajak dia pergi sama sebab dia kawan kepada Cik Ila. Tapi dia menolak pada awalnya. Takpelah. Tiba-tiba sekarang dia yang beria pulak. Apa yang mengubah fikiran untuk pergi ke Tampin, masih menjadi tanda tanya.

**********

   Aku terlewat bangun. Jam dah lebih pukul 12 tengahari. Sedangkan janji semalam pukul 12 gerak. "Mampus aku!" Terpacul serta-merta. Tidur lepas Subuh, memang ni lah jadinya. Telefon bimbit aku cari. Terperosok di bawah bantal.

"24 missed call." daripada Ain. Aku semakin gelabah. "Entah-entah minah ni dah gerak tinggalkan aku." Aku cuba buat andaian sendiri sebelum aku telefon dia. Lega sedikit dia masih lagi di Terminal Segamat. Menurutnya bas gerak pukul 1. Jadi aku masih ada masa. Aku pun bersiap seadanya.

"Pergh! Macam Aaron Aziz!" Suara kecil hati aku memuji diri sendiri ketika menyisir rambut. Dasar perasan.


Di terminal bas, dua orang gadis sudah sedia menunggu aku. Ain, dengan sedikit solekan diulitkan ke wajahnya, berkasual baju kurung hitam-ungu, membimbit beg tangan selayaknya mana-mana gadis lain. Dia lemparkan senyuman berlesung pipit yang memang manis. Sementara seorang lagi, Ertika juga tampak manis dengan kasual baju kurung hijau lembut, membimbit beg tangan, juga melemparkan senyuman kepada aku. Diapit dua gadis buat aku rasa lain macam. "Lelaki yang keluar dengan perempuan ramai-ramai ni biasanya geng-geng sotong." Aku berprejudis negatif sendirian.

"Aku ingat kau bertanjak nak datang sini." Ain bertanya yang aku kira sekadar perlian. Cis.

Dalam perjalanan, hati aku semakin gugup. Rasa seperti sistem pembuluh darah gagal berfungsi dengan degupan jantung semakin kencang. Aku kira menanti keputusan peserta Vokal Bukan Sekadar Rupa yang terkeluar juga tak segementar ini. Minda aku sibuk berimaginasi akan suasana di majlis perkahwinan itu nanti. Apatah lagi, ini kali pertama untuk aku bertemu seluruh keluarga besar Cik Ila. Baik Opah, Mak Lang, Busu, Mak Su Timah, Mak Teh, Pak Uda dan semua rasanya akan berkumpul di satu tempat. Ah, aku sibuk memikir apakah dialog paling sesuai untuk aku mulakan ketika bertemu mereka nanti.

"Assalammualaikum Pak Cik, dah makan?" Ah! Tak boleh! Ni kan walimatul urus. Apa kejadah tanya dah makan ke belum.

"Errr. Ni siapa yang kahwin ni ye Mak Cik?" Ni satu lagi dialog bangang. Takkanlah aku datang kenduri kahwin tanpa tahu siapa yang bersanding.

"Cik. Agak-agak Pak Cik kan, betul ke Osama mati dibunuh? Atau itu cuma karekter ciptaan Yahudi dan Amerika?" Ni lagi tak masuk akal, belum apa-apa dah nak berbual politik dunia. Ah. Degupan semakin kencang. Sampailah aku terlelap. Tahu-tahu dah sampai Tampin.

********

    Aku, Cik Ila, Ain dan Ertika turun dari Proton Saga yang Cik Ila guna untuk jemput kami. Dari jauh dah kedengaran riuh suara DJ yang diupah untuk menghangatkan suasana. Biar tak sehangat Hot FM, tapi masih mampu menghidupkan keadaan. Meriah.

   Kami dijemput mengambil makanan dan mengambil tempat duduk. Aku perhatikan Cik Ila beredar untuk menyambung kerja melayan tetamu. Cik Ila berbaju kurung merah lembut bercampur putih, tudungnya hitam aku lihat dua kali ganda ayunya. 

"Awek sendiri memang ar lu nampak lawa, lahanat!" Ni suara siapa pulak yang menyampuk ni? Jangan ganggu cerita aku boleh tak? Ok, berbalik kepada cerita.

   Aku diperkenalkan kepada seorang demi seorang. Ah. Memang seperti dijangkakan. Aku mati bicara. Sekadar bersalam dan menguntum senyuman yang aku kira paling macho boleh aku beri. 

"Oh, ni ke Encik Khuzz? Selalu dengar cerita je." Salah seorang yang aku salam bertanya. Aku terasa sedikit geli hati. Dah terlalu lama nama "Khuz" tu tak digunapakai. Sejak "Sipot" menjadi nama samaran yang lebih ramai kenal, Khuz sudah lama terkubur.

"Agak-agak berapa tahun lagi ni?" Seorang mak cik kepada Cik Ila bertanya dalam gurauan. Faham benar akan maksud gurauan itu, aku cuba kawal riak wajah segan. 

   Namun begitu, seorang sepupu Cik Ila, yang selama ni aku berhubung dengan laman sesawang Facebook, Apan, datang kepada kami yang sedang makan. Memang seperti dalam gambar, Apan memang jambu orangnya. Dia begitu ramah dengan aku sepanjang kami berbual. Macam lama kenal pulak. Tiba-tiba dia beredar. Tahu-tahu dia dah di khemah karaoke, menyampaikan lagu kepada kami. Terasa mahu sahaja aku pergi ke khemah itu dan mempertaruhkan suara ala Yabang Khalifah campur Black sikit-sikit ni. Tapi terpaksa dipendamkan sahaja berikutan mengekalkan imej macho.

   Kami dijemput masuk ke rumah memerhati gelagat setiap seorang ahli keluarga besar Cik Ila, lepak di situ sebelum kami, termasuk Cik Ila dihantar ke stesen keretapi untuk pulang ke Segamat.

**********

"Abang jangan layan b macam ni sekarang je. Biar sampai akhir hayat pun tau?" Cik Ila bersuara kepada aku sewaktu kami tiba di Stesen Keretapi Segamat. Aku senyum. Fikiran menerawang ke depan. Ah. Berangan lagi, kali ini membayangkan akan sebuah mahligai bertakhtakan kebahagiaan milik kami berdua.

Wink! Wink!


p/s : Ain, Ertika... Tu ar. Apesal tak ambik gambar? Kan aku dah tak letak gambar dalam ni. Har har har... 





Sunday, November 27, 2011

Malaysia vs Bahrain... Maaf, aku pilih Bahrain...

Kredit gambar kepada Fanpage Bolasepak Malaysia

   Haaa... Baca tajuk tu, start nak melentinglah tu. Simpan amarah kalian dulu. Aku faham, sekarang ni setiap marhaen, rakyat jelata dari seluruh pelusuk Malaysia sedang berapi-api semangat Harimau dalam diri mereka. Termasuk aku.

   Memandangkan bola sepak Malaysia semakin mendapat tempat dalam hati rakyat tempatan, maka tiada salah sekiranya aku ingin membuat prediction aku sendiri.

   Apapun, masih belum terlambat untuk aku ucapkan tahniah kepada skuad Harimau Muda yang telah merangkul pingat emas di kejohanan Sukan SEA2011. Ah, kalau aku nak ucap tahniah kepada skuad pingat emas Sukan SEA2009 pun masih boleh. Takde salahnya. Sebabnya, emas Sukan SEA2009 lah petanda Harimau Malaya kembali digeruni di pentas Asia Tenggara. Percaya atau tidak, untuk kejohanan-kejohanan sebelum ini, sama ada acara bola sepak Sukan SEA mahupun Piala Tiger (kini Piala AFF Suzuki), Malaysia seringkali diletakkan sebagai pilihan kelima di belakang Indonesia, Thailand, Singapura dan Vietnam.

   Berbalik kepada isu di mana akan menyebabkan "penyokong-penyokong baru berdaftar Harimau Malaya" ni melenting. Malam ini, skuad emas Sukan SEA2011 akan berdepan cabaran Bahrain. Sebuah lagi pasukan, selain Malaysia yang sedang bergelut mencari mata bagi meneruskan cabaran layak ke Sukan Olimpik 2012.

   Kita ketepikan hal barisan Harimau Muda. Rata-rata semua dah tahu siapa yang akan turun sebagai kesebelasan utama malam ini. Rajuk si Fakri di akhbar Kosmo!, Khairul Fahmi terus konsisten, mahupun Nazmi muncul membawa aura TsuNazmi. Semua tu pihak media dan pihak Facebook dah kecahkan.

   Bahrain. Bukan calang-calang pasukan dalam benua Asia. Untuk peringkat kelayakan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan tahun lepas, mereka cuma selangkah lagi untuk berjaya melayakkan diri ke kejohanan terbesar dunia itu. Namun sayang dimatikan oleh New Zealand. Malaysia? Peringkat pertama je dah kena lauk dengan Bahrain sendiri pada pusingan pertama dengan aggregat sebanyak 1-4.

   Mendapat jolokan Al-Ahmar (The Red), meskipun sama seperti jolokan Kelab Sejarahwan Liverpool (The Reds), itu tak menjamin yang mereka akan bermain sama bangang macam Liverpool. Atau mungkin mereka ni Liverpool versi Asia. 

   Menduduki ranking ke-102, cuma kurang dua anak tangga untuk berada di kelompok terbaik 100 sementara Malaysia di kedudukan 155. Lebih 50 negara yang membezakan jarak antara kedua pasukan.

   Ok. Itu untuk skuad senior. Tapi takde bezanya pun dengan skuad Harimau Muda. Ada je pemain Harimau Muda di'rotate' masuk ke skuad senior dan begitu juga yang di skuad senior. Dah macam nak main Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Anjuran UMNO Semberong pulak. Main suka-suka hati tarik-tarik pemain.

   Bahrain, mendapat bye di pusingan pertama, kemudiannya terpaksa berhempas-pulas menentang Palestine yang telah menundukkan Thailand 4-0. Nasib menyebelahi Bahrain bila mereka layak menerusi peraturan gol tempat lawan setelah terikat 2-2 dengan Palestin.

   Mereka ada serangan menyaksikan ada satu gol yang dikutip sepanjang dua perlawanan, berbanding Malaysia yang masih ketandusan gol sambil menantikan magis adiwira penyelamat Fakri.

   Pertahanan mereka agak rapuh setelah melepaskan lima gol berbanding Malaysia sebanyak empat gol. Namun harus diberi perhatian, ketinggian mereka dan corak permainan mereka hampir sama dengan Syria. Oleh itu, kalau skuad Harimau Malaya masih mengamalkan sistem permainan 'clear' bola ikut hala angin, ikut hala telur ataupun ikut hala mana ada penyokong gadis seperti menentang Syria tempoh hari, maka aku cadangkan pemain Malaysia bersara awal dan apply GiatMara.

   Ketika menentang Syria tempoh hari, berapa banyak hantaran tinggi jauh yang dengan selamba badak dipatahkan pemain tinggi Syria? Sambil penjaga gol mereka sibuk bergambar dan main Twitter sebab bola tak sampai-sampai. Dah tahu macam tu, masih lagi nak main bola tinggi. Susuk tubuh pemain Sepanyol rata-ratanya juga rendah-rendah. Tapi tengok gaya permainan mereka, ada hantaran tinggi jauh?

   Kepenatan. Adakah jarak lima hari cuma diisi dengan rehat semata-mata? Tak. Mesti ada latihan. Apatah lagi ada yang cedera, sedikit merencatkan perjalanan skuad Harimau Muda ini.

   Kamon para penyokong. Biarlah realisitik dan berpijak di bumi yang nyata dalam meletak sasaran. Ini ada yang cakap Malaysia bakal menang 5-0 lah. 3-0 lah. Lawan Kemboja haritu pun masih tercungap-cungap. Apa rasionalnya? Selain Lubnan yang dari negara Arab, ada lagi negara Arab lain kita dah kalahkan?
   Maaf. Agak berat untuk menyuarakan. Bukan tak patriotik, tapi dah memang kenyataan. Aku mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia dari zaman Akmal Rizal. Jadi rasanya dapat diramal sebarang kemungkinan.Walaupun jauh di sudut hati mengharapkan kemenangan dan tuah di sebelah kita. 

   Tapi, aku rasa kemenangan di pihak Bahrain. Atau mungkin magis bakal berlaku Malaysia menang tipis ke atas Bahrain.


"Kenapa serius sangat ni Sipot?"

"Err... Ampun Tuanku, patik rasa Malaysia menang punya! 15 berbalas satu! Kompem!"


Hahaha... Selamat berjuang Sang Harimau...





Saturday, November 26, 2011

Gambar...

   Gambar. Sebuah memori yang membekukan ruang dan masa. Ada benarnya kata-kata ini. Cuba teka dari mana aku dapat ayat "Sebuah memori yang membekukan ruang dan masa" ni. Ahh... Dah dua jam. Lambat sangat teka. Jawapannya dari senaskah komik kelakar, 'Utopia High' keluaran Gempak Starz. Siapa kata komik tiada nilai estetika yang tinggi. Hanya dengan sebaris ayat itulah membuat aku tertarik. Buat aku tergamam. Indah sangat.


   Ya. Gambar sememangnya sebuah medium untuk kita merasa kembali apa itu keindahan, kebahagiaan, keceriaan, malahan ada gambar juga yang mengisyaratkan ketakutan, kesedihan ataupun tanda tanya.


   Sekeping gambar mampu menjana seribu penceritaan. Tatkala kita memilih untuk mengimbau kembali sesebuah kenangan, gambarlah perantara pertama menjadi pilihan.


    **********


"Takde hadiah lainlah yang saya boleh bagi. Maaf, cuma ini sahaja." Ujar si gadis sambil menghulurkan sebuah kotak yang sudah dibalut kemas dengan kertas pembalut hadiah berwarna coklat kemerahan. Cantik balutannya.


"Terima kasih, awak." Aku menerimanya sambil menguntumkan senyuman yang tercipta secara automatik. Sungguh seumur hidup teramat jarang aku menerima hadiah apatah lagi pemberian. Kalau dikalungkan pingat gangsa dalam acara merentas desa masa tingkatan lima tu adalah.


"Selamat Hari Lahir, Sayang," sambung si gadis lagi. Begitu lancar sebutannya.


"Terima kasih. Terima kasih." Aku tak henti-henti menguntum senyuman. Biarlah senyuman ini tidaklah mampu menawan mana-mana gadis, namun senyuman itu aku ukirkan khas untuk si gadis yang dah menawan hati ini. Kawan-kawan lain yang turut meraikan sekadar ketawa menyakat.


   **********


   Sehingga hari ini, pemberian itu masih berdiri tegak di meja dalam bilik tidur aku. Sekeping gambar yang siap dibingkaikan dengan bingkai yang cukup cantik. Ada manik sederhana kecil yang bertakhta menghiasi bingkai hitam disekeliling gambar.


   Gambarnya, si gadis memberi senyuman, duduk di kerusi taman rekreasi di samping aku. Ya, aku ada sekali dalam gambar tersebut. Kami berdua di mana gambar tersebut ditangkap oleh kawan kami, Nurul Ain. Aku ingatkan sekadar saja-saja, tak tahu pula gambar tersebut mahu dibingkaikan.


   Sungguh, aku sendiri tak terlepas dari menjadi pengimbau memori melalui sekeping gambar. Rindu? Bohong kalau aku kata tidak....



"Ah! Jiwang lagi. Bosanlah kau ni Pot."


   Pergi jahanam sama kau.




Tuesday, November 1, 2011

2 Bangkang, 8 Sokong...

Hidup dunia ni, banyak kata putus perlu dicapai melalui kesepakatan. Penyelesaian masalah harus dipersetujui ramai ahli. Barulah semua puas hati. Kalau kata putus dipilih dengan sistem diktaktor kuku besi, ramai yang sakit hati. Betul tak?

Ah. Dah macam tradisi pulak di blog Sipot Si Tukang Tulis ni. Setiap entri je mesti intronya macam karangan SPM Bahasa Melayu.

Sebenarnya aku dapati, banyak perkara yang sepatutnya mendapat persetujuan tapi ramai yang bangkang.

Dalam 10, 2 bangkang 8 setuju. Cis. Dah macam formula Matematik Tambahan pulak. Tanpa membuang masa yang agak panjang, apa kata kita usyar, apa itu 2 bangkang 8 setuju.



2 bangkang, 8 setuju bila mana :

SMS-SMS pembaca dalam surat khabar, ada yang meminta agar stesen-stesen TV atau radio tempatan menghentikan drama-drama dan lagu-lagu Indonesia. Ada je yang cakap benci, meluat terlalu banyak lambakan hasil seni dari seberang. Tapi kenapa tidak dihentikan? Sebabnya dalam 10, cuma dua yang bangkang, lagi lapan setuju dan memuja-muja. Drama sinetron Nenekku Bukan Nenekku, Si Tamak Yang Rugi, Putri Yang Bertukar. Lagu-lagu seperti Ai Ai Shenkamen, Cari Gadoh, Percaya Dadaku dan sebagainya terlalu banyak. Sakit kepala lah.


2 bangkang, 8 setuju bila mana :

ON CINTA, ON TEMAN, ON SUNYI, ON JAAFAR atau berapa banyak lagi ON yang memenuhi ruang iklan-iklan komersial dalam TV dan surat khabar. Melanggan benda alah bangang tu sebenarnya membangangkan diri sendiri. Jadi ramailah yang menghina-hina dengan kehadiran iklan seperti itu di zaman Facebook, Twitter mula menguasai dunia internet. Tapi kenapa masih ada lagi? Sebabnya ada ramai lagi pengguna telefon bimbit di Malaysia ni yang melanggan servis bangang tersebut sekaligus mengkayakan orang lain.


2 bangkang, 8 setuju bila mana :

Sakit hati dengan bingitnya bunyi-bunyi yang mendesingkan keluar dari rongga-rongga ekzos motorsikal milik rempit. Semua menyumpah seranah kenapa boleh wujud budaya rempit yang cuma ada di Malaysia ni. Hakikatnya, mereka dididik dari kecik. Dari aktiviti berbasikal chooper, bmx. Mak bapak jugak yang beri. Mintak itu, bagi. Mintak ini. Bagi. Dah besar sikit, mintak motor pun di bagi. Teringat aku masa duduk Paloh. Ada sorang rempit ni, aku ajak main bola, dia cakap “Mak aku tak bagi main bolalah. But bola mak aku nyorokkan mana entah.” Habis cakap terus start motorsikal yang dibelikan oleh maknya sendiri. Apa kelancau?


2 bangkang, 8 setuju bila mana :

Baru-baru ini sekali lagi Sharbinee membuat benda biol yang mana tiba-tiba menggelupur bila bola datang kepadanya sekaligus menjadi punca kekalahan Terengganu dalam final Piala Malaysia. Walau pun dalam sepuluh, ada lapan orang mencaci maki herdik hina beliau, namun ada dua yang memuji dan memandang beliau dari sudut nilai bukannya populariti. Ok. Yang dua tu aku lah salah satunya. Lupa ke jasa beliau membawa pingat emas Sukan SEA acara bola sepak? Final takde bolos berbanding abang keeper kerol fami muka jepun yang bolos dua masa final AFF Suzuki. Lupa jasa Sharbinee yang selamatkan penalti masa kelayakan pusingan pertama Piala Dunia menentang Taiwan? Sekaligus membawa Malaysia ke pusingan kedua. Pada aku, Sharbinee tetap terbaik.


2 bangkang, 8 setuju bila mana :

Dalam 10 orang, 2 orang yang bangkang cakap pemilik blog ni tak kacak, berbanding 8 orang yang lain menyatakan setuju pemilik blog ini hensem. Jumlah keseluruhan menjadi 10.


“Boleh blah dengan keperasanan kau Sipot. Puih!”


Har har har….