Monday, December 16, 2013

KLCC dalam Nahas (Part 2)

   Sesekali Syakir melihat jam tangan di pergelangan tangan kirinya. Baginya, jarum jam tersebut seolah-olah laju bergerak. Selaju jantungnya yang begitu mencintai Leeya. Masanya bersama Leeya semakin suntuk. Dia bingung campur marah. Marah dengan diri sendiri. Marah dengan kelibat tren yang masih belum mahu kunjung tiba. Dia tengok jam lagi. Sudah pukul 12 tengahari dah. 

"Mana pulak tren ni!" Syakir separuh berbisik. Dua tiga manusia bersebelahan dengannya buat tak dengar atau memang tak dengar. Begitulah sikap individualistik warga metropolitan. Tidak akan mempedulikan sikap orang sekeliling.

   Syakir bosan. Dia bangun dari tempat duduk dan berjalan-jalan sekitar stesen. Meninjau-ninjau segala poster yang ada. Ada iklan yang ditawarkan kepada pencari pekerjaan. Ada iklan tentang keindahan Kuala Lumpur. Juga tak ketinggalan, poster gambar Naqib beserta slogan 'Kami Mendengar Masalah Anda'. Syakir tersenyum sendiri mengenangkan banyak sudah Perdana Menteri tersebut membantu masalah rakyat marheins sepertinya. Syakir bersyukur. Sejajar benar nama Syakir dan syukur.

   Syakir terpandang pula poster akan aktiviti yang bakal diadakan di KLCC. Secara tiba-tiba, sebiji mentol keluar dari otak kirinya. Syakir mendapat idea. Lantas dia terus mengeluarkan telefon bijaknya dari poket kiri dan mencari nama 'Leeya Tomei'. Mula-mula dia nak Whats App Leeya, tapi dia baru teringat yang internet sudah tamat tempoh langganan. Jadi dia menghantar SMS sahaja :

"Awucks, kittew g klcc nucks tark? Mcm best jeww g situe?" Girang dan cerita bait-bait SMS tersebut, dihantar terus kepada Leeya tanpa 'double-check'.

"Ok je." Ringkas balasan dari Leeya. Syakir tersenyum gembira, segembira di pagi Syawal. Suka benar hatinya bila Leeya menyetujui permintaannya. Dia sudah terbayangkan suasana meriah di KLCC. Gamat dan seronoknya! Hati Syakir dalam geram bercampur gembira.

"Anjing betul. Mana pulak perginya tren ni?" Syakir bersuara sendirian lagi bila dia melihat jam sudah pukul 12.10 tengahari. Dia rasa macam nak jumpa pihak pentadbiran RapidKL dan membuat amuk seperti mana Jebat dahulukala mengamuk di istana. Tapi memandangkan dia masih ada sedikit rasa rasional, dia pendamkan sahaja rasa itu. Bukanlah dia penakut. Malahan pernah sekali dia mengamuk gara-gara pasukan kegemarannya di Liga Perdana Inggeris, tewas kepada pasukan divisyen 3. Yang menjadi mangsa amukan itu ialah mamak pekerja kedai makan. Kasihan mamak tersebut. Sudahnya cerita kebiadaban rakyat Malaysia jadi tersebar di India. Tempat asal mamak tersebut. Semua gara-gara Syakir. Teruk Syakir dihentam di Facebook dan Twitter. Tapi Syakir kental orangnya.

   Belumpun Syakir mahu menambah asam garam carutannya, ekor matanya pantas melirik kelibat tren yang semakin menghampiri stesen tempat dia menunggu. Syakir terus bangun. Menolak ke tepi semua orang. Kini dia berada paling tepi dengan garisan kuning. Dia tak peduli apa. Yang dia tahu, dia mesti menyerbu masuk ke dalam perut tren. Dia mesti kerana dia perlu meneruskan misinya untuk berjumpa Leeya yang dia idamkan.

   Sejurus tren tiba dan membuka pintu secara automatik, tanpa mempedulikan penumpang yang keluar, Syakirlah paling laju menyerbu masuk seperti seorang ninja. Itulah skil yang dia pelajari sepanjang menonton siri kartun Ninja Boy di Astro Ceria saluran 611. Tak sia-sia dia menjadikan saluran tersebut sebagai saluran kegemaran.

"Sabar sayang. Lagi 10 stesen je." Syakir bermonolog sendirian sambil bibirnya terukir senyuman. Tangannya kemas memaut tali pemegang yang memang disediakan untuk penumpang yang berdiri bagi menyeimbangkan diri dan menentang prinsip inersia. Prinsip keadaan pegun yang menentang keadaan bergerak.

   Syakir melihat-lihat isi perut koc tren tersebut. Dia merasa pelik namun peliknya itu dia hapuskan segera. Dengan jelas dia dapat melihat isi koc tersebut dipelopori warga Bangladesh, Nepal, Iran, Afrika mahupun Serbia. Penuh. Syakir dapat merasakan dirinya seperti di luar negara. Bukan di bumi sendiri. Syakir berharap sangat supaya perkara ini tidak berlaku ketika dia bertemu Leeya nanti. Dia mahu Leeya selesa. Dia mahu Leeya menyayangi dirinya sebagaimana dia menyayangi Leeya. Dia mahu cinta Leeya kepadanya lebih mendalam daripada macam dalam cerita Playboy Itu Suami Aku. Jadi, untuk memastikan Leeya mengasihi dirinya, dia perlu menyediakan keadaan yang sangat selesa untuk Leeya. Supaya Leeya dapat merasakan betapa 'caring'nya Syakir. Begitulah modus operandi yang ada dalam kepala Syakir sekarang ni.

   Syakir perlu segera!

   Syakir pun melayani perasaan sendiri. Ikutkan hati, nak jugak dia main game Candy Crush macam yang ramai orang sedang main dalam tren tersebut. Tapi dia mahu jumatkan bateri. Dia mahu tunjukkan pada orang awam bahawa dia bukanlah seorang yang mengikut trend. Dia bukan seorang lelaki yang hipster. Dia seorang lelaki punk! Walaupun sebenarnya dia sudahpun sampai di level 230 untuk permainan bosan tersebut. Manakan tidak, dia memang penggemar sejati game tersebut. Pernah sekali dia menolak pelawaan futsal oleh kawan-kawannya kerana dia mahu mengurungkan diri dalam rumah dan bermain permainan tersebut. Kalau tengah melepak dengan sahabat handai di kedai mamak pun, dia akan mendiamkan diri sambil bermain game tersebut. Sehinggalah nyawa game tersebut habis, atau bateri telefon bijaknya habis, barulah dia berhenti dan mula berbual. Alah, engkorang yang baca cerita ni pun sama kan?

   Sedang leka mengelamun, tiba-tiba telinganya dapat menagkap kemas suara merdu gadis di corong pembesar suara yang memang disediakan di setiap gerabak. Suara yang biasanya mengumumkan stesen berikutnya.

"Stesen berikutnya, Kelana Jaya. Ini ialah stesen terakhir. Terima Kasih. Next station, Kelana Jaya. This is the last station. Thank You." Lembut dan gemalai suara perempuan tersebut. Namun begitu, suara lembut merdu tersebut sedikit pun tidak menggembirakan Syakir, malahan air muka Syakir berubah sama sekali.

"Anjing!!!" Syakir menjerit. Kali ini suaranya tidak terbendung lagi. Seluruh koc memandang Syakir. Sikap individualistik sudah hilang.

   Syakir tidak dapat dikawal lagi. Dia rentap tali getah pemegang di tangannya sehingga putus. Dia gigit tali tersebut sepuas hati. Dia tumbuk cermin yang ada di pintu tren tersebut. Cermin itu sedikit retak. Seluruh isi koc takut. Tiada yang berani menghalang atau menenangkan Syakir. Ada juga pemuda yang merakam aksi ganas Syakir itu untuk dimuatkan ke dalam laman sesawang YouTube. Dengan kelakuan Syakir sebegitu, tiada siapa yang dapat menenangkannya. Walaupun seorang Neelofa datang memeluk dan memujuk Syakir yang ketika itu, nescaya seorang Neelofa tersebut pasti akan ditumbuk padu tanpa belas.

   Nafas Syakir laju. Dadanya berombak turun naik. Dahinya berpeluh. Matanya besar dan meliar mencari titik pandangan namun tiada. Sungguh dia tak perasan, macamana dia boleh tunggu tren di platform yang salah, lantas ternaik tren yang juga salah. Sepatutnya dia mengambil tren yang menuju ke Gombak untuk pergi LRT Masjid Jamek, bukannya ke arah Kelana Jaya!

"Arggghhh!!!" Syakir menjerit lagi.

   Penumpang lain semua mengharap supaya tren lekas sampai di Stesen LRT Kelana Jaya. Anak kecil ketakutan, memeluk erat ibu bapa. Yang mana dengan kapel, memeluk pasangan lelaki ketakutan, sebaliknya si lelaki membalas ketakutan dengan senyuman. Syakir pula masih begitu. Mendengus. 

   Sebaik sahaja tren berbunyi alarm tanda hendak berhenti, Syakir segera memandang ke pintu. Dia harus menjadi orang paling pertama keluar dan menukar platrorm untuk naik tren ke arah Gombak. Dan sejurus sahaja pintu terbuka secara automatik setelah berhenti, Syakir melompat keluar. Tapi langkahnya terhenti. Dia memandang ke lantai platform tempat dia turun.

"Anjing!" Syakir menjerit lagi. Orang ramai yang keluar dari tren terus menjauhi Syakir lantas melarikan diri. Semua bimbang.

"Mana datang tahi anjing ni? Argh!" Syakir menjerit dan bingung. Macamana boleh ada tahi anjing dekat stesen LRT, dia sendiri bingung. Dia tak peduli lagi. dia terus mencari tandas untuk men-samak tahi anjing tersebut. Habis tanah di pasu bunga dia kaut untuk digunakan buat samak kasutnya. Dia peduli apa.

   Setelah berpuas hati, dia keluar dari tandas tersebut. Dia terus berlari mendapatkan barisan paling depan di platform tren menuju ke Gombak. Habis dia tolak orang ramai yang sedang menunggu.

   Nasibnya memang baik, baru sahaja dia berdiri, tren pun kunjung tiba. Hatinya kembali ceria. wajah Leeya idamannya bermain semula di kornea matanya. Dia mahu Leeya tersenyum sebaik memandangnya. Dia tahu wajah Leeya mampu melunturkan rasa resah dalam jiwanya walaupun ini ialah pertemuan dua pasang mata bagi mereka berdua.

   Syakir terus masuk ke dalam tren menggunakan skil Ninja Boy yang sama. Dia bernasib baik lagi kerana dapat tempat duduk. Itupun setelah berebut dengan seorang warga Afrika yang tubuhnya jauh lebih besar darinya. Kerana skil merebut tempat duduk tersebutlah, Syakir sering memenangi pertandingan kerusi berirama sewaktu sekolah dahulu.

   Syakir duduk diam. Matanya terpandang seorang gadis melayu tapi berpakaian agak seksi. Syakir cuba melarikan pandangannya namun dia tetap kembali mem-fokus kepada susuk tubuh gadis tersebut. Titik pandangan nakal kalau bahasa lainnya. Kalau Leeya ada disebelahnya, pasti dia akan dicubit manja. Syakir tersenyum sendirian.

   Tiba-tiba Syakir teringat, Leeya bukanlah seorang yang manja. Pernah dahulu, ketika Syakir mentertawakan Leeya kerana Chelsea yang power gila melampaui batas fikiran manusia normal, tewas dalam kejohanan Super Cup kepada Bayern Munich. Leeya ialah seorang yang tegar terhadap Chelsea yang power. Ketika itu jugalah Syakir dimaki tiga hari tiga malam tanpa belas kasihan. Malahan dia di-block di Facebook dan Twitter. Nasib baik nombor telefonnya Leeya tak 'block' sama. Letih Syakir memujuk Leeya. Habis semua kemahiran memujuk dia guna. Habis semua doktor cinta dia rujuk, habis semua siaran radio yang biasanya mengutarakan slot cinta-cinta, Syakir telefon. Habis surat khabar dia hantar surat menyatakan masalahnya. Akhirnya Leeya lembut hati dan memaafkan Syakir.

   Syakir keresahan semula. Dia perhatikan peta di atas pintu LRT, Stesen Masjid Jamek masih jauh. Kira-kira 20 minit lagi. Dia harap Leeya masih bertenang. Lantas Syakir menghantar SMS kepada Leeya :

"Awucks tunggu kewjap yeww? Tren ada masa'alah tadiew. hu3x"

   SMS dihantar dan Syakir menunggu dalam keresahan...

No comments: