Friday, January 28, 2011

Mengukir Pelangi (Bab 4)

   Embun pagi mula berkerja membasahkan helai-helai daun di laman. Sang jantan juga saling berkokok sahut-sahutan bertanding suara. Fajar menanti waktu untuk menyinsing menggantikan tugas sang gelap yang semalaman menjadi cuaca di iklim bumi kampung itu. Suasana pagi memang syahdu bagi sesiapa sahaja yang mahu lari dari hiruk kota yang dahsyat.


   Rizal mengaminkan doa terakhirnya sebagai penutup solat fardhu Subuhnya. Terus dia melipat kain sejadah  warna hijau muda serta kain pelikat jenama Cap Gajah Duduk di atas rak kayu yang disediakan khas. Rizal menuju ke dapur mencari-cari kelibat Pak Ngahnya. Tak jumpa. Yang dia jumpa Mak Yati yang sibuk menumis sambal ikan bilis untuk dibuat cecah dengan cekodok bawang. Baunya memang menyelerakan, lebih-lebih lagi dengan perut yang kosong minta sarapan sebagai alas. Tapi, dia ada misi yang harus diselesaikan. Ya! Misi pergi ke gerai si manis untuk menatap wajah ayu pemilik nama Syahira itu.


   "Rizal. Mari sarapan dulu". Kata-kata Mak Yati seolah merentap misi yang perlu dilaksanakan.


   Rizal terhenti langkah untuk dua-tiga detik. Kalau dia duduk untuk menjamu sarapan itu, nanti ramai pula yang pergi membeli kuih di gerai itu. Tapi kalau diteruskan langkah, nanti kecil hati pula Mak Yatinya itu.


   "Kejap Mak Ngah, saya nak keluar kejap. Kejaaaaappp je". Rizal memberi alasan spontan.


   "Err.. Mak Ngah. Kunci motor mana ya?" Tanya Rizal lembut.


   "Tu kat tempat letak kunci belakang pintu tu" Mak Yati menunjuk menggunakan sudip berbekas sambal tumis yang digunakan.


   "Ouh. Ok. Dah jumpa. Pinjam motor jap ea? Nak merempit. Hahahaaaaa" Berlalu Rizal ke beranda rumah tempat motorsikal diletakkan. Sebenarnya dia mahu gunakan motorsikal itu untuk ke gerai kuih di simpang kedua dari pintu gerbang masuk ke kampung ini. Mahu sahaja dia berjalan kaki, tapi nanti nampak macam dia terlalu melebih pula. Setakat ini biarlah dia sekadar melihat lagi sekali wajah gadis itu. Wajah yang muncul di alam mimpinya malam tadi. Starter motorsikal tua jenama EX5 ditendang, terus dipulas kuat berulang-ulang. Lumrah anak muda pantang dapat pulas handle motorsikal.


   "Vroooommmm!! Vrooommm!! Vrooommm!!" bunyi motorsikal mengejutkan si ibu ayam yang sedang mengeram telur.


   "Kau nak bukak game ke apa? Jerkah Mak Yati di muka pintu.


   "Errr... tak... tak... cuma teringat zaman remaja dulu... Hahahaaaa..."


   Mak Yati masuk semula ke dapur menyambung semula kerja menyediakan sarapan. Motorsikal EX5 bergerak perlahan meninggalkan halaman rumah. Ketika melalui kedai runcit milik Pak Nasir, sempat di hon dan menjerit memberitahu mahu keluar sebentar. Dalam perjalanan di kepala Rizal cuma terbayang wajah ayu itu. Terfikir juga mahu beli kuih apa. Kalau beli banyak takut membazir sebab Mak Yati sudah sediakan sarapan. Terfikir pula kuih kasturi idamannya sewaktu di sekolah dulu.


   Kawasan gerai sudah hampir. Tapi tak nampak pun payung gerai yang menjadi tanda jualan sedang beroperasi. Rizal memperlahankan motorsikal ketika melewati perkarangan rumah penjual kuih itu. Sunyi. Pintu tak terbuka, jendela juga tertutup rapi. Tak nampak langsung ada orang di dalam rumah. Hati Rizal hampa. Hajat mahu menatap wajah si gadis terbang bersama angin pagi. Lalu Rizal memusingkan balik motorsikalnya balik menuju ke rumah.


   "Assalammualaikum", lemah Rizal memberi salam masuk ke rumah. Kunci motorsikal disangkut dan dia terus ke dapur duduk di meja.


   "Wa'alaikumsalam, tutup ke gerai kuih Mak Senah?"


   "Hah? Errr.. Ha'ah, tutup". Pendek jawapan Rizal tapi bertanda tanya. Macam mana Mak Ngahnya tahu yang dia ke sana tadi.


   "Macam mana Mak Ngah..."


   "Alaaa... siapa lagi yang kau kenal kat kampung ni? Semalam Pak Ngah ada cerita" sambung Mak Yati memotong pertanyaan Rizal yang tergantung seolah mengerti persoalan Rizal itu.


   Rizal mendiamkan sahaja sambil mengunyah cekodok dan menghirup teh o panas. Dibuat tak peduli sahaja tentang penerangan Mak Yati tadi. Selesai sahaja dia ke ruang tamu menonton rancangan Cat Dog yang disiarkan TV3.




********************************************************************************




   Jarum-jarum jam di dinding menunjukkan waktu sudah pukul 5 petang. Rizal masih berbaring-baring. Sudah empat hari dia bercuti di kampung itu. Tiada apa yang dilakukan seharian. Cuma berulang ke kedai milik Pak Nasir, atau pulang ke rumah semula untuk menonton TV. Perasaan bosan mula menjadi teman rapat. Bercampur dengan kerisauan belum mendapat pekerjaan tetap dan tak lupa juga kekecewaan hati tidak dapat menatap wajah si gadis.


   Tiba-tiba dia teringat akan abangnya, Akmal, yang menjalankan perniagaan bengkel kereta di Kulai. Dia mahu bertanya kalau-kalau di Kulai ada kerja untuk orang sepertinya. Dan kalau-kalau abangnya mahukan pekerja tambahan bagi melicinkan tugas membetulkan kereta. Telefon bimbit jenama Nokia N70 yang terlekat dengan pengecas diambil segera. Rizal menekan butang-butang telefon bimbitnya mencari nombor abangnya. Jumpa. Terus dia mendail.


   "Maaf, kredit panggilan anda sudah..." Di hujung talian terdengar suara gadis menjawab dan belum sempat gadis itu menghabiskan kata-kata, terus Rizal menekan butang "cancel".


   "Aiseymen, macam mana aku boleh lupa nak top up ni?" Rizal bertanya sendirian yang lebih berbaur kepada rungutan. Ditinjau kepalanya ke dapur dan ke halaman rumah. Mahu mencari kelibat Mak Yati.


   "Mana pulak Mak Ngah ni? orang nak pinjam handphone ni", sekali lagi Rizal bermonolog sendirian.


   "Ni mesti pergi bergosip kat rumah orang sebelah ni", Rizal menambah spekulasi negatif. Dia mencari-cari kunci motorsikal untuk ke kedai handphone untuk membeli tambah nilai. Sekurang-kurangnya dia dapat meninjau-ninjau keadaan kampung di hari petang. Boleh juga dia menghirup angin petang melihat keindahan kampung sambil menunggang motorsikal. Disorong motorsikal dari beranda rumah keluar ke halaman. Dia mendongak ke langit dan awan mega hitam seolah menandakan mahu hujan. Tanpa memperdulikan suasana mendung itu, dia menendang starter motorsikal dan terus menunggang motorsikal.


   Rizal berpusing-pusing kampung mencari-cari mana-mana kedai handphone. Dia ternampak satu kedai yang papan tandanya berlogo "Hotlink".


   "Yezza! Jumpa pun"


   Rizal masuk kedai untuk membeli tambah nilai. Baru sahaja dia selesai berurusan di kedai itu, sang hujan mencurah dengan lebatnya membasahkan tanah. Rizal melangkah perlahan keluar. Dipandangnya dalam-dalam curahan manik-manik hujan yang jatuh. Dia melihat kereta-kereta yang lalu lalang meredah hujan. Ada juga satu dua motorsikal yang nekad meredah kelebatan sambil berbaju hujan. Bila sahaja Rizal menoleh ke kiri, matanya tertancap ke tubuh yang satu. Tubuh seorang gadis. Manis bertudung merah jambu, bert-shirt labuh warna merah garang dan seluar track hitam. Pemakaian kasual yang ringkas dan bersepadan dengan tubuh si gadis. Gadis itu cuma berdiri selangkah sahaja di sebelah Rizal. Sama saperti Rizal menantikan hujan reda. Gadis itu cukup membuat Rizal terpana. Masakan tidak, gadis itulah pemilik nama "Syahira". Gadis yang menjual kuih di simpang kedua dari jalan masuk ke kampung ini.


  "Hei cik adik yang kelakar", Rizal memulakan dialog lawak spontan. Sekurang-kurangnya dia dapat mengisi kebosanan menanti hujan berhenti. Juga satu bonus dapat bersua dan bercakap dengan gadis yang mahu ditatap beberapa hari lepas.


   "Eh! Abang GPS!", si gadis menoleh ke kanan dari arah datangnya suara yang menegurnya tadi.


   "Ada pulak abang GPS"


   "Ya la, Hahahahaa... ni datang kedai ni sesat tak?"


   "Hei cik adik, ingat saya ni kuno sangat ke sampai nak cari kedai jual top up pun tak tau?"


   "Aik? Marah pulak abang GPS ni?"


   "Marah la. Ada ke muka hensem macam ni dapat nama GPS, orang ada namalah"


   "Heh, tahu pulak cakap pasal ada nama? Yang dia tadi panggil kita 'cik adik yang kelakar' tu apa?"


   "Dah awak tu kelakar macam Nabil Raja Lawak, saya panggil lah camtu. Itu pun kira baik. Kalau saya panggil awak biawak komodo ke, labah-labah tarantula ke, macam mana plak? Hahahaaaa"


   "Yang biawak tu awak, pastu suka-suka hati pulak iktiraf diri sendiri hensem, hensem lagi iguana afrika"


   "Hmmm.. melampau pulak awak ni. Ya lah Syahira. Saya minta maaf menegur macam tu. Lain kali pakai la name tag, senang saya nak tegur. Hahahaaaa... Saya minta maaf ya Syahira?"


   "Haa? Macam mana awak tahu nama saya Syahira?" si gadis agak terkejut bila lelaki di sebelahnya tahu akan namanya.


   "Mestilah saya tahu, kalau dah orangnya cantik"


   "Ya lah tu, entah-entah awak ni ejen CIA dari Amerika Utara datang nak buat risikan tentang loji nuklear kat kampung ni."


   "Haa, ya lah, saya ni ejen CIA yang nak cari penjenayah yang membuat onar di Miyami, dengar khabar lari ke Malaysia"


   "Hahahaaa... Mengadalah awak ni. Cakap betul-betul lah. Mana awak tahu nama saya ni?"


   "Sebenarnya nama awak tengah top kat surat khabar. Gadis melayu tercantik abad ini. Serius kat paper tulis macamtu" Rizal cuba memuji Syahira dalam gurauan.


   Perbualan mereka makin rancak serancak rintik-rintik hujan yang belum ada tanda-tanda mahu berhenti. Mungkin pada Syahira sekadar mengisi kebosanan dalam terperangkap hujan lebat. Tapi bagi Rizal, ianya bagai sebuah sejarah yang seharusnya dicoret dalam diari. Bertemu dengan gadis yang menjadi igauan dalam mimpinya dan menjadi bayangan kelopak mata bila siang menjadi putaran hari. Terasa sangat senang dan berbunga-bunga dalam hatinya. Mahu sahaja dia menjerit gembira tapi disembunyikan kerana perbualan antaranya dengan Syahira masih berlangsung. Hampir satu jam terkandas hujan pun mula menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Bila sahaja hujan berhenti Syahira mencapai basikalnya dalam mula bergerak meninggalkan kedai itu. Rizal juga sama cuma arahnya yang bertentangan. Rizal mahu meronda lagi di kampung itu. Mahu melihat lagi suasana kampung.


   Di seberang jalan ada satu pondok menunggu bas. Yang selalunya dijadikan tempat menunggu oleh pelajar-pelajar yang mahu ke sekolah dan juga pekerja-pekerja kilang menanti bas pekerja. Di pondok itu sekarang ada tiga orang pemuda yang dari tadi memandang kerancakan Syahira dan Rizal berbual dari kejauhan. Wajah yang dipamerkan seorang dari mereka menunjukkan ketidakpuasan hati. Bengis. Mungkin bengang berbuku dalam hati.....


Chait!! Bersambung lagi... haish.....

6 comments:

Edy G-Minor said...

perghh! licik giler si rizal ehh.

aku tau, yg last tu mesti antagonis crite ni kan? boleh aku bagi saran? namakan die BORHAN! hahahaa. Borhan kenal tak? Keluang Man kan nama dia Borhan. Hahahahaa.

Khuzz said...

Hahahaaaa... ok gak tu... tp kawan2 aku jugak mahukan nama mereka jadi antagonis...

shazleeshahazeman said...

"Kau nak bukak game ke apa? Jerkah Mak Yati di muka pintu.

hahahaha!

oh aku pun nak cadangkan,pasal ade 3 orang.sorang sidekick die perompuan,name die Beds.Singkatan untuk Bedak Sejuk,gelaran yang die dapat mase form 1.

Khuzz said...

Hahahhaaaa.. bg ar cdgn kalian... cepat2.. nnti aku pertimbangkan yg mne nmenya ala-ala gngster..

chittysarah said...

adei..
sambung lagi??
penat bace tadi..

antogonis?atau mungkin membe baik syahira yang da lame dilupakan
agagagagaga

Khuzz said...

akan bersambung.. akan bersambung... teeettt..