Sunday, February 27, 2011

Dua Misteri Dalam Dua Hari Berturut..

   Ok, tajuk kali ini agak misteri. Misteri mengikut maksud umat melayu ialah pelik, ngeri, seram, seriau atau aneh dan seumpamanya yang tidak dapat aku cari sebutannya mengikut dialek setiap negeri. Tapi kalau mengikut maksud dalam Kamus Dewan Bahasa ianya bermaksud satu fenomena yang tidak dapat diterangkan secara teori atau idea ilmiah, kejadian aneh yang menyebabkan rasa ingin tahu. Itu yang dapat aku cari dekat Kamus. Kalau nak kepastian, cari sendiri.


   Kali ni bukannya kita nak bincangkan apa itu maksud misteri untuk kita mantapkan pengayaan bahasa dalam menjawab soalan karangan SPM Bahasa Melayu. Aku mengarang ni pun malam-malam. Sikit-sikit tu rasa meremang tetap ada dalam diri. Ok, Straight to the point, kejadian berlaku beberapa hari yang lepas berlaku dalam dua hari berturut. :


  Hari pertama :


   Entah kenapa aku rasa mengantuk sangat malam tu, jam pula baru pukul 12-1 pagi. Agak pelik bila rumah sewa yang di diami 8 orang, semuanya tidur awal malam itu. Cuma aku dan Puling yang paling lewat. Pukul 12 lebih kita panggil lewat? entah la. Aku yang dah mengantuk terus baring di ruang tamu rumah diikuti Puling. Sebelum tidur :


   "Sipot, kenapa awal sangat tidur malam ni?" Puling memulakan perbualan di malam hari sebelum tidur.


   "Entah lah, aku pun tak tahu"


   "Main PES jom seround dua" Puling cuba memancing kejantanan aku, PES merujuk kepada game bola sepak yang dimainkan menggunakan konsol PS2 di rumah kami.
  
   "Malas ar, baik tidur je". Aku pun tak tahu kenapa aku menolak cabaran Puling tu. Yang aku tahu nafsu mengantuk aku ni harus dilampiaskan segera.


   Sebelum tidur aku tengok Puling tengah reply mesej awek beliau. Aku nak mesej Cik Ila camne. Cik Ila aku tengah study berikutan nak menghadapi tiga test beliau yang berturut. Jadi aku cuma hantar SMS "Gudnite yang, study leklok. nak tido la, ngantok sangat"


   Lepas tekan butang "Send", tengok kiri, Puling dah hanyut dengan bahtera mimpi yang dia layarkan sambil tangan menggenggam kemas telefon bimbit miliknya.


   Aku pun tak tahu bila aku terlelap. Tapi tiba-tiba aku terasa sesuatu. Bila buka mata, aku rasa badan aku kejang, jari-jemari aku rasa mengerekot kebelakang, lidah aku langsung tak boleh bergerak. Aku cuba kuatkan hati baca surah yang terlintas dalam kepala. Kalau sebelum ni, cerita kawan-kawan yang mereka tak boleh bergerak, badan terasa dihempap adalah mitos, kini benda tu jadi kepada aku.


   Dalam aku mencuba gerakkan badan, aku dengar puling tanya "Pot, kau ok tak?"


   Aku cuba bergerak bila terasa semuanya kembali pulih, aku toleh ke arah Puling.


   Damn!! Aku nampak Puling tengah tertiarap sambil bunyi dengkuran merdu seperti bunyi traktor yang masuk gear satu nak naik bukit. Apa jadi ni? Arghhh!!


  
   Hari Kedua (Esoknya) :


   Petang, lebih kurang 5.30 petang. Aku mempersiapkan diri untuk main bola dekat Stadium Padang Bola Sepak Kampung Abdullah Segamat. Sempat jugak aku pergi panggil member-member lain untuk main tapi mereka sedang enak minum petang dan makan pisang goreng bawah pokok. Sah. Mereka akan menolak pelawaan murni aku ni.


   Jadi aku pergi sorang diri. Sampai padang je aku terus ke posisi wajib.


Posisi beliau bakal aku ganti sikit tahun lagi


   Aku pun tak tahu kenapa petang tu pemain pihak lawan main macam seladang. Mungkin kerana bengang banyak pecubaan mereka aku nafikan dengan selamba. Satu kejadian berlaku bila salah sorang pihak lawan menerjah tulang kering kaki kanan aku guna tapak kasut dia. Bayangkan bawah but kasut bola tu macam mana, bukan macam kasut bola jaring atau kasut skate board. tajam-tajam bhai. Singgah pulak kat tulang kering, memang menjerit ar aku. Tengok bengkaknya. Pergh.. besar giler, warna biru lagi. Keras je bengkaknya. Ni lah jadi kalau kita hebat+hensem. Tapi masih poyo lagi tu, terus kan permainan.

   "Takpe. Takpe. Ok je" jawapan macho terpacul dari mulut aku. Ni kalau gadis-gadis tengok. Mesti bersorak mereka sambil menyebut nama aku. Ok abaikan yang tu.

   Dia punya bengkak sampaikan nak start motor pun aku mintak tolong orang. Mana mungkin aku nak start dengan kaki yang superb sakit tu. Balik pun guna brake tangan je.

   Bila makin malam aku tengok kaki aku tu makin bisa sakitnya. Makin berdenyut-denyut. Nak urut tapi takut sakit makin melarat. Jadi aku ambik keputusan untuk biarkan sahaja susut sikit. Esok lusa baru lah pergi urut. Entah kenapa malam tu juga aku nak tidur awal. Pukul 11 aku dah mengantuk tahap dewa. Dan di sini lah misteri berlaku.

   Tengah aku tidur tu, aku mimpi ada satu kelibat yang urut kaki aku yang sakit tu. Aku tak pasti siapa sebab wajah pun tak nampak. Lepas je dia urut, sempat dia bagi nasihat jangan main bola untuk sehari dua ni. 

   Nak tahu apa jadi? Bila aku bangun je, aku terus jalan dan bengkak terus baik tanpa ada bekas pun. Macam tak pernah bengkak. Mustahil untuk bengkak sebesar itu akan baik dalam satu malam. Kalau ikutkan pengalaman sebagai pemain professional, bila bengkak macam tu memang ambil masa seminggu untuk baik meskipun diurut. Bila cerita kat kawan aku. dia cakap ada "akak" mula minat kat aku.


   Kurang ajar.

   Damn!! apa berlaku ni? Msteri? Apa pun. Alhamdulillah sebab kaki aku baik cepat.

Jangan biarkan hidup anda diselubungi misteri.................... aaaaaaaawwwwwuuuuuuuu!!!!





Monday, February 21, 2011

Kemalangan Awal Pagi..

   Kalau dirujuk kepada tajuk pun sudah dapat digambarkan apa sebenarnya yang ingin aku sampaikan kali ini. Kejadian ini bukanlah membabitkan aku. Tapi wajarlah kiranya dijadikan pengajaran bersama dalam menghadapi hari-hari mendatang kelak.


   Cerita bermula bila kami satu rumah sewa kelaparan dalam pukul 2-3 pagi macam tu. Jadi sebagai inisiatif untuk membasmi kelaparan itu, seorang dari kami mencadangkan Restoran Mamak Al-Azwath. Rasanya warga Segamat tahu mana lokasi restoran yang dimaksudkan. Pastu kitorang pun gerak dua kereta sebab kami berenam.
Pemandangan dekorasi dalaman Al-Azwath



   Sampai kat mamak, masing-masing pun borak benda-benda mengarut sambil pekena teh tarik, roti canai, nasi lemak, siakap 3 rasa (ok yang tu tipu). Kat TV pulak masa tu game bola Barcelona lawan team mane entah. Aku fokuskan kat game bola sebab perbualan diorang dah makin lama makin merapu. Cuma bila ada membahan budak rumah, barulah aku join ketawa. Aku baik mana pernah bahan orang. Kan budak rumah? kan? kan? tengok semua jawab "Ya"


   Pastu perbualan beralih kepada perletakan jawatan Hosni Mobarak dari kancah kepimpinan Mesir. Time ni memang berbuih lah berbual. Semua semangat tahap langit ke tujuh nak membuktikan masing-masing punya rasa ambil berat terhadap kehidupan dunia luar. Aku tak. Aku biasa-biasa je. Bukannya aku ambik tahu pun pasal resolusi peralihan kuasa Thaksin kepada tentera dulu-dulu tu, bukannya aku ambik tahu pasal  agenda freemanson yang nak mengurangkan kapasiti dunia kepada 500 000 orang penduduk dalam dunia, bukannya aku ambik tahu pun pasal pegolakan Seoul dengan Pyongyang tu... Bukan aku. Aku biasa-biasa je.


   Tiba-tiba tengah semua meletup berbual.... GEDEGANG!!.. Bunyi perlanggaran kenyal oleh objek yang agak besar.


   Lincah kitorg bayar bil terus gerak ke lokasi kejadian. Tiba-tiba member aku Pree beristighfar.


   "Astaghfirullah hal a'zim"


   Rupanya dia yang nampak dulu. Nak tahu dia nampak apa? Tu dia...


Pelumba rally yang terkandas dalam perlumbaan


   Lokasi kejadian betul-betul depan Bank Rakyat Segamat "saya mesti pilih". Pemandu cina tu berseorangan, Pemandunya kami dapati hanya luka ringan. Kereta ini dipercayai dari lorong yang sebelah tapi macamana boleh melakukan penerbangan ke lorong lain, yang ni kita tak tahu. Memang tragik gila kalau dibayangkan macamana kejadian ni boleh berlaku.  Adakah pemandu dibawah pengaruh alkohol? Mabuk? Cuba mengelak hantu berbaju merah? atau ada spekulasi dan teori lain? tiada siapa mampu menduga.

Penonton tepi jalan berjersi Park Ji Sung


   Bila entah kawan aku snap gambar aku. Aku pun tak tahu. Mentang-mentang aku ni kacak+macho, mesti nanti dia nak tunjuk kat kawan-kawan perempuan dia yang dia satu rumah dengan budak kacak. Ok, cerita dah lari topik. Tak lama lepas tu Polis pun sampai. Memang kesian gak kalau tengok. Lepas tu datang sepasang lelaki+perempuan yang agak berumur, mungkin family si mangsa.

   Yang paling bangang sekali bila kawan Puling, (Nama dirahsiakan--padahal siap bagi link facebook... hahahhaa) cakap dengan aku "Cuba kau tengok no plat kereta tu." 6508. Sah! Sah! Sah mamat ni erotik nombor ekor. Damn! Siap dia cakap lagi. "Cuba terbalikkan pulak, jadi 8059" Pergh... Jauh gila pemikiran dia, mengalahkan ahli dewan undangan negeri yang nak membangunkan sesuatu kawasan. Hmmm..Ska hati kau lah Puling...

   Akhirnya kami pun beredar lepas dapati orang makin ramai mengerumuni kawasan kemalangan sambil berbuku seribu keinsafan dalam hati. Masing-masing cuma berbual benda-benda baik dalam kereta yang dipandu perlahan sekitar 120km/j.

  Sekian...

Manusia yang bertanggungjawab mengambil gambar : Hafiz Azman @ Kekek


   

Sunday, February 20, 2011

Hensem tak blog aku?

Ok... Aku baru je tukar layout, background semuanya sekali, perubahan besar-besaran macam sebuah resolusi untuk mengejar kejayaan..


Aku buat perubahan blog aku ni sebab ada beberapa kawan aku cakap yang sebelum agak pening kepala... sebab nak baca tulisanya semua biru... Jadi dengan iltizam yang tinggi setinggi hidung manusia sombong, aku melakukan perubahan kondisi untuk mencapai ambisi..


Sengaja aku tukar semua biar kita sama-sama bersenggama dengan etika ketika sekaligus orgasm dalam menilai erti sebuah seni.. Seni yang semakin dilupakan anak kita sendiri...

Friday, February 18, 2011

Mengukir Pelangi (Bab 5)

   "Kau tengok sikit adik kau tu Lan, kita jangan percaya sangat dengan orang luar", Pejal mencucuk jarum hasutan.


   "Orang zaman sekarang ni kalau apa dia nak buat, dia buat"


   "Kau tak ingat Zana? Anak Pak Hamid tu. Dah diradak entah orang mana, mengandung budak tu, terus ditinggalkan, sudahnya merana sampai meninggal budak tu", Jai lebih beria-ia menghambur cerita lama sambil jari telunjuknya menuding arah belakang.


   "Isk, apa lah yang diingatkan cerita lama. Arwah pun dah lama pergi". Azlan tenang malas melayan mereka. 


Niat dia cuma mahu beli makanan buat santapan keluarganya di rumah nanti. Tak sangka pula bertemu dengan kutu-kutu kampung. Kutu yang lebih bisa membuat onar dari kudratnya peluh berjasa. Bagi Azlan bicara mereka cuma hampas yang menusuk telinga kanan, berpuput keluar telinga kiri. Bukan sekali dua Jai dengan kawannya menghasut dia, sejak dari zaman sekolah lagi. Kutu-kutu inilah yang menghasut dia atau mengganggu Syahira. Tapi ala bisa tegal biasa. Buang masa sahaja melayan kutu berahak kampung. Azlan bergerak meninggalkan mereka terpinga-pinga.


   "Kau tengok lah budak tu, langsung tak dengar cakap kita. Ish! bengang pulak aku" Jai menumbuk tiang pengampu kedai.


   "Ala Jai, bukan kau tak tahu, budak tu bodoh. Bukan dengar cakap pun".


   "Kau beduk je kepala budak Azlan tu, takut ke apa?", Borhan yang dari tadi sibuk membalas SMS menyampuk.




*******************************************************************************


   Sampai ke rumah Azlan terus menuju ke dapur dan menghidangkan mee goreng yang baru di beli tadi. Sengaja dia mahu belanja seluruh isi rumah. Memang sekali sekala Azlan akan buat begitu untuk memberi peluang adiknya dan ibunya berehat. Biar nampak kekurangan tapi makannya ada. Kasih sayang itu takkan putus sentiasa. Bukan macam orang kaya lain yang selalu keluarganya berantakan, yang kaya duit emas ringgit tapi miskin kasih. Bukan seperti satu keluarga kaya yang makan di satu meja makan tapi si ayah sibuk menghadap laptop, si ibu bergayut dengan ahli persatuan mak datin, si anak perempuan yang sibuk berchatting termasuk si kecil sibuk melayan PSP.


   "Ibu, Syahira mari makan". Azlan menyeru ibu dan adiknya yang sedang menyediakan minuman. Cuma teh O dengan mee goreng tapi cukup untuk mereka. Cukup untuk malam itu. Cukup untuk jadi pengikat hubungan mereka.


   Selesai makan Azlan dan Syahira berehat-rehat di ruang tamu sambil menguyah kerepek pisang. Mereka menonton rancangan di TV3 yang kabur-kabur sebab berisyaratkan antena di atas bumbung. Sedangkan Mak Senah sudah pun masuk ke bilik untuk masuk tidur, atau melipat kain pakaian.


   "Dengar cerita dah ada pakwe?" Azlan bertanya tiba-tiba.


   "Hah? Apa abang ni?"


   "Tu dengan budak baru anak saudara pak Nasir tu?"


   "Haish, apa abang ni?"


   "Abang tengok setiap hari dia datang beli kuih dekat kamu"


   "Habis tu Tok Alang, Pak deris, Abang Karim, Ah Seng yang dari dulu setiap hari beli kuih kat Ira pun pakwe Ira lah?"


   "Takdelah sampai macam tu. Orang-orang dok mengata je"


   "Siapalah yang bawak cerita ni abang oi..."


   "Jai yang cakap"


   "Abang sendiri tau perangai muka macam musang tu macam mana, buat apa lah di dengar?"


   "Sudah lah abang. Jangan dengar sangat budak-budak tu, baik abang dengar Zul Handy Black nyanyi lagu Kau Bernama Seri"


   "Kamu jaga-jaga sikit, dengan orang baru, kita tak kenal"


   "Baik lah cik abang yang kacak"


   "Hmmm, permohonan kamu nak sambung belajar tu dah dapat?"


   "Tak tahu lah bang, takpe lah, setahun dua lagi pun boleh sambung belajar."


Azlan terus mengunyah kerepek pisang sambil menonton rancangan TV3. Sampai lah dia terlelap dipembaringan.


"Beep.. Beep". Handphone Syahira berdering menandakan ada pesanan SMS masuk. Handphone yang dibeli hasil jualan kuihnya itu masih setia berkhidmat sampai ke hari ini. Sedang teman seumurnya sudahpun berubah rasa ke gadget yang lebih canggih. Sudah berubah selera kepada arus permodenan.


   "Salam...Hai, dah tidur ke?" terpapar di skrin handphone nya datang dari nombor yang tak dikenali. Syahira terkedu, siapa pula yang menghantar SMS cuma setakat pendek macam tu. Biasanya dia tak akan layan mesej-mesej spam serupa itu. Tapi entah kenapa dia tergerak untuk membalas pesanan itu.


   "Salam, belum lagi, siapa ni?" jemari runcing Syahira menaip.


   "Hai, cepat benar lupa kita ni, yang beli kuih awak pagi tadi pukul 7.17pagi"


   Memori Syahira terimbas laju kepada peristiwa pagi tadi. Pagi tadi memang ada seorang lelaki datang ke jualannya. Lelaki yang sama dia jumpa di kedai tambah nilai tempoh hari. Entah kenapa dia boleh rasa senang dengan lelaki itu. Selama 19 tahun hidup di muka bumi, belum pernah dia sesenang itu bila berbicara dengan lelaki. Bila si lelaki itu bertanya hal pelajaran pun, mudah sahaja Syahira menjawab. Dengan mudah juga Syahira memberi nombor telefon bimbitnya bila si lelaki meminta. Alasan lelaki itu mudah untuk dia membantu kiranya ada jenis pembiayaan yang boleh membiayai pengajiannya nanti. Syahira rasa macam ada satu daya penarik sekuat besi bertemu magnet. Rasa yang sangat senang.
   
   "Oh, awak, kenapa tak tidur lagi?" Syahira membalas SMS tersebut.


   "Saja, memang biasa tidur lambat, lagipun teringatkan kamu, tu yang saya hantar mesej tu"


   "Ye lah tu. Orang bandar macam awak takkan lah takde perempuan kat bandar tu"


   "Ada, banyak, yang jaga kaunter tiket bas, yang jual air, yang kerja nurse, tu semua perempuan, tapi bukan saya punya. Hahahaha"


    Mereka berbalas-balas SMS sampai larut malam. Syahira tak rasa janggal untuk berbalas pesanan dengan lelaki itu. Kalau sebelum ini, cukuplah sekadar hal-hal pelajaran atau yang penting sahaja. Dari peristiwa berbalas-balas pesanan itu jugalah Syahira tahu bahawa lelaki itu bernama Rizal. Lelaki itu santunnya baik tapi suka sangat berjenaka. Mungkin itu membuat Syahira rasa senang untuk berbual dengan Rizal. SMS terhenti bila Syahira tak dapat pesanan dari pihak Rizal. Mungkin Rizal sudah tertidur. Syahira pula cuba melelapkan mata kerana esok pagi-pagi tugasan hariannya akan dijalankan seperti biasa.




********************************************************************************


   Suasana riuh-rendak restoran mamak 24 jam jelas kelihatan. Hiruk sang remaja kota melayan perlawanan bola sepak yang ditonton di layar. Dua pasukan gergasi eropah bertempur dalam merebut kejuaraan berprestij taraf benua. Pasukan Tottenham Hotspurs bermatian menentang pasukan pilihan Barcelona. Jelas penyokong rata-ratanya berjersi belang-belang biru merah tercetak no 10. Ada penyokong dari kalangan penuntut, ada dari pekerja ada juga dari rempit yang cuma Messi yang dikenali.


   Ada asap-asap shisha dari pelbagai perasa mengepuli ruang restoran itu. Bercampur dengan  asap dari rokok pelbagai jenama yang seludup atau yang sah dari kerajaan. Kadang-kadang pekerja melintasi layar membuat penonton berbulu. Ada si lelaki yang membawa pasangannya seolah mahu menunjuk pada semua isi restoran dia seorang sahaja yang ada kekasih.


   Nazri dan kawan serumahnya juga tak ketinggalan untuk menonton perlawanan hebat ini. Sudah pun memasuki separuh masa kedua dan air juga sudah tiga gelas masing-masing bertambah. Tempat duduk mereka agak strategik tidak terhalang dengan kepala-kepala yang besar atau yang tak masuk akal bila pakai topi diwaktu malam. 


   Tiba-tiba sahaja ada seorang gadis menarik kerusi dan duduk sebelah Nazri.


   "Oi! Tengok bola sampai tak perasan ada awek cun kat sebelah" tegur si gadis.


   "Eh, kau Lina. Kau dengan siapa kat sini?"


   "Tu" ringkas jawab Harlina sambil menuding ke arah satu meja budak sepejabatnya.


   "Kau agak-agaklah nak buat re-union pun. Takkan sampai kat kedai mamak? hahahaa..."


   "Banyak lah kau punya re-union, kau ingat kau sorang je ke nak tengok bola? Aku pun nak tengok Abang David Villa aku"


   "Bila pulak lah kau ni reti tengok bola?" Nazri menjawab tapi mata tetap tertumpu ke arah kayar. Rugi kalau dia melepaskan sesaat aksi tersebut.


   "Aku memang tengoklah, kau je yang tak tahu. Hei Naz, alang-alang aku dah jumpa kau kat sini, aku ada benda lah nak dari kau."


   "Apa dia? Kau ni, jangan lah macam ni, tahu dek awek aku kau nak benda aku, masak aku!"


   "Otak kau ni kalau tak kotor tak boleh ke?"


   "Hahaha.. Apa dia? Tapi boleh tak kalau kita cerita lepas game habis?"


   "Ok, boleh je. Aku lepak sini je lah dengan kau."


   "Ikut kau lah"


Mereka menonton sampailah pengadil meniup wisel penamat permainan. Selesai sahaja perlawanan, bersorak penyokong yang menang sementara penyokong yang kalah cepat-cepat ke kaunter buat pembayaran.


   "Korang balik dulu ye? Aku ada hal sikit lah" Nazri memberitahu kepada Lazim, kawan serumah.


   "Hei Naz, kau tu dah ada awek pun, nak sedap dengan perempuan lain ke? Dengan bekas member sendiri pulak tu. Hakhakhakahk!!"


   "Kepala hotak kau! Ni member aku lah!"


Bila semua sudah pulang dan restoran itu beransur lengang Nazri memulakan pertanyaan.


   "Apa dia kau nak?"


   "Macam ni. Aku rindu kan dia. Aku selalu terfikir kan dia. Aku nak cari Rizal. Aku call dia tak dapat. SMS tak delivered."


   "Lah? Habis kau punya Hisyam tu mana? Lelaki yang buat kau beralih arah tu?"


   "Jangan tanya lah pasal lelaki tu, yang penting sekarang aku nak cari dia, aku nak minta maaf dekat dia, aku nak balik semula kepada dia. Aku tahu aku silap. Aku pentingkan diri. "


   Perbualan mereka semakin berlanjutan ke awal pagi. Lina memberitahu segalanya tentang penyesalannya kepada Nazri. Dia tahu Nazri memang pendengar yang baik. Dia tahu Nazri memang seorang kawan yang boleh diharap. Dia tahu Nazri merupakan kawan baik dengan Rizal. Dia yakin bahawa Nazri tahu tentang gerak-geri Rizal. Lina mahu berjumpa dengan Rizal. Tapi Nazri rasa serba salah dan ada sedikit curiga. Kenapa dengan mudah Lina berpisah dengan Hisyam, lelaki yang jadi orang tengah sewaktu hati Rizal dirobek luka dulu. Kenapa dengan begitu cepat juga Harlina mahu mencari Rizal.


   "Kau jangan fikir bukan-bukan Naz, aku betul-betul menyesal. Aku tahu Rizal tak berhak untuk dilukakan. Tolonglah aku bersihkan dosa aku pada dia"


   "Hmmm.. Iyalah aku tolong kau"


   Bila hampir pagi barulah mereka bersurai dan menuju ke kereta masing-masing. Dan masing-masing juga membawa haluan sendiri. Nazri mahu tidur sepuasnya kerana dia sudah siap mohon MC semata-mata untuk perlawanan bola itu.......


  




Aduih!! bersambung lagi.....!!!!! gggrrrrrr......

Thursday, February 17, 2011

Debu kotor,..

Alam mula berpusing seperti gasing tanah mencucuk,
Seiring pusingnya bila sang semangat menusuk,
Bukan isim yang ganas  merasuk,
Tapi sang zarah yang terus membusuk,


Mulalah dia meracau menyengih senyum,
Mulalah dia benda hangit wangi yang dicium,
Mulalah dia geraknya huyung,
Mulalah dia jalannya ditiup beliung,


Gara-gara si debu kotor itu,
Banyak noda berlaku tanpa malu.


Tercetak dalam dada naskah,
Tersiar di kotak imej bercahaya,
Terbicara dari bunyi peti bersuara,
Berlegar luas di talian ilusi maya,

Kisah nyawa segar dihurung sampah,
Asalnya dari dua insan beradu resah,
Yang satu tak mengaku dialah ayah,
Yang satu malu terkandung haramnya darah.

Cerita si anak dibaham serakah,
Si cucu dibuas oleh atuk lintah,
Si pagar yang galak memamah padi,
Hilang percaya pada darah sendiri,

Tragedi berdarah lagi menambah ngeri,
Nyawa persis sampah tak bernilai lagi,
Hitam belulang dijilat bara kayu berapi,
Si anak di rumah bersendu hati.

Jadi seram bila duduk koloni sendiri,
Debu itu jadi pentas syaitan menari,
Jadi kuasa menggerak nadi insani,
Bertukar hitam dari warna merah hati.

Bangsa kian hancur,
Negara kian lebur,
Sang penghidup bermeditasi perlu bertempur,
Berperang habisan dengan sang debu kotor.....